November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dari Gelanggang ke Studio: Aizat Amdan dengan Lagu Baharu

Spread the love

Penyanyi popular, Aizat Amdan, yang kini menceburkan diri dalam sukan Muay Thai, melakar sejarah peribadinya apabila mengharungi perlawanan amatur pertamanya pada 12 Oktober lalu, manakala terbaharu, beliau kembali ke arena muzik dengan single baharu berjudul Tegap Berdiri, hasil ciptaannya bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, di bawah terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Aizat bukanlah asing dalam dunia seni suara, namun, adakah langkahnya menyertai perlawanan Muay Thai memberi isyarat bahawa dia kini beralih ke bidang sukan?

“Saya sebenarnya sudah lama minat Muay Thai, sejak tahun 2015 lagi. Saya gemar melihat peninju Muay Thai legenda beraksi dan mula berjinak-jinak menjalani latihan. Sampailah satu hari jurulatih saya beritahu bahawa saya sudah bersedia untuk ‘fight’. Tidak pernah terlintas di fikiran sehingga 12 Oktober lalu,” kongsi Aizat tentang pengalaman bertarung buat kali pertama.

Dalam perkembangan terkini, Aizat melancarkan single terbaharu, Tegap Berdiri, yang terinspirasi daripada minatnya terhadap Muay Thai. Menurut Aizat, lagu itu lahir ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, di mana dia dan pasukan membincangkan kenangan zaman kegemilangan bola sepak negara pada 1998. “Saya tersentuh dengan semangat yang wujud meskipun kalah, akhirnya terlahir lirik ‘di akhir nanti kau masih tegap berdiri’,” jelas Aizat.

Lagu Tegap Berdiri menyampaikan mesej perjuangan hidup, di mana kadang-kala kita menang, kadang-kala kita kalah. Namun, bagi Aizat, apa yang penting adalah meneruskan kehidupan dengan semangat positif. Menariknya, single ini mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan, menggambarkan perjalanannya dalam dunia Muay Thai dan seni muzik.

Kali ini, Aizat menyuntik elemen muzik ‘City Pop’ yang popular pada era 80-an di Jepun dalam lagunya, dan menyebutnya sebagai ‘KL-City Pop’, satu genre yang menggabungkan elemen klasik dan moden.

Selain single, Aizat turut melancarkan muzik video (MV) berkonsepkan cereka pendek, yang mengisahkan perjalanannya menceburi Muay Thai – dari latihan biasa hingga ke perlawanan pertama. “Memang nampak senang, tetapi realiti dunia sukan sebenarnya penuh dengan kerja keras dan cabaran yang menguji fizikal serta mental,” kata Aizat.

Mengakhiri perbualan, Aizat berkata, “Saya harap semua yang mendengar lagu ini akan terhibur, sama ada ketika bersenam, di rumah atau gim. Ingatlah untuk mencabar diri dengan sesuatu yang baharu. Biarpun kalah, bangkit semula dan tegap berdiri.”

Single Tegap Berdiri kini boleh dimuat turun di iTunes dan didengari di pelbagai platform penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music. Muzik video eksklusif single ini pula boleh ditonton di saluran YouTube OfficialAizatAmdan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page