March 19, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“OOHAA RAYA” Kolaborasi Sharifah Zarina & Athalia

Spread the love

Cetus Sejarah Lagu Raya Pertama di Malaysia Tampilkan Duet Ibu dan Anak

Setelah mencetus fenomena dengan lagu 40 yang tular di TikTok tahun lalu, penyanyi bersuara lantang, Sharifah Zarina, kembali dengan kelainan yang cukup bermakna untuk Syawal ini. Kali ini, beliau tidak bersendirian! Bersama anak perempuannya, Athalia, mereka mencipta sejarah dengan melancarkan OOHAA RAYA – lagu raya pertama dalam industri muzik Malaysia yang menampilkan duet antara ibu dan anak.

Lagu yang diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment ini bukan sekadar satu kolaborasi biasa, tetapi merupakan refleksi realiti kehidupan mereka sekeluarga. Liriknya menggambarkan hubungan erat antara ibu dan anak, dengan elemen gurauan mesra yang menjadikannya lebih istimewa.

Menurut Sharifah Zarina, idea untuk berduet dengan anaknya datang daripada komposer Eugene Lai, yang juga bertindak sebagai penerbit lagu ini. Setelah berbincang, mereka menyedari bahawa belum ada lagi lagu raya yang menampilkan dinamik ibu dan anak sebagai penyanyi utama.

“Selalunya saya rakam lagu seorang diri, tapi kali ini bila berduet dengan Athalia, ada masa saya secara tak sedar terbawa sikap seorang emak—nak tegur, nak ajar, dan kadang-kadang marah juga!” selorohnya.

Athalia pula mengakui bahawa walaupun bekerja dengan ibu sendiri ada cabarannya, pengalaman itu tetap menyeronokkan dan memberi peluang untuk mereka belajar satu sama lain.

“Kadang-kadang kami berdebat pasal idea lagu. Tapi akhirnya, semuanya berbalik kepada mencari solusi terbaik. Dan yang paling penting, hubungan ibu dan anak itu lebih memudahkan kami untuk bekerjasama,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi kempen pelancaran OOHAA RAYA, mereka turut menghasilkan siri web eksklusif sepanjang 6 episod yang boleh ditonton di TikTok rasmi mereka (Sharifah Zarina & Athalia).

Perkataan “OOHAA” dalam tajuk lagu ini diambil daripada bahasa Iban yang membawa maksud “Hello” atau “Hai”, sekaligus memberi penghormatan kepada negeri kelahiran Sharifah Zarina, Sarawak.

“Lagu ini memang ada elemen budaya dari Sarawak, sebab itu saya selitkan OOHAA dalam tajuknya. Selain itu, liriknya juga memang menggambarkan kehidupan sebenar saya bersama anak-anak,” jelasnya.

Pada mulanya, Eugene Lai dan Ja’a ingin menghasilkan sebuah lagu raya yang bernuansa keroncong klasik. Namun, selepas berbincang, Sharifah Zarina dan Athalia mencadangkan agar temponya dipercepatkan untuk mendapatkan vibe reggae yang lebih segar.

“Kombinasi reggae dan keroncong dalam sebuah lagu raya bukan sesuatu yang biasa kita dengar. Tapi hasilnya sangat menyeronokkan! Ia menampilkan keunikan moden dan tradisional dalam satu karya,” ujar Eugene.

Ja’a pula menyifatkan OOHAA RAYA sebagai sebuah lagu yang “hidup”, berkat kreativiti Sharifah Zarina dan Athalia dalam menyumbang lirik serta melodi yang lebih personal.

OOHAA RAYA edaran Universal Music Malaysia telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube mulai 14 Mac 2025. Manakala muzik video rasmi pula mula ditayangkan di saluran YouTube Faithful Music sejak 17 Mac 2025.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page