July 21, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

20 Pemenang Bertuah Telah Bertemu Joe Flizzow di Sebuah Sesi Tertutup

2 min read
Spread the love

Baru-baru ini, satu majlis “Meet and Greet” bersama ‘Mr. President’, Joe Flizzow telah diadakan di The Founders Cafe, Johor Bahru. Acara ini juga mendapat sokongan daripada stesen radio terkenal di Selatan negara, BEST FM, yang telah menjalankan kempen untuk menyokong kerjasama antara Universal Music Malaysia dan Def Jam Asia.

Sesi bertemu peminat dan sidang akhbar eksklusif ini diadakan bagi menyokong konsert akan datang oleh Joe Flizzow di Singapura. Seramai 20 pemenang telah dipilih melalui kempen yang dijalankan di BEST FM dan mereka berpeluang untuk bertemu Joe Flizzow dan SonaOne dalam satu majlis tertutup di Johor Bahru.

Dalam sesi bertemu peminat selama 20 minit itu, Joe Flizzow mempersembahkan sebuah lagu istimewa untuk peminat bertuahnya. Kempen ini adalah salah satu inisiatif bersama penganjur, Filloz International dan LR Asia dengan kerjasama BEST FM serta penaja lokasi, The Founders Cafe Johor Bahru untuk mempromosikan konsert di Singapura yang akan diadakan bulan depan.

Konsert THIS IS JOHAN, LIVE IN SINGAPORE akan diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 5 Julai 2024, jam 8 malam. Konsert ini juga menjemput enam rakan artis lain untuk memeriahkan acara yang akan berlangsung selama 2 jam itu.

Antara artis yang akan terlibat dalam konsert ini ialah Alyph, SonaOne, Gard, Ila Damiaa, MK K-Clique, dan juga Adeep Nahar. Seperti konsert-konsert terdahulu yang pernah diadakan di Kuala Lumpur, konsert ini akan menampilkan DJ Cza dan Joe Flizzow yang akan membawa lebih daripada 20 lagu istimewa untuk peminat muzik hip-hop di Kota Singa.

Ini adalah konsert SOLO pertama Joe Flizzow di Singapura dan apabila ditanya mengenai perasaannya, beliau menjawab;

“Saya sangat teruja untuk membuat persembahan di Singapura bersama pemuzik dan juga artis jemputan dari Singapura dan Malaysia. Saya akan mempersembahkan beberapa lagu baru dari album terbaru, yang belum pernah didengari di mana-mana tempat lain.

“Bagi saya, Singapura adalah destinasi yang mesti ada dalam Tour This Is Johan dan saya gembira bahawa tour ini akan bermula di Singapura,” kata Joe Flizzow semasa sesi promosi yang diadakan di Singapura pada Februari 2024.

Harga tiket untuk konsert This Is Johan Live in Singapore bermula dari SGD88 hingga SGD208 termasuk sesi “Meet n Greet” bersama Joe Flizzow. Penaja utama konsert ini ialah POP Motif Interior, manakala radio rasmi di Singapura adalah RIA 89.7 dan konsert ini juga disokong oleh Mangobossku Singapore.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page