October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ismail Izzani Bangkit dengan Karya Penuh Makna Menerusi “Tenggelam”

Spread the love

Penyanyi dan penulis lirik muda berbakat, Ismail Izzani, kembali merancakkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Tenggelam”, sebuah karya balada pop yang sarat emosi dan memperlihatkan kematangan artistiknya yang semakin menyerlah.

Disulam dengan melodi menyentuh jiwa dan lirik puitis, Tenggelam bukan sekadar lagu cinta biasa. Dicipta bersama Brendan Lim Seng Meng dan digubah oleh Amanda Gnai Song Hui serta Brendan sendiri, lagu ini diterbitkan oleh pasukan produksi terkenal, MFMF., yang turut bertanggungjawab menyusun komposisi secara moden namun tetap emosional.

“Lagu ini bukan tentang kejatuhan atau kesedihan. Tenggelam adalah metafora kepada rasa cinta yang sangat mendalam — tentang bagaimana perasaan itu membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita,” ujar Ismail.

Menurut Ismail, proses penciptaan lagu berlaku dengan sangat spontan dalam sesi pertama di studio MFMF. Tanpa sebarang perancangan yang rumit, inspirasi datang terus sebaik sahaja beliau mendengar ‘beat’ asas lagu tersebut.

“Prosesnya sangat organik. Hook lagu ini muncul serta-merta. Saya bersyukur kerana banyak bahagian lirik datang terus daripada hati saya sendiri,” tambahnya.

Muzik video rasmi untuk Tenggelam turut menampilkan pendekatan yang lebih eksperimental. Tanpa naratif konvensional, video ini menekankan emosi dan mood visual dengan sentuhan estetika era Y2K satu gaya yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Kami mulakan penggambaran seawal 4 pagi. Tapi saya suka sebab bila mula awal, ada ruang untuk improvise. Banyak ilham spontan muncul ketika berada di set. MV ini bukan tentang jalan cerita, tetapi tentang vibe dan perasaan yang ingin saya sampaikan,” jelas Ismail lagi.

Kehadiran individu yang pernah bersama sejak awal kerjayanya, seperti Ghazi Maslan dan Lily, turut menjadikan pengalaman penghasilan lagu dan muzik video ini lebih bermakna buat Ismail.

Ismail mengakui bahawa Tenggelam merupakan titik permulaan baharu dalam fasa kematangan muziknya. Lebih daripada sekadar penyanyi, beliau mahu dikenali sebagai seorang pemuzik dan penghibur yang mampu menyentuh hati pendengar.

“Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba sampaikan. Saya mahu orang terima saya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pemuzik yang boleh memberi kesan kepada mereka. Moga Tenggelam jadi permulaan kepada lebih banyak karya selepas ini,” ujarnya penuh harapan.

Single Tenggelam kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox, dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Ismail Izzani bermula 19 Jun 2025


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page