March 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Raya Nak Ke Mana?” – Dato’ Sri Siti Nurhaliza Kembali Bernostalgia Dengan Irama Zapin Moden

Spread the love

Hari Raya tidak akan lengkap tanpa dendangan lagu-lagu raya yang membawa keceriaan dan nostalgia. Tahun ini, biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kembali menghidupkan suasana Aidilfitri dengan single terbaharunya, “Raya Nak Ke Mana?”.

Lagu ciptaan duo berbakat Aisha Retno dan RADi ini menampilkan elemen zapin moden yang menyegarkan serta lirik nukilan Aisha Retno dan Amylea Azizan. Sentuhan tradisional yang digabungkan dengan elemen kontemporari menjadikan lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi juga berpotensi menjadi lagu raya malar segar seperti lagu-lagu raya ikonik terdahulu.

“Lagu raya sangat dekat dengan hati saya, dan saya rasa bertuah dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang istimewa. Lagu ini mempunyai semangat Hari Raya yang meriah dan saya harap ia akan diterima baik oleh peminat,” ujar Siti Nurhaliza.

Sebagai seorang penyanyi yang sentiasa menyokong bakat muda, Siti mengakui bahawa bekerjasama dengan generasi baru memberikan pengalaman berbeza tetapi sangat menarik. Malah, sebaik sahaja mendengar demo lagu ini, beliau terus terpikat dan tidak teragak-agak untuk merakamkannya.

Dengan melodi yang mudah diikuti, lirik yang segar, dan susunan muzik yang bertenaga, “Raya Nak Ke Mana?” dijangka menjadi salah satu lagu wajib diputarkan sepanjang musim perayaan.

Lagu ini telah dilancarkan pada 12 Mac 2025 dan boleh didengarkan di semua platform digital. Manakala, video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Siti Nurhaliza, menampilkan konsep ceria yang pastinya menghidupkan lagi kemeriahan Syawal.

Jadi, Raya Nak Ke Mana tahun ini? Tidak kira di mana, pastikan lagu ini berada dalam senarai utama anda untuk menyerikan sambutan Aidilfitri dengan irama zapin yang menggamit kenangan!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page