“Mengemis Kasih” – The Zikr & Yabang Hidupkan Kembali Legenda
Nazrey Johani Kembali Bersama & Umum Konsert Eksklusif
Legenda nasyid, The Zikr kembali mencetuskan fenomena dengan single terbaru berjudul Mengemis Kasih hasil kolaborasi bersama bekas vokalis kumpulan Khalifah, Yabang.
Lebih bermakna, kemunculan lagu ini turut menandakan kembalinya suara emas nasyid moden, Nazrey Johani, yang pernah menjadi ikon era 90-an.

“Lagu ini diberi nafas baru dengan susunan muzik moden, tapi tetap mengekalkan roh ketuhanan. Kehadiran Yabang pula menambah keindahan dan kelainan,” kata Nazrey yang kini kembali aktif selepas pulih daripada masalah kesihatan.
The Zikr kini dibarisi semula oleh anggota asal seperti Nazrey, Amran Ibrahim (bekas Raihan), Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan dan Rosdi Zahari.

Menurut Syamsul, lagu The Zikr masih kekal segar di hati peminat termasuk di Indonesia dan Thailand. “Dari 2023 hingga 2025, kami lahirkan beberapa single termasuk Antara 2 Cinta dan Dunia Baru Islam. Mengemis Kasih adalah single terbaru yang membuktikan karya The Zikr masih dekat di hati pendengar,” katanya.
Single ini dilancarkan pada 26 September lalu menerusi YouTube Rusa Islamic dengan kerjasama Smart Audio Music. Video muziknya pula menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr, sekali gus mengimbau semula sejarah awal kumpulan legenda itu.
Lebih menarik, Nazrey dan The Zikr bakal tampil dengan Konsert Eksklusif pada 2026, yang dijangka mengubat rindu peminat setia nasyid tanah air.
“Konsert ini akan membawa nostalgia dan turut menampilkan artis undangan istimewa yang akan diumumkan nanti,” kata wakil pengurusan, Mas Ayie Mas Omar.
