July 16, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Beli Tiket “Konsert Dato’ M. Nasir Cipta 3”, Menangi Harley Davidson

Spread the love

Peminat seni muzik tanah air bakal disajikan sebuah malam penuh legenda apabila Konsert Dato’ M. Nasir Cipta 3 dilangsungkan pada 27 September 2025, jam 8 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Menariknya, pembeli tiket berpeluang membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson sebagai hadiah cabutan bertuah.

Konsert penutup trilogi bersejarah ini tampil dengan tema eksklusif “Malam Ini Gua Rock”, yang bakal memperlihatkan sisi paling keras dan energetik maestro agung, Dato’ M. Nasir, sebagai penyanyi, pencipta, dan arkitek utama muzik rock Nusantara. Acara ini dianjurkan oleh Icon Entertainment dengan sokongan Etiqa sebagai rakan strategik utama.

“CIPTA 3 bukan sekadar konsert. Ia adalah sebuah perayaan rock dan penamat trilogi yang epik. Kita akan melihat bagaimana Dato’ M. Nasir mempersembahkan karya-karya rock yang pernah melonjakkan kugiran seperti Search, Wings, Bloodshed, Spider dan lain-lain dalam bentuk yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” kata Iman Tang, Pengasas Icon Entertainment semasa sidang media yang berlangsung di Hard Rock Café Kuala Lumpur, 30 Jun lalu.

Antara lagu yang dijangka menjadi kemuncak malam termasuk Pawana, Sejati, dan Intanku Kesepian, disampaikan dalam versi rock yang penuh seni. Penonton juga berpeluang menyelami kisah-kisah di sebalik penciptaan lagu-lagu tersebut, yang akan dikongsikan oleh Dato’ M. Nasir sendiri.

Malah, pengunjung digalakkan hadir dengan gaya tersendiri melalui tema pakaian “Rock Cara Lu… Janji Rock”, melambangkan semangat ekspresi bebas dan penghormatan kepada budaya rock tempatan.

Sementara itu M. Nasir atau nama penuhnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, turut mendedahkan bakal membawakan lebih 30 buah lagu yang menjadi repertoar sepanjang karier beliau sebagai ‘arkitek’ seni.

Tiket konsert akan mula dijual kepada umum pada 4 Julai 2025, jam 11 pagi, menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my/mnasircipta3. Pra-jualan eksklusif akan dibuka sehari lebih awal, pada 3 Julai 2025 jam 2.00 petang, menerusi aplikasi Etiqa+.

Tiket ditawarkan pada harga RM258 (TEGUH), RM358 (OPERA HIDUP), RM458 (ISI DAN KULIT), RM488 (SEJATI), RM558 (GADISKU) dan RM628 (PAWANA).

Untuk info CIPTA 3 menyusuli kejayaan CIPTA 1 (Ogos 2024) yang mencatat lebih 8,000 kehadiran, dan CIPTA 2 (Oktober 2024) yang mencipta memori luar biasa apabila ribuan ringgit wang kertas RM1 ‘dihujankan’ kepada penonton semasa lagu raya dinyanyikan. Populariti siri ini turut mendorong penganjuran konsert spin-off CIPTA RAYA pada April 2025.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghormatan kepada sumbangan besar Dato’ M. Nasir dalam membentuk landskap muzik rock dan popular Malaysia,” tambah Iman Tang.

Konsert DATO’ M. NASIR CIPTA 3 dijangka menjadi malam penuh magis dan sejarah. Jangan sekadar menonton melalui skrin jadilah sebahagian daripada legasi seni negara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page