SEKAI NO OWARI Gegar KL Dengan Dunia Fantasi Muzik
Arena muzik Jepun mencipta sejarah di Malaysia apabila kumpulan popular SEKAI NO OWARI akhirnya membuat persembahan sulung mereka di tanah air menerusi konsert “SEKAI NO OWARI ASIA TOUR 2025 – PHOENIX” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober lalu.
Ribuan peminat setia membanjiri dewan konsert seawal petang bagi menyaksikan sendiri kehebatan kumpulan yang terkenal dengan konsep persembahan fantasi penuh warna-warni.

Uniknya, konsert dimulakan dengan penampilan seorang pelukis yang mula menconteng kanvas putih di atas pentas utama. Dengan setiap sapuan berus, perlahan-lahan terbentuk sebuah karya seni visual yang berkembang seiring rentak muzik pembukaan. Aksi ini bukan sahaja mencuri tumpuan, malah menjadi simbolik kepada “kelahiran semula” atau Phoenix yang menjadi tema jelajah kumpulan berkenaan.

Tidak lama kemudian, pentas diterangi permainan cahaya laser berwarna-warni dan pancaran lampu LED yang menukar suasana dewan seolah-olah menjadi dunia magis ciptaan SEKAI NO OWARI. Lagu Dropout terus memecah keheningan, diikuti sorakan peminat yang tidak henti-henti.
Sekai No Owari mempersembahkan lebih 15 buah lagu dalam konsert yang boleh diklasifikasikan cukup eksklusif. Antara lagu yang menjadi sandaran adalah RPG, Earth Child, Like A Scent, Birdman, Shikisai, Rain, Magic, Ginga Gai No Akumu, Fight Music dan sebagainya.
Sepanjang hampir dua jam persembahan, pencahayaan kreatif memainkan peranan besar dalam membentuk suasana daripada ledakan warna neon untuk lagu rancak hingga pancaran lembut biru dan ungu sewaktu mereka mendendangkan balada.

Sistem audio juga berada pada tahap terbaik. Vokal Fukase kedengaran jelas dan bertenaga, manakala alunan keyboard Saori, gitar Nakajin dan dentuman dram mengiringi aksi DJ Love dengan topeng ikoniknya, menghasilkan bunyi seimbang yang memuaskan setiap telinga peminat.
Lebih istimewa, interaksi mesra dengan penonton menjadikan malam itu penuh makna. Beberapa kali Fukase menyapa dengan “Apa khabar Malaysia?” dan “Terima kasih kerana menunggu kami begitu lama.” Suasana bertukar syahdu apabila penonton diarahkan menyalakan lampu telefon bimbit sambil melambai ketika Starlight Parade, menjadikan dewan bercahaya seperti langit penuh bintang.

Anggota lain turut tidak ketinggalan memeriahkan suasana. Saori kerap melambai sambil tersenyum, Nakajin berinteraksi dengan gitaris peminat di barisan hadapan, manakala DJ Love menghiburkan dengan gaya lucu yang membuatkan dewan gamat dengan gelak tawa.
Konsert anjuran iMe Malaysia ini nyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam menggabungkan kekuatan muzik, visual, seni lukis, pencahayaan dan interaksi mesra.

Bagi peminat, kehadiran SEKAI NO OWARI ke Kuala Lumpur bukan sekadar konsert, sebaliknya sebuah pengalaman seni lengkap yang berjaya membawa mereka “terbang” ke dunia fantasi ciptaan kumpulan tersebut.
Malaysia hanyalah salah satu destinasi dalam jelajah kali ini. Sebelum tiba di Kuala Lumpur, Sekai No Owari sudah menggegarkan pentas di Taipei, Hong Kong, Bangkok, Seoul, dan Singapura, sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta, Manila, serta Tokyo sebagai penutup.
Bagi peminat, konsert ini lebih daripada sekadar hiburan — ia sebuah pengalaman multisensori yang menyatukan muzik, cahaya, seni visual dan kehangatan emosi. Tidak hairanlah mengapa “Sekai No Owari Asia Tour 2025” dianggap antara siri jelajah paling berprestij tahun ini.
