December 5, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nik Amir Mustapha Terkejut, Imaginur Mendominasi 15 Pencalonan Dalam FFM Ke-33

Spread the love

Penerbit Lumatic Films Sdn Bhd yang juga pengarah filem Imaginur, Nik Amir Mustapha, 39, tidak menyangka filem terbitannya itu berjaya mendominasi dengan mendapat 15 pencalonan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 yang bakal berlangsung pada 7 Disember ini.

Nik Amir berkata, dia bersyukur kerana filem genre sains fiksyen romantik itu bukan  sahaja tercalon dalam kategori Filem Terbaik, sekali gus bolos dalam kategori barisan pelakon utama dan pembantu serta pasukan kru produksi filem berkenaan.

“Soal kemenangan, saya fikir anugerah seperti ini terpulang kepada barisan juri yang membuat penilaian ke arah genre cerita yang bagaimana mereka pilih nanti.  Kalau mereka ke arah genre cerita tertentu, kami terima sahaja keputusannya sama ada filem menang atau kalah besar pada malam kemuncak FFM 33 nanti,” katanya.

Menampilkan lakonan mantap, Diana Danielle dan Beto Kusyairy, filem Imaginur berjaya mendapat 15 dari 24 kategori pencalonan pada FFM 33 membabitkan kategori seperti LakonLayar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, filem itu turut membolosi kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan FilemTerbaik.

Mengenai persaingan pula, kata Nik Amir, pastinya filem Imaginur bersaing sengit dengan filem Abang Adik serta Sheriff tetapi berlainan dalam kategori dan genre. Filem Abang Adik arahan Jin Ong meraih 11 pencalonan dalam kategori yang dipertandingkan antaranya Pengarah Harapan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, PengarahTerbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.

“Saya sudah menonton filem Abang Adik karya Jin Ong itu dan ia juga filem yang bagus. Begitu juga Sheriff arahan Syafiq Yusof.  Tanyalah pada semua calon pun pastinya semua berharap filem mereka akan menang tapi kita tunggu sahaja keputusan pada malam kemuncak,” katanya.

Berkongsi kekuatan filem Imaginur pula, kata Nik Amir, mungkin ramai penonton dapat ‘relate’ dengan jalan cerita filem berkenaan sehingga ia berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM6 juta di pawagam tanah air pada tahun lalu.

“Hasrat saya buat filem ini memang untuk tontonan rakyat Malaysia.  Saya mahu kongsi karya genre filem yang disukai dan tidak biasa disajikan kepada penonton tempatan.  Kejayaan filem Imaginur diharap dapat menarik lebih ramai lagi penonton untuk menerima genre sains fiksyen romantik selepas ini,” katanya.

Mengulas prestasi barisan pelakon pula, kata Nik Amir, dia sangat berpuas hati dengan komitmen terbaik barisan pelakon filem Imaginur terutama teraju utamanya, Beto dan Dianadalam filem itu.

“Lakonan Beto dan Diana sangat bagus seperti dikehendaki skrip dan menjiwa karakter sertamereka memang ada bakat semulajadi.  Dari segi lakonan, mereka memang layak untuk menang kategori pelakon terbaik pada malam FFM 33 nanti,” katanya.

Malam kemuncak FFM33 berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Mediajam 9 malam pada 7 Disember ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page