February 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Astro Angkat Isu Harta Pusaka: Konflik, Dendam & Realiti dalam ‘Dendam Seorang Madu’

Spread the love

Astro terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri hiburan Malaysia dengan membawakan drama terbaharu dalam slot Tiara, ‘Dendam Seorang Madu’. Drama yang sarat dengan emosi dan konflik kekeluargaan ini bakal menemui penonton sepanjang bulan Ramadan, bermula 3 Mac 2025, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105).

Mengangkat tema perkahwinan poligami dan perebutan harta pusaka, ‘Dendam Seorang Madu’ bukan sekadar sebuah kisah drama biasa. Ia menyelami realiti pahit kegagalan dalam pengurusan harta peninggalan yang sering menjadi punca perbalahan dalam keluarga. Penonton akan dibawa menghayati liku-liku kehidupan Putri Rayhana dan Faris Alfian yang terperangkap dalam komplot penuh muslihat yang dirancang oleh Hanum, ibu Faris, demi menguasai harta pusaka.

Drama ini diterbitkan oleh MIG Production Sdn. Bhd. dan mendapat sentuhan pengarah nombor satu Malaysia, Riza Baharuddin. Sebagai individu di sebalik kejayaan ‘Andai Tiada Dia’, drama nombor satu dalam sejarah kandungan Melayu Astro pada tahun 2024, Riza sekali lagi memberikan naskhah berkualiti tinggi yang penuh dengan elemen dramatik dan emosi mendalam.

Kekuatan drama ini juga terletak pada barisan pelakon mantap yang membawa watak dengan penuh penghayatan. Dibintangi oleh Hannah Delisha (Putri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian), Sweet Qismina (Izara), dan Emelda Rosemila (Hanum), drama ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat drama tempatan. Lebih menarik, runut bunyi rasmi (OST) bertajuk ‘Tipu Helah’ yang dinyanyikan oleh Hannah Delisha turut mengiringi perjalanan emosi drama ini, menjadikannya lebih mendalam dan berkesan.

Menurut Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh, “Kami sentiasa berusaha memberikan drama terbaik yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyampaikan mesej penting kepada masyarakat. ‘Dendam Seorang Madu’ bukan sekadar tentang konflik rumah tangga, tetapi juga menekankan kepentingan pengurusan harta pusaka dan kepatuhan kepada hukum faraid. Kami mahu penonton lebih memahami keperluan menguruskan harta dengan adil dan saksama, demi menjaga keharmonian keluarga.”

Drama ini mengisahkan Putri Rayhana, seorang gadis yang hidup serba kekurangan bersama neneknya yang tegas dan ibunya yang sakit jiwa. Demi menyambung pelajaran dan merawat ibunya, Rayhana terpaksa mengikut kehendak neneknya untuk berkahwin dengan Faris Alfian, anak kepada seorang CEO syarikat besar. Namun, Faris sendiri tidak punya pilihan kerana perkahwinan itu dirancang oleh ibunya, Hanum, sebagai syarat untuk dia menyandang jawatan CEO.

Konflik semakin meruncing apabila selepas perkahwinan, Rayhana mendapat tahu bahawa Faris sebenarnya telah bernikah secara rahsia dengan pembantu peribadinya, Izara. Lebih mengejutkan, Faris meminta Rayhana untuk merahsiakan perkara ini daripada ibunya. Dengan plot penuh misteri dan permainan emosi yang mencengkam, penonton pasti akan terus melekat di kaca televisyen untuk mengikuti setiap episod.

Saksikan ‘Dendam Seorang Madu’ di Astro Prima (saluran 105) bermula 3 Mac 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang. Anda juga boleh menonton secara strim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama yang penuh dengan pengajaran dan emosi ini!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page