KRU Lancar Single Terbaru “Voodoo” dengan Teknologi AI
Nama besar dalam industri muzik tempatan, kumpulan KRU kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single dan video muzik terbaru mereka, “Voodoo,” dari album baharu berjudul “Kaset.” Lagu ini mengekalkan DNA muzik KRU yang terkenal dengan gabungan Pop Dance, Hip Hop, dan R&B, sekaligus mengimbau nostalgia kegemilangan kumpulan ikonik ini.
Dicipta oleh Norman, Yusry, dan Edry, “Voodoo” mengisahkan seorang lelaki yang terpesona dan terperangkap dalam tarikan luar biasa seorang wanita. Persembahan vokal matang, gubahan melodi sofistikated, dan penerbitan muzik berteknologi tinggi menjadikan lagu ini sebagai satu karya yang menonjol.
Apa yang lebih menarik, video muzik “Voodoo” membawa penonton ke era awal 90-an, menggambarkan “prequel” fiksyen kerjaya KRU sebelum mereka melancarkan album pertama pada tahun 1992. Inovasi terus menjadi identiti kumpulan ini apabila mereka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) masing-masing, menjadikan KRU artis tempatan pertama yang meneroka teknologi ini dalam video muzik.
“Voodoo amat istimewa bagi kami, bukan sahaja sebagai karya baru selepas enam tahun, tetapi juga sebagai langkah memperkenalkan teknologi AI dalam penerbitan muzik tempatan,” kata KRU. Mereka turut berharap lagu ini mendapat sambutan hangat dan menjadi daya tarikan untuk peminat menghadiri konsert “Kaset” yang dijadualkan tahun hadapan.
Lagu “Voodoo” kini boleh didengarkan di platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, dan Spotify. Video muziknya pula bakal dilancarkan di saluran YouTube rasmi KRU, krubros.
Album “Kaset” menandakan kebangkitan KRU sebagai trendsetter dalam industri muzik. Dengan gabungan kreativiti, nostalgia, dan teknologi terkini, kumpulan ini terus membuktikan relevansi mereka dalam industri hiburan tanah air.
Untuk maklumat lanjut mengenai KRU dan aktiviti mereka, peminat boleh mengikuti akaun rasmi KRU di Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.