Legenda Muzik Sheila Majid Kembali Dengan Moving On

Penyanyi legenda tanah air, Sheila Majid, terus mengukir sejarah dalam dunia muzik apabila melancarkan single terbaharunya bertajuk Moving On, sempena meraikan 40 tahun perjalanan seninya yang cemerlang.
Majlis pelancaran eksklusif yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights semalam disambut meriah dengan kehadiran para peminat, rakan industri dan wakil media, sekali gus menjadi bukti bahawa bintang bersuara lunak itu kekal relevan dalam industri muzik tanah air.
Moving On bukan sekadar lagu baharu, tetapi sebuah karya peribadi yang mencerminkan kekuatan, penyembuhan dan kebebasan diri. Dengan nuansa muzik era disko yang digabungkan dengan sentuhan nu-disco kontemporari, lagu ini membawa Sheila kembali kepada akar muziknya yang berinspirasikan irama era 80-an. Menurut Sheila, beliau tidak mengejar trend semata-mata, sebaliknya lebih mementingkan karya yang lahir daripada rasa dan jiwa. Katanya, lagu tersebut menjadi cerminan perubahan dirinya dalam dunia yang turut berubah, namun beliau tetap kukuh dengan identiti sebenar.
Selepas era pandemik, Sheila turut menyedari bahawa karya lamanya seperti Sinaran kembali mendapat perhatian generasi muda. Fenomena ini memberikan dorongan untuk beliau terus menghasilkan karya yang mampu menyatukan generasi lama dan baharu melalui bahasa muzik yang bersifat sejagat.
Lagu Moving On menyentuh soal pencarian identiti, khususnya dalam kalangan generasi muda yang sering berdepan tekanan dalam dunia digital hari ini. Ia menyeru pendengar untuk bangkit daripada kekecewaan, membina keyakinan diri serta mengejar kebebasan emosi.

Bagi menjayakan visi muziknya kali ini, Sheila bergandingan dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang telah menghasilkan pelbagai karya bertaraf antarabangsa. Lagu ini mendapat ilham daripada nama-nama besar seperti Donna Summer dan Diana Ross, menggambarkan kecintaan Sheila terhadap groove era 80-an dan irama city pop yang kini kembali digemari ramai, terutama dalam kalangan pendengar muda.
Kim Lim daripada Universal Music Malaysia menyifatkan Sheila sebagai bukan sahaja seorang legenda, malah seorang pencipta karya yang terus memberi inspirasi. Katanya, Moving On membuktikan bahawa seni yang tulen sentiasa mendapat tempat di hati para pendengar.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada artis-artis seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong. Para tetamu yang hadir dengan gaya pakaian bertema juga berpeluang memenangi hadiah ‘Best Dressed’, iaitu tiket ke konsert Sheila Majid yang akan datang.
Sheila juga akan kembali ke Pavilion Damansara Heights pada awal September ini bagi menyempurnakan acara susulan pelancaran, yang akan menampilkan pameran memorabilia khas. Pameran ini bakal memperlihatkan perjalanan seninya sejak tahun 1985, memberikan peluang kepada peminat untuk menelusuri sejarah dan pencapaian beliau sepanjang empat dekad dalam industri muzik.
Sheila Majid merupakan ikon seni suara Malaysia yang telah memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Industri Muzik dan Anugerah BASF di Indonesia. Beliau juga pernah mengharumkan nama negara dengan membuat persembahan di Jepun, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti Legenda, Antara Anyer dan Jakarta dan Sinaran, Sheila telah membentuk identiti muziknya yang tersendiri melalui gabungan jazz, pop dan R\&B. Dengan vokal unik, semangat yang tidak pernah luntur serta pendekatan muzik yang sentiasa berkembang, Sheila Majid terus menjadi inspirasi merentas generasi. Pelancaran Moving On membuktikan bahawa beliau masih unggul di persada seni, membawa semangat ketahanan dan keberanian dalam dunia muzik yang sentiasa berubah.