September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Akhirnya ALVN Tampil Dengan Album Studio ‘Between The Lines’, ‘Rescue Me’ Menjadi Titik Mula

3 min read
Spread the love

Penyanyi dan pelakon tersohor kelahiran Malaysia, ALVN, bakal merealisasikan salah satu impiannya yang terbesar apabila beliau melancarkan album studio penuh bertajuk ‘Between The Lines’.

Pengenalan ini dimulakan dengan sebuah lagu berjudul ‘rescue me’ yang digubah Hyuk Shin dan Seann Bowe bersama lirik nukilan Bowe dan ALVN sendiri. Lagu ini, yang disusun oleh CUURLEY dan juga diterbitkan oleh Hyuk Shin, menceritakan tentang sesuatu yang sangat peribadi dan dekat dengan hati ALVN.

“Lagu ini berkisar tentang kesedaran bahawa cinta bukan untuk anda, terutamanya ketika melihat orang lain seperti rakan-rakan rapat anda jatuh cinta, berkahwin, dan mempunyai anak. Ini kerana setiap kali anda cuba untuk menjalinkan hubungan, ia seakan-akan tidak bertahan lama.

Secara peribadi, tiada satu pun hubungan istimewa saya yang lalu, yang bertahan lebih dari setahun. Ia biasanya bertahan sama ada tiga, empat atau enam bulan sahaja. Jadi, selepas beberapa pertemuan, saya mula mempersoalkan diri sendiri dan bertanya mengapa ia begitu sukar bagi kita tetapi begitu mudah bagi orang lain untuk mencari cinta. Itulah cerita dan inspirasi di sebalik lagu ini,” kata ALVN mengenai lagu tersebut.

Beliau berkata bahawa situasi-situasi ini jelas digambarkan dalam lirik lagunya, terutama dalam pra-korus dan korus lagu tersebut.

“People just float by nobody stays, why is it always this way. Yang bermaksud, orang hanya berlalu pergi, tiada siapa yang kekal, mengapa ia selalu begini?”

“I’ve been trapped in this place too long”, “It’s like heaven build a prison for me,” Ini bermakna anda rasa seperti terperangkap di satu tempat terlalu lama. Syurga sebenarnya membina penjara untuk anda,” nyanyian korus lagu tersebut.

“Saya rasa anda akan mula merasa bahawa tidak kira apa yang anda lakukan atau apa cara yang anda cuba untuk mencari cinta atau merasai cinta, ia seakan mustahil. Oleh itu, saya rasa ramai orang boleh mengaitkan diri dengan lagu ini atau sekurang-kurangnya saya berharap ramai orang boleh merasai maksud lagu ini,” kata ALVN dengan senyuman.

“Saya tahu ramai orang di sekitar saya yang masih bujang dan masih berjuang untuk mencari pasangan mereka, jadi saya yakin ramai orang boleh merasakan perkara yang sama seperti saya. Oleh itu, jika mereka boleh merasai maksud cerita ini, harapnya mereka akan menyukai lagu ini,” jelas ALVN lagi.

Menurut ALVN, beliau menulis lagu tersebut bersama Hyuk Shin dan Seann Bowe di Los Angeles. “Kami bertemu pada hari pertama saya tiba dan kami terus mula menulis dan berbincang. Setelah bertukar-tukar idea dan pengalaman hidup, kami meneruskan rakaman dan menyiapkan lagu tersebut pada hari kedua. Kami hanya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan keseluruhan lagu,” kata ALVN mengenai proses penulisan.

ALVN juga menyatakan bahawa beliau menikmati waktu bekerjasama dengan Hyuk Shin dan Bowe kerana mereka adalah pemuzik yang berpengalaman dan sangat seronok untuk bekerja bersama.

Apabila ditanya tentang album dan mengapa ia dipanggil ‘between the lines’, ALVN berkata ia sebenarnya cara untuk pendengar mengenali dirinya dengan lebih baik.

“Saya menulis bersama kebanyakan lagu, dan ada sekitar 5 lagu yang saya terlibat. Saya menulis kebanyakan lagu dan jika anda boleh membaca ‘between the lines’, anda mungkin akan mengenali saya dengan lebih baik.

Ini kerana dari lagu pertama hingga kelapan, lagu-lagu tersebut menceritakan kisah jatuh cinta untuk pertama kali, kemudian jatuh cinta dengan rakan baik anda dan ingin bertemu mereka untuk satu malam lagi, kemudian anda ingin melakukannya sekali lagi, dan akhirnya mengalami masalah komunikasi sebelum akhirnya patah hati. Ia adalah satu perjalanan kitaran emosi,” jelas ALVN dengan terperinci.

ALVN berkata beliau tidak mempunyai banyak harapan untuk album tersebut kerana beliau hanya ingin memperkenalkan muziknya sendiri dan berharap dapat mempersembahkannya di masa depan serta berkongsi pengalaman hidupnya dengan orang-orang yang menyukai muziknya.

Between The Lines telah dilancarkan di semua platform media digital bermula 16  Ogos 2024.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page