December 11, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Hafiz Hamidun Lancar Lagu Baharu Berjudul ‘Raudah’ Sempena Maulidur Rasul

Spread the love

Penyanyi pop dakwah terkenal, Hafiz Hamidun, kembali dengan sebuah karya istimewa berjudul ‘Raudah’, yang dihasilkan sempena sambutan Maulidur Rasul akan datang.

Hafiz menjelaskan bahawa lagu ini menggambarkan perjalanan rohani dan emosi beliau ketika menziarahi Masjid Nabawi di Madinah. “Lirik lagu ini menzahirkan pengalaman saya berdoa di Raudah, yang bermaksud ‘taman syurga’. Ia adalah tempat umat Islam beriktikaf, bersolat, dan berdoa dengan penuh pengharapan,” katanya.

Menurut Hafiz, korus lagu ini menyampaikan doa dan keinginan untuk bertemu Rasulullah SAW di Jannah, manakala bahagian ‘bridge’ memberi penghormatan kepada Nabi dengan pujian dan doa. “Lagu ini adalah luahan kerinduan kepada Rasulullah dan penghayatan terhadap rahmat Ilahi,” tambahnya.

Proses rakaman lagu ‘Raudah’ hanya mengambil masa tiga minggu, termasuk penulisan lagu, rakaman vokal, serta adunan dan mastering. “Saya menggunakan khidmat pemuzik tempatan dan antarabangsa dari Istanbul. Nuansa Timur Tengah dalam lagu ini bertujuan menghidupkan suasana spiritual,” jelasnya.

Menariknya, Hafiz turut menghasilkan klip video lagu ini semasa menunaikan umrah. Rakaman dijalankan di Mekah dan Madinah, termasuk kawasan Raudah. “Saya berpeluang berada di Raudah lebih dua jam, satu pengalaman yang jarang berlaku. Rakaman video ini adalah kenangan manis yang diabadikan dalam karya ini,” ujarnya.

Hafiz berharap lagu ini bukan sahaja menyentuh hati pendengar tetapi juga membangkitkan kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah SAW. “Sempena Maulidur Rasul, marilah kita perbanyakkan selawat dan menghidupkan sunnah baginda,” pesannya.

‘Raudah’ dijadualkan dilancarkan pada 6 September 2024 dan boleh didapati di semua platform digital termasuk Spotify, YouTube, dan Apple Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page