September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kumpulan Dukes Berkhayal Bersama ‘Laila’

2 min read
Spread the love

Sebuah lagi kumpulan kugiran menyertai persada seni muzik negara dengan menggunakan nama ‘Dukes’. Membawa muzik berentak rock, kumpulan ini berasal dari Kuala Lumpur, Malaysia dan ditubuhkan di Universiti Malaya pada penghujung 2022. Pernah melancarkan lagu berjudul ‘Girls’ pada Ogos 2023, kini mereka muncul dengan sebuah lagi karya baharu berjudul ‘Laila’.

“Laila adalah sebuah lagu fantasi romantis yang meluahkan perasaan suka yang sangat dalam buat seorang gadis bernama Laila. Liriknya menggambarkan perasaan penyanyi yang terpegun dengan kecantikan serta keunikan keperibadian Laila sambil berkhayal mengimpikan saat bergurau senda bersama dengan rasa penuh kasih sayang. Korus lagu ini menekankan keinginan untuk mengulangi detik-detik manis tersebut manakala melodinya mencerminkan mimpi penyanyi yang tidak habis-habis memikirkan dan terbayangkan Laila dalam mindanya,” jelas mereka tentang lagu ini.

Kumpulan yang dianggotai Ziggy (penyanyi), Rayyan (gitar utama), Jimbo (gitar ‘rhythm’) Umar (pemain bass) dan Cheng Wei selaku pemain deram ini sangat teruja dengan karya mereka ini.

“Kami mempunyai harapan yang tinggi buat lagu ini. Proses rakamannya juga berjalan lancar dan sangat cepat kerana kami dapat bekerjasama dengan penerbit kami Amsyar dengan begitu mudah. Kami hanya menghadapi satu sahaja cabaran iaitu mencari waktu untuk menyiapkannya kerana kami semua sibuk dengan tugasan masing-masing di universiti,” tambah mereka lagi.

Semestinya mereka berharap lagu ini akan diterima baik oleh semua pendengar.

“Kami harap ia akan diterima sebaik sahaja dilancarkan namun yang paling penting supaya semua boleh merasai dan memahami maksud lagu serta liriknya. Oleh kerana kami masih muda dan baharu di bidang ini, matlamat utama kami adalah untuk dikenali melalui lagu ini,” kata mereka menutup bicara dengan penuh harapan.

Bakal dikeluarkan pada tarikh 21 Jun 2024, ‘Laila’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page