CRADLE Live! – Merayakan Jiwa Rock Nusantara Dalam Ruang Intim

Kredit Foto : FB Addy Rasidi
Pada 14 November 2025, ruang Poolside Bistro di tingkat tiga Ideas Hotel Kuala Lumpur bakal bertukar menjadi medan pertemuan dua jiwa muzik yang berbeza generasi tetapi seiring semangat. Datuk Ramli Sarip, ikon “Papa Rock” Malaysia, dan CRADLE, kumpulan rock alternatif Singapura yang pernah mewarnai landskap muzik nusantara dengan warna grunge pada era 1990-an.
Showcase bertajuk Cradle Live!, yang dianjurkan oleh Rasa Karya, tampil dengan konsep unik dimana ianya bukan sekadar sebuah persembahan intim, santai, tetapi tetap sarat dengan tenaga. Ia menjanjikan pengalaman berbeza berbanding konsert besar di stadium atau dewan, kerana penonton bukan sekadar menyaksikan, tetapi juga berada hampir dengan denyut nadi pemuzik di pentas.


Nama CRADLE mula terpahat dalam sejarah apabila meluncurkan album sulung Gurindam Keluli (1996, EMI Records). Album ini menerima pujian meluas pengkritik muzik kerana berani menampilkan rock Melayu moden dengan jiwa segar. Lagu seperti Rengekan, Gurindam Keluli, Di Tebing Suram dan Untuk Siapa menjadi antara karya yang dikenang sehingga kini.
Namun, perjalanan gemilang barisan asal tidak panjang. CRADLE dibubarkan pada 1998, menutup lembaran era pertama mereka.
Selepas dibubarkan CRADLE kembali bersama Addy (gitar/vokal), Eiz (vokal), Zul (bass) dan ADH (dram) bukanlah nama asing dalam khazanah muzik serantau. Dengan kemampuan mereka memadukan pengaruh barat dan kehalusan jiwa nusantara, band ini pernah mencipta sejarah melalui album Ceritera Awan (2007). Dari album itulah lahir lagu “AYU”, karya yang bukan sahaja mengangkat mereka ke pentas Anugerah Planet Muzik 2008 dengan kemenangan Lagu Terbaik, malah mengukuhkan posisi mereka apabila album tersebut turut meraih gelaran Album Terbaik Tahun 2008.

Kehadiran Ramli Sarip dalam showcase ini membawa makna simbolik. Beliau mewakili generasi pengasas rock Melayu, dengan suara penuh roh dan lirik yang kaya makna. Sementara itu, CRADLE melambangkan gelombang alternatif yang berani mengangkat identiti baharu rock serantau pada era moden. Pertemuan ini, secara tidak langsung, ialah dialog muzik antara masa lalu dan masa kini sebuah penghormatan terhadap kesinambungan seni.
Menariknya, Addy Cradle sendiri sudah lama menjadi jambatan antara dua dunia ini. Sebagai gitaris yang sering diundang ke pentas artis ternama Malaysia termasuk Awie dan Ella, Addy tidak pernah terikat oleh sempadan negara. Gaya permainan gitarnya yang bertenaga, teknikal, tetapi tetap berjiwa seraya menjadikan beliau tokoh penting dalam ekosistem muzik Malaysia dan Singapura.
Lebih daripada sebuah persembahan, Cradle Live! boleh dilihat sebagai upacara penghargaan, kepada perjalanan panjang sebuah band yang menolak untuk dilupakan, kepada warisan seorang legenda yang masih membara, dan kepada penonton yang sudi menghidupkan semula momen-momen berharga dengan kehadiran mereka.

Acara bermula dengan makan malam bufet jam 8 malam sebelum persembahan utama bermula jam 9.30 malam. Tiket berharga RM250 (Front Row) dan RM160 (Bistro & Smoking Zone) boleh didapati di laman www.iLassoTickets.com/cradlelive atau dengan menghubungi +60 11-1329 7822.