March 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Wany Hasrita Kembali dengan “Raya Telah Tiba”

Spread the love

Setiap kali Aidilfitri menjelang, satu perkara yang tidak boleh dilepaskan adalah kemeriahan lagu raya yang menggamit suasana perayaan. Tahun ini, penyanyi bersuara merdu dan penuh pesona, Wany Hasrita, kembali menceriakan sambutan dengan single raya terbaharunya, “Raya Telah Tiba”, hasil terbitan Sony Music Malaysia.

Dikenali dengan lagu-lagu berentak pop balada dan tradisional, kali ini Wany membawa kelainan dengan sesuatu yang lebih rancak, segar, dan mencuit hati! “Raya Telah Tiba” menampilkan sentuhan moden yang unik, gabungan elemen pop kontemporari, Melayu klasik, dan sedikit ‘twist’ rock, hasil ciptaan komposer muda berbakat, Affan Mazlan. Perpaduan ini menjadikan lagu ini bukan sahaja mesra di telinga tetapi juga mudah diingati—persis lagu raya ikonik yang sentiasa menjadi siulan ramai.

Lagu ini mengangkat pengalaman Hari Raya yang begitu akrab dalam kehidupan rakyat Malaysia. Dari perjuangan menamatkan puasa penuh, kesibukan membuat persiapan raya, hinggalah kepada keterujaan bergaya dengan baju baharu dan detik indah bersama keluarga—semuanya terakam dalam bait-bait lirik yang santai dan menghiburkan. Malah, ada satu babak lirik yang cukup mencuit hati: keterujaan balik kampung yang akhirnya terbantut gara-gara saman trafik!

“Lagu ini sangat ‘straightforward’, bercerita tentang perkara yang kita lalui setiap kali perayaan. Dari berpuasa penuh, tergesa-gesa pulang ke kampung, sampailah nak ‘ber-OOTD’ dengan baju raya!”, ujar Wany Hasrita.

Menariknya, proses rakaman “Raya Telah Tiba” hanya mengambil masa sekitar satu hingga dua jam sahaja! Ini membuktikan betapa lagu ini begitu serasi dengan Wany sejak kali pertama mendengarnya. Dengan vokal lembut yang menjadi identitinya, Wany berjaya membawa lagu ini dengan gaya santai tetapi tetap bertenaga—persis sebuah lagu raya yang mampu menghidupkan suasana Aidilfitri.

Untuk melengkapkan pengalaman pendengar, sebuah video muzik (MV) juga telah dihasilkan, memaparkan kehangatan dan kemeriahan Hari Raya dalam suasana kampung yang penuh nostalgia. MV ini menampilkan Wany dalam pelbagai situasi menarik seperti persiapan sibuk mengemas rumah, keterujaan menyambut keluarga, insiden lucu dikenakan saman trafik, serta tarian raya khas yang bakal mencuri perhatian ramai.

Bagi Wany, Hari Raya kali ini lebih bermakna kerana buat pertama kalinya dia dapat meraikan Aidilfitri bersama puteri sulungnya, Aishah Al Iman. Tahun lalu, dia hanya dapat beraya ketika sedang hamil, tetapi tahun ini suasana lebih istimewa dengan kehadiran anak dan suami tercinta.

Dengan melodi yang ceria dan lirik yang mudah dihafal, Wany berharap “Raya Telah Tiba” menjadi antara lagu wajib dalam playlist peminat sepanjang musim perayaan, terutama buat mereka yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Semoga lagu ini menjadi peneman anda ketika dalam perjalanan beraya! Tapi jangan leka sangat sampai terlupa had laju dan kena saman!” seloroh Wany dengan nada berseloroh.

Sebagai penutup, Wany turut mengingatkan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah pada bulan Ramadan ini, serta berusaha mengejar keberkatan malam istimewa, Lailatul Qadar.

“Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menambah amal ibadah lebih daripada tahun sebelumnya, dan dapat menyambut Syawal dengan penuh keberkatan dan kegembiraan!”

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati “Raya Telah Tiba”, yang bakal dilancarkan pada 7 Mac 2025 di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube. Saksikan juga video muzik rasmi yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page