December 11, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lebih RM200 Ribu Ditawarkan Sempena Tahun Melawat Selangor 2025

Spread the love

Kerajaan Negeri meluluskan geran RM200,000 bagi mendorong penggiat industri pelancongan menonjolkan produk baharu yang lebih menarik sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata geran yang memanfaatkan 20 penggiat industri antara lain bertujuan memastikan sektor berkenaan terus pulih dan berkembang selepas terjejas ketika pandemik Covid-19

Disamping Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai kempen, kita juga luluskan geran untuk penggiat industri khususnya persatuan yang dapat tampilkan kelainan pada produk sekali gus mengharumkan nama Selangor,” ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan Selangor Travel Fair 2024 dan pra pelancaran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 di Sunway Pyramid yang berlangsung pada 2 November baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, Suee Lim yang diiringi EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad melancarkan logo Tahun Melawat Selangor 2025.

Turut dilancarkan lagu khas sempena Tahun Melawat Selangor 2025 bertajuk ‘Surprising Selangor’ yang dinyanyikan penyanyi Aizat Amdan.

Tourism Selangor menjangkakan Tahun Melawat Selangor 2025 dapat menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.

Untuk rekod, Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2023 dan Buletin DTS Bagi Suku Pertama 2024 memaklumkan Selangor mencatat pelawat domestik paling ramai dengan 27.6 juta diikuti Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.

Tourism Selangor telah mengadakan Selangor Travel Fair buat julung kalinya, yang telah berlangsung dari 1 hingga 3 November 2024, di Sunway Pyramid. Acara ini diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Selangor 2025, yang dibawakan khas bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya, pengalaman pelancongan dan tarikan terbaharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Tourism Selangor telah membawa lebih 20 produk pelancongan termasuk Heritaste mempromosikan kacang tumbuk sebagai suatu tarikan terbaru di Kg. Baru Jenjarom, Kuala Langat dan Gamuda Cove memperkenalkan pakej taman tema air Splashmania, di Kuala Langat serta banyak lagi tempat yang merangkumi 9 daerah di Selangor.

Turut hadir, Y.B. Datuk Borhan bin Aman Shah, EXCO Perumahan & Kebudayaan, Tuan Mohd Hasry bin Nor Mohd, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Nurfadhilah binti Jalaludin, Timb. Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page