“Anugerah Itu Adalah Perkara Kedua, Saya Lebih Utamakan Kepuasan Peminat” – Dato Seri Siti Nurhaliza
Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang menerima pengiktirafan Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 dengan gelaran Biduanita baru-baru ini, mengakui lebih selesa dengan panggilan ‘Siti Nurhaliza’ sahaja berbanding panggilan ‘Biduanita’.
“Anugerah itu adalah perkara kedua, siapa yang tidak suka apabila diberikan ‘penghormatan’ tersebut, tidak terlintas pun akan diberikan pengiktirafan sebesar ini kerana saya lebih utamakan kepuasan peminat. Hati saya senang jika melihat peminat berpuas hati dan terhibur,” ujarnya ketika ditemui media pada majlis apresiasi media dan pelancaran single Sejarah yang berlangsung di Restoran The Roomah, Solaris Dutamas, pada 26 November lalu.
“Segan dengan gelaran Biduanita, panggil sahaja Siti macam biasa. Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu rumahtangga. Saya juga masih menjual barang di TikTok kerana itu adalah tanggungjawab,” katanya.
“Alhamdulillah, bagi saya anugerah akan datang dengan sendiri apabila kita bekerja keras. Bukan saya tidak hargai watikah yang diberikan, saya bersyukur dan anggap suatu penghormatan yang besar.
Menyentuh mengenai lagu Sejarah yang baru sahaja diriliskan, ianya mempunyai signifikan tersendiri dalam karier Siti Nurhaliza yang bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung di dalam industri muzik.
Bagi Siti, Sejarah merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu. Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau.
“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti.
Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.
Di majlis yang sama juga Siti turut menasihati ‘artis’ mahupun individu agar terus ‘bermimpi’, kerana mimpi itu akan membuatkan sesorang itu berusaha untuk mengapai impiannya.
“Bermimpilah kerana setiap orang berhak untuk bermimpi dan berangan-angan. Selain bermimpi mementaskan konsert di Royal Albert Hall, London, saya juga pernah berangan mengadakan konsert sebelum usia 19 tahun dan cita-cita itu menjadi kenyataan”, tambah beliau.
Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital sejak 14 November 2024.
Pada majlis yang sama, Siti turut meraikan pihak media yang selama ini menjadi tulang belakang di atas kejayaan beliau sejak bergelar artis. Bagi Siti, pihak media sudah menjadi sahabat dan keluarga yang telah banyak membantu memperkenalkan beliau kepada masyarakat dan peminat.
Bagi menghargai kerjasama pihak media selama ini, Siti turut mengadakan acara khas iaitu sesi cabutan bertuah di samping semua yang hadir menerima cenderahati khas.
Selain itu, Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti atas penganugerahan gelaran biduanita negara dan pelancaran single Sejarah.