“3 Veto: Tiga Drummer, Enam Gitaris, Satu Pentas, Idea Gila” – Penganjur
Kredit Foto: Maestro Media
Sudah lama peminat muzik rock tanah air menantikan detik ini. Selepas puluhan tahun mencipta sejarah dan membina legasi masing-masing, akhirnya tiga nama paling berpengaruh dalam dunia rock tempatan iaitu Search, Wings dan XPDC bakal ‘mengganas’ di atas satu pentas menerusi Konsert 3 Veto yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena pada 1 Ogos depan.
Bukan sekadar konsert biasa atau malam sarat nostalgia, penganjuran mega yang menghimpunkan tiga legenda rock itu dijangka menjadi antara peristiwa paling bersejarah dalam kalendar hiburan tempatan tahun ini apabila penganjur Bintang Batu Event bersama Seri Simfoni Sdn Bhd menjanjikan sebuah persembahan luar biasa menerusi segmen ‘mashup’ eksklusif yang belum pernah dilakukan mana-mana konsert rock tempatan sebelum ini
Wakil penganjur, Ikhram Zainuddin memberitahu, segmen itu bukan sekadar kolaborasi biasa, sebaliknya sebuah persembahan bersejarah yang menggabungkan tenaga, karakter dan identiti unik tiga kumpulan yang menjadi tulang belakang muzik rock tempatan sejak era 80-an dan 90-an.

“Segmen mashup ini adalah antara elemen paling istimewa dalam Konsert 3 Veto. Untuk pertama kalinya, kami akan menyatukan kesemua pemuzik dan vokalis daripada Search, Wings dan XPDC di atas satu pentas dalam satu persembahan yang sama”, ujar Ikhram Zainuddin atau Atom ketika ditemui sewaktu sidang media yang telah berlangsung di The Agam, Sungai Penchala, pada 13 Mei lalu.
Ia bukan sekadar kolaborasi biasa, tetapi sebuah pengalaman muzik luar biasa apabila beberapa buah lagu akan dipersembahkan semula dalam bentuk mashup dengan gabungan tenaga tiga legenda ini.
“Bayangkan akan ada satu segmen, tiga pemain dram, enam pemain gitar dan tiga pemain bes berada di atas pentas dalam satu masa. Itu sendiri sudah cukup ‘gila’ dan mungkin sukar disaksikan dalam konsert lain”
“Setiap lagu akan diberi nafas baharu, namun masih mengekalkan roh asalnya. Kami percaya ini akan menjadi detik paling ikonik malam konsert ini,” tambahnya.

Segmen tersebut dijangka menjadi klimaks konsert apabila beberapa lagu malar segar akan dipersembahkan semula dalam susunan baharu, menggabungkan vokal serta permainan instrumen daripada ketiga-tiga kumpulan.
Konsert 3 Veto akan dimulakan dengan persembahan XPDC, sebelum disusuli Search dan diakhiri dengan Wings yang menutup tirai persembahan utama.
Setiap kumpulan dijangka mengisi slot sekitar satu jam, menjadikan keseluruhan konsert berlangsung lebih tiga jam tanpa henti. Selain segmen solo, penonton turut akan disajikan dengan beberapa kejutan termasuk segmen mashup yang menjadi taruhan utama malam bersejarah itu.

Antara lagu yang dijangka menghangatkan pentas termasuk “Sejati”, “Isabella” dan “Titian Perjalanan” yang akan diberi susunan muzik baharu tanpa menghilangkan identiti asal karya berkenaan.
Atom turut berkongsi bahawa idea menyatukan ketiga-tiga legenda itu timbul daripada minat mendalam terhadap karya mereka sejak kecil, selain mahu merealisasikan impian selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang penganjuran konsert.
“Hendak kumpulkan mereka ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi syukur semuanya berjalan lancar dengan kerjasama baik daripada semua pihak termasuk pengurusan artis,” katanya

Sementara itu, vokalis Wings, Datuk Awie berkata Konsert 3 Veto bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya menjadi lambang penyatuan jiwa seni yang telah berkembang dalam industri muzik tempatan sejak puluhan tahun lalu.
Katanya peluang bergabung dengan Search dan XPDC memberi makna besar kerana setiap kumpulan mempunyai sejarah, pengaruh dan kelompok peminat tersendiri yang setia mengikuti perjalanan seni mereka hingga kini.

“Peminat bukan sahaja akan menikmati persembahan, tetapi turut diharap dapat merasai semula semangat dan emosi yang pernah membesarkan mereka bersama muzik kami suatu ketika dahulu,” katanya.
Penganjur turut menyasarkan kehadiran sekitar 5,000 penonton di Mega Star Arena menerusi konsep tempat duduk dan berdiri, sekali gus membuktikan muzik rock masih mempunyai pengaruh besar walaupun industri muzik terus berubah.
Atom turut memberitahu bahawa sasaran itu dibuat berdasarkan kekuatan peminat setia tiga kumpulan berkenaan yang masih aktif hingga kini.
“Masing-masing ada pengikut sendiri. Bila Search, Wings dan XPDC disatukan dalam satu konsert, kami yakin sambutan akan sangat luar biasa. Malah kalau permintaan tinggi, kami juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah satu lagi malam konsert,” ujarnya.
Bukan sekadar bergantung kepada nostalgia, Konsert 3 Veto turut diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi audio visual moden termasuk pencahayaan berskala besar dan projection mapping bagi memberikan pengalaman lebih imersif kepada penonton.

Tiket Konsert 3 Veto berharga RM189 hingga RM1,500 boleh didapati menerusi platform UberTickets
