Ramayan Meneroka Keindahan Dan Kedalaman Jiwa Dalam Single Terkini Samudera
Kumpulan muzik psychedelic tempatan, Ramayan, sekali lagi mewarnai skena muzik tempatan dengan pengumuman pelancaran single terbaru mereka, Samudera. Single ini merupakan satu ‘pemanasan’, sebelum pelancaran album penuh terbaru mereka yang dinamakan ‘Ini Adalah Ujian Transmisi’.
Samudera muncul sebagai titik pertemuan kedua selepas single pertama mereka, DENDANG!, yang telah menerima sambutan yang menggalakkan dari para peminat muzik tempatan sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu. Dalam rentetan kisah cinta dan karya seni, lagu ini diilhamkan oleh Pi’e, sebagai satu surat penghargaan kepada isterinya. Marine, nama isteri Pi’e, merujuk kepada lautan, sesuatu yang disampaikan dengan penggunaan perkataan bahasa Sanskrit tersebut, yang pada dasarnya adalah salah satu asal-usul bahasa Melayu. Kata Pi’e, “Dengan lagu ini kami ingin membawa pendengar ke dalam sebuah kisah tentang penghargaan yang mendalam terhadap kebesaran hati seorang wanita, lebih-lebih lagi seorang isteri ataupun ibu, yang sebesar lautan itu sendiri.”
Meskipun awalnya dianggap sebagai trek bonus dalam album kerana keunikan bunyinya yang berbeza daripada yang lain, Samudera akhirnya mengambil tempat terhormatnya dalam senarai lagu utama. “Disebabkan kedalaman emosi yang terkandung dalam melodi dan lirik lagu ini, kami percaya bahawa lagu ini wajib menjadi salah satu lagu utama dalam album ini.” luah Izzat. Tambah Que, “Lagu ini dengan sendirinya mempunyai sifat yang menenangkan dengan iramanya yang sayu dan sepoi-sepoi. Oleh itu, dari segi susunan muzik, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan bunyi-bunyian yang menekankan unsur-unsur tersebut dalam lagu ini.” “Disebabkan rentak dan iramanya yang ala 70an, lagu ini seolah-olah sesuatu yang biasa kita dengari, yang mungkin memberi perasaan nostalgia kepada pendengar. Namun tidak ada satu lagu pun di Malaysia yang sepertinya. Di situ juga salah satu keunikan lagu ini, pada pendapat kami.” kata Omar dengan yakin.
Ramayan tidak hanya ingin menghibur, tetapi juga ingin membawa pendengar melalui sebuah perjalanan spiritual yang mendalam melalui Samudera. Dengan kehadiran lagu ini di semua platform streaming digital, dipersembahkan bersama visualizer yang menawan di YouTube, Ramayan mengundang pendengar untuk merenung, menyerah, bersyukur dan rendah diri apabila menghadapi kebesaran alam. Walaupun pada luarannya lagu ini merupai sebuah lagu cinta terhadap kekasih hati, tetapi di dalamnya juga terdapat sebuah lagu cinta kepada Sang Pencipta.