Konsert “Spider Unplugged” Tawar Pengalaman Muzik Lebih Intim

Selepas lebih dua dekad menyulam karya yang menjadi suara dan jiwa kepada ribuan hati, kumpulan rock popular tanah air, Spider, bakal kembali menyapa peminat dengan sisi yang lebih peribadi dan menyentuh rasa menerusi konsert eksklusif “Spider Unplugged”.
Dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment ini bakal berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, konsert ini bukan sekadar sambutan ulang tahun penglibatan mereka dalam industri, tetapi sebuah penghormatan kepada perjalanan muzik yang membentuk hidup banyak orang dari generasi awal hingga pendengar baharu.
Dan kali ini, Spider memilih untuk “meleraikan kabel” tampil tanpa amplifikasi berat, sebaliknya mendekat dengan muzik yang jujur, akustik dan menyelinap terus ke dalam jiwa.
“Kami mahu bawa peminat kembali kepada rasa asal lagu-lagu kami. Lebih dekat, lebih jujur, lebih hidup,” kata Tam, vokalis utama Spider ketika ditemui media di Ideas Hotel Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.

Bayangkan alunan “Relaku Pujuk”, “Kasih Latifah” atau “Nazraku” dalam susunan akustik yang lebih emosional. Nada-nada ringan yang membawa berat makna. Dalam suasana lebih intim, setiap bait lirik yang selama ini didendangkan di radio kini boleh dihayati dalam bentuk paling tulen dan menyentuh.
Konsert ini juga bukan sekadar pentas persembahan, tetapi ruang refleksi, bagi Spider dan juga peminat yang membesar bersama muzik mereka. Ada yang menyatakan lagu Spider menjadi latar perkahwinan, ada yang menjadikannya penguat semangat dalam saat sukar, bahkan ada yang menamakan anak mereka sempena watak dalam lagu Spider.
“Itulah ganjaran sebenar buat kami bila karya menjadi sebahagian daripada hidup orang,” tambah Tam.
Selepas kehilangan dua anggota asal mereka, Allahyarham Tony dan Allahyarham Nafie, Spider tidak rebah. Mereka kembali bangkit dengan barisan baharu yang bersatu di bawah semangat dan jiwa asal kumpulan. Konsert ini akan menjadi pentas rasmi memperkenalkan lineup terkini Spider kepada umum.
Walau wajah berubah, identiti tetap teguh. Evolusi bunyi Spider mungkin berkembang, tetapi jati diri muzik mereka tetap utuh penuh warna, penuh makna.

Sebagai kumpulan yang telah menongkah arus lebih dua dekad, Spider juga tidak lokek berkongsi pandangan dengan pemuzik muda. Mereka mengingatkan agar tidak terlalu leka mengejar “viral”, sebaliknya terus menjaga keindahan bahasa dan ketelitian dalam karya.
Mereka juga menyebut nama Late Night Frequency sebagai antara kumpulan baharu yang mempunyai pendekatan segar dan perlu diberikan ruang lebih luas untuk bersinar.
“Perubahan itu perlu, tapi biarlah perubahan itu datang dengan jiwa. Jangan hilang identiti semata-mata nak kejar pasaran,” pesan Tam.
Konsert ini juga adalah pembuka jalan kepada sambutan ulang tahun ke-30 Spider pada tahun 2026. Dalam perancangan mereka, Spider mahu muzik tidak hanya berlegar di kota. Mereka bercadang untuk menjelajah ke luar bandar, sekolah dan komuniti menjadikan muzik sebagai wahana pendidikan, inspirasi dan penyatuan.

Tiket Spider Unplugged boleh dibeli melalui laman www.ilassotickets.com/spiderunplugged, bermula pada harga RM198. Beberapa kategori termasuk pakej premium meet & greet turut ditawarkan sesuai untuk peminat tegar yang mahu mencipta kenangan istimewa bersama Spider.