“Raya Twist” – Syawal Lebih Meriah Dengan Rentak Baru Dari Suria Records

Bila sebut tentang lagu raya, pasti terbayang alunan klasik yang menyentuh jiwa. Tapi bagaimana kalau tahun ini kita ‘twist’ sedikit suasana dengan rentak yang lebih segar dan penuh tenaga? Suria Records (SRC) hadir dengan kejutan istimewa buat peminat muzik tanah air menerusi lagu raya terbaharu mereka, “Raya Twist”.
Lagu ini bukan sekadar sebuah lagu raya biasa – ia adalah gabungan keseronokan, warna-warni perayaan, dan rentak yang membuatkan kaki tidak akan berhenti bergoyang. Intan Maya, Mark Adam, Erika Foo, Fairuz Syazwan, Chaca Trisha, dan Xpose bersatu dalam satu irama, mencipta magis tersendiri dengan suara dan gaya unik masing-masing.

Suria Records memang sudah sinonim dengan lagu-lagu raya evergreen, tetapi zaman berubah dan muzik juga harus berevolusi. Selepas kejayaan luar biasa “Raya Di Rumah Dinda” tahun lalu, kali ini SRC mempertaruhkan “Raya Twist”, ciptaan Zik dan Nabilah, yang sarat dengan melodi ceria, lirik santai, dan susunan muzik yang membuatkan anda ingin menari dari awal hingga akhir lagu.
“Kami mahu membawa vibe yang lebih segar dan moden, tanpa menghilangkan semangat kemeriahan Hari Raya,” kata Zik, salah seorang komposer lagu ini.
Keunikan “Raya Twist” terletak pada gabungan elemen muzik pop, sentuhan tradisional, dan irama ‘twist’ yang catchy, menjadikannya lagu yang bukan sahaja mesra telinga tetapi juga mesra majlis! Sesuai dimainkan di rumah terbuka, ketika memandu pulang ke kampung, atau sekadar menari santai di ruang tamu bersama keluarga.
Walaupun masing-masing sibuk dengan projek solo, keenam-enam artis ini tidak teragak-agak untuk menyertai projek “Raya Twist” kerana keunikan dan keseronokan yang ditawarkan.
“Lagu ini bukan sekadar tentang beraya, tetapi juga tentang persahabatan dan kemesraan antara kami. Boleh nampak betapa rapatnya kami dalam rakaman lagu ini,” kata Furhan Xpose, sambil berseloroh bahawa mereka sendiri tidak dapat berhenti menari ketika merakam lagu ini!
Bersedia untuk menggoyangkan badan sambil menyambut Syawal? “Raya Twist” kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Apple Music, Spotify, Deezer, YouTube Music, dan banyak lagi.