November 15, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Banduan” Angkat Filem Aksi Melayu ke Peringkat Dunia

Spread the love

Naskhah arahan Kroll Azry raih perhatian pengedar antarabangsa sebelum tayangan

Filem aksi thriller Melayu berjudul Banduan, arahan Kroll Azry dan dibintangi Aaron Aziz, bakal mencipta sejarah apabila menarik perhatian pengedar filem dari UK, Amerika Syarikat dan Kanada ,jauh sebelum tayangan rasminya di Malaysia pada 6 November 2025.

Diterbitkan oleh Number Twenty One Media dan Dream Warrior Pictures, Banduan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Fadhli Masoot dan Adlin Aman Ramlie, dengan gabungan aksi intens serta emosi mendalam yang jarang dilihat dalam filem tempatan.

Menariknya, filem ini diinspirasikan daripada blockbuster Tamil 2019, Kaithi, namun bukan sekadar adaptasi semula.

“Kami olah semula kisahnya dengan pandangan yang benar-benar Malaysia dari budaya, dialog hingga emosi,” jelas pihak produksi.

Mengisahkan Dali (lakonan Aaron Aziz), seorang bekas banduan yang berjuang untuk bertemu semula dengan anak perempuannya, dan Inspektor Johari, pegawai polis yang berpacu dengan masa menyelamatkan rakan-rakannya yang diracun. Dalam satu malam penuh debar, mereka berdepan Rejab, ketua geng kejam lakonan Abi Madyan, dalam pertembungan antara undang-undang, kesetiaan dan kelangsungan hidup.

Menurut Kroll, cabaran terbesar ialah menyeimbangkan penghormatan terhadap Kaithi dan keaslian tempatan.

Banduan membawa tekstur Malaysia yang tersendiri bermula daripada bahasa, humor, moral, semuanya berpaksikan realiti kita,” katanya.

Bagi menjayakan watak Dali, Aaron Aziz menjalani latihan fizikal intensif termasuk belajar memandu lori, sesuatu yang pertama kali dilakukannya sepanjang karier.

“Aaron membawa kekuatan dan sisi kemanusiaan dalam wataknya,” kata Kroll memuji dedikasi aktor berpengalaman itu.

Menariknya, Banduan turut membuka peluang pembentukan alam sinematik pertama Malaysia, dengan dunia dan watak yang berpotensi dikembangkan kepada sekuel atau spin-off.

“Kami mahu Banduan berdiri sendiri dahulu, tapi kami sudah bina dunia yang cukup luas untuk dikembangkan,” kata penerbit Kalyana Devan.

Di Malaysia, Banduan akan diedarkan oleh Astro Shaw, dengan tayangan serentak di Malaysia dan Brunei pada 6 November, diikuti Singapura pada 13 November. Filem ini juga akan membuat tayangan perdana antarabangsa di International Film Festival of Australia.

“Kami terkejut dengan minat luar biasa dari pengedar luar. Ia bukti bahawa naskhah tempatan mampu menembusi pasaran global,” tambah Kalyana.

Dengan gabungan aksi mendebarkan dan emosi manusiawi, Banduan bersedia menjadi penanda aras baharu sekaligus menjadikan sinema Malaysia lantang di pentas dunia, tanpa kehilangan jati dirinya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page