Toto Bakal Gegar Malaysia: Dogz of Oz Tour Singgah di Arena of Stars

Bersedia untuk malam penuh nostalgia dan kemegahan muzik rock klasik. Kumpulan legenda Amerika Syarikat, Toto, bakal menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert Dogz of Oz Tour pada 1 Mei 2025 di Arena of Stars, Resorts World Genting. Dengan katalog lagu yang telah menjadi antem sepanjang zaman, peminat bakal dihiburkan dengan rentak ikonik Africa, Rosanna, I’ll Be Over You, Hold The Line, dan banyak lagi.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1977 di Los Angeles, Toto telah menjadi antara kumpulan paling berpengaruh dalam dunia muzik. Keunikan mereka terletak pada gabungan elemen rock, pop, jazz, funk dan progresif yang melahirkan karya-karya malar segar. Buktinya, Africa telah mencatat lebih dua bilion penstriman di Spotify, sementara Hold The Line melangkaui satu bilion.
Yang lebih menarik, lebih 50 peratus daripada peminat Toto yang menstrim lagu mereka berusia 34 tahun ke bawah, ini membuktikanbahawa muzik mereka tidak hanya terpahat dalam kenangan peminat lama, tetapi juga terus menawan hati generasi baharu.

Jelajah kali ini menampilkan barisan pemuzik mantap, diketuai oleh Steve Lukather (gitar, penyanyi) dan Joseph Williams (penyanyi). Mereka akan ditemani oleh Greg Phillinganes (keyboard, penyanyi), Shannon Forrest (dram), John Pierce (bass), Warren Ham (seksofon, perkusi, penyanyi), serta Dennis Atlas (keyboard, penyanyi). Bersama-sama, mereka bakal menghadirkan pengalaman muzik yang pasti menggamit memori!
Ini bukan kali pertama Toto menghiburkan peminat di Malaysia. Kumpulan ini pernah mengadakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2008 namun ianya terpaksa ditukar ke Perdana Lakeview East, Cyberjaya sebagai sebahagian daripada “Falling In Between Tour” mereka. Konsert tersebut mendapat sambutan hangat dengan setlist yang menampilkan lagu-lagu hit mereka. Kemudian, mereka dijadualkan kembali ke Malaysia pada tahun 2019 untuk persembahan dalam rangka “40 Trips Around the Sun Tour,”yang sepatutnya berlangsung di Arena of Star, Genting Highlands namun terpaksa dibatalkan akibat Pandemik Covid 19.

Penganjuran konsert ini dikendalikan oleh UnUsUaL Entertainment dengan Resorts World Genting sebagai lokasi rasmi. Tiket akan mula dijual pada 21 Mac 2025 (Jumaat) jam 12 tengah hari menerusi rwgenting.com . Tiket berharga RM988 (VIP), RM788 (PSI), RM588 (PS2), RM388 (PS3) dan RM188 (PS4) (tertakluk kepada caj pemprosesan RM4.

Dengan reputasi Toto sebagai kumpulan yang memberikan persembahan bertenaga dan berkualiti tinggi, konsert ini pasti menjadi antara yang paling dinanti pada tahun ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan legenda rock ini beraksi secara langsung—pastikan anda mendapatkan tiket secepat mungkin!
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi mereka di totoofficial.com.