“HERE I AM”: Rossa Kukuhkan Status Ikon Pop Serantau di Dua Negara

Nama Datuk Seri Rossa sekali lagi mengukir sejarah dalam dunia hiburan serantau apabila berjaya menakluki dua pentas stadium megah di dua negara menerusi konsert solo berskala besar bertajuk HERE I AM. Selepas mencipta fenomena di Indonesia Arena, Jakarta dengan kehadiran lebih 12,000 penonton, giliran Kuala Lumpur pula menjadi saksi kehebatan diva tersohor ini di Axiata Arena, Bukit Jalil yang menyaksikan lebih 10,000 peminat membanjiri ruang stadium pada malam 14 Jun 2025.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi status Rossa bukan sahaja sebagai ikon pop di Indonesia, malah sebagai figura penting yang menyatukan emosi dan kenangan muzik Nusantara. Dengan lebih 30 tahun dalam industri, penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu balada menyayat hati ini membuktikan bahawa sinarnya masih terang dan relevan merentas zaman.

Di Jakarta, Rossa mencipta sejarah tersendiri sebagai penyanyi solo pertama dari Indonesia yang menjayakan konsert berskala stadium nasional tertutup — sebuah pencapaian luar biasa di Indonesia Arena. Persembahan yang sarat emosi itu turut diperkukuh dengan produksi pentas bertaraf antarabangsa, dari sistem pencahayaan yang dramatik hingga paparan visual yang sinematik.
Aura megah itu diteruskan di Kuala Lumpur, di mana penonton disajikan dengan momen-momen magis yang menyentuh hati. Rossa membuka konsert dengan gaun putih rekaan Adeline Ester dan terus menawan mata setiap penonton dengan gaun berhias Swarovski hasil sentuhan pereka tempatan tersohor, Khoon Hooi. Secara keseluruhan, sebelas gaun eksklusif direka khas oleh pereka dari Indonesia dan Malaysia menghiasi persembahan beliau malam itu, menjadikan pentas bukan sekadar ruang suara tetapi juga landasan fesyen dan ekspresi seni.

Antara detik paling menyentuh ialah kemunculan mengejut Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang hadir sebagai tetamu bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Rossa yang menyedari kehadiran sahabat baiknya itu dengan spontan mengajak Siti ke pentas, lalu mereka berdua berduet membawakan lagu Percayalah, mencipta kenangan manis yang akan terpahat dalam sejarah persembahan kedua-dua diva ini.
“Saya sangat bersyukur dapat kembali ke Axiata Arena setelah 15 tahun. Malaysia selalu saya anggap sebagai rumah kedua kerana kalian menerima saya seperti keluarga,” ujar Rossa dengan penuh rasa syukur dan emosi.






Konsert ini turut menyaksikan kolaborasi tenaga kreatif dari dua negara. Lebih 180 kru produksi profesional dibawa khas dari Jakarta, termasuk pemuzik, penari, penyanyi latar dan tenaga teknikal. Turut serta adalah pasukan penggiat seni dari Malaysia yang membantu menjayakan keseluruhan produksi dengan kemeriahan dan profesionalisme tinggi.
Dianjurkan oleh Inspire Production dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Sah Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi manifestasi perjalanan seni dan legasi seorang Rossa — yang tidak pernah gentar untuk berdiri di tengah-tengah pentas, menyatakan “Here I Am” kepada dunia.
Menurut Rossa, Here I Am bukan hanya sebuah konsert, tetapi satu refleksi mendalam tentang perjalanan hidup dan kerjayanya. “Judul konsert ini mewakili saya sebagai Rossa yang sebenar. Saya mahu setiap orang yang mendengar lagu-lagu saya tahu bahawa tidak apa untuk menerima diri sendiri. Konsert ini adalah tentang mencintai diri, berdamai dengan masa lalu, dan meraikan setiap langkah yang telah dilalui,” jelas beliau.

Dengan himpunan lagu-lagu hits sepanjang kariernya, termasuk Ayat-Ayat Cinta, Tegar, Hati Yang Kau Sakiti dan Kini, malam itu menjadi satu perayaan besar buat peminat yang telah setia bersama Rossa sejak awal kerjayanya.
Konsert HERE I AM membuktikan bahawa seni dan cinta terhadap muzik mampu menghubungkan dua negara, dua budaya, dan ribuan hati. Dan buat Rossa, setiap lagu yang dinyanyikan adalah surat cinta kepada para pendengar yang tidak pernah jemu memberi sokongan.

“Ini bukan sebuah penutup. Ini adalah permulaan baru dari seorang Rossa yang akan terus hadir, menyanyi, dan mencintai kalian semua.”