“Aduh Gak Kuat!” Nadia Rosli & Ucie Sucita ‘Pecah’ Dengan Hipdut Romantis Penuh Viral Vibe
Penyanyi muda berbakat, Nadia Rosli, kembali menghangatkan industri muzik serantau apabila tampil dengan single terbaharu berjudul “Aduh Gak Kuat”, hasil kolaborasi bersama penyanyi popular Indonesia, Ucie Sucita.
Mengangkat genre hipdut (hip hop dangdut) yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda, lagu ini hadir dengan nuansa ceria, bertenaga dan penuh ‘fun vibe’ yang mudah melekat di telinga.
Lebih menarik, “Aduh Gak Kuat” bukan sekadar lagu cinta biasa, sebaliknya menyuntik elemen humor dan flirting yang menjadikan ia dekat dengan dunia percintaan generasi masa kini.
Lagu ini ditulis oleh Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra, dua nama yang pernah mencipta kejayaan menerusi beberapa lagu viral seperti “Ngga Dulu”, “Calon Mantu Idaman” dan “Kasih Tau Mama”. Ia turut digubah bersama Aji Suherri yang bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah lirik santai dan ‘nakal’ seperti “gunting, batu, kertas dulu, kalau aku menang, kita ke penghulu” yang menghidupkan suasana romantik dalam bentuk lebih ringan dan menghiburkan.
Menurut Nadia, kekuatan utama lagu ini terletak pada ritma yang sangat berpotensi mencetuskan fenomena di media sosial, khususnya TikTok.
“Lagu ini memang ada hype beat yang sesuai dijadikan trend, terutama bahagian yang catchy untuk ‘velocity trend’. Saya rasa itu antara faktor yang boleh buat lagu ini viral,” katanya.
Dalam masa sama, Nadia turut menegaskan bahawa lagu ini membawa mesej penting tentang keberanian meluahkan perasaan cinta tanpa perlu dipendam terlalu lama.
“Kita kena berani luahkan perasaan supaya kita tahu sama ada ia berbalas atau tidak. Bukan soal ditolak atau tidak, tapi tentang kejujuran pada diri sendiri,” jelasnya.

Bagi memastikan emosi lagu ini lebih ‘hidup’ ketika rakaman, Nadia memilih pendekatan unik dengan membayangkan momen bahagia bersama keluarga dan rakan-rakan bagi mendapatkan tenaga positif yang seiring dengan konsep lagu.
“Saya bayangkan situasi ceria supaya vibe lagu ini lebih natural. Memang lagu ini perlukan energy yang fun dan positif,” katanya lagi.
Menyentuh perkembangan kerjaya, Nadia tidak menutup pintu untuk terus meneroka pelbagai genre muzik termasuk hipdut yang dilihat semakin berkembang dalam industri serantau.
“Saya terbuka untuk mencuba pelbagai genre supaya terus relevan dan tidak berada dalam zon selesa,” ujarnya.
Nadia berharap “Aduh Gak Kuat” bukan sekadar hiburan ringan, malah mampu menjadi lagu yang memberi semangat kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan dan cinta.
“Saya harap lagu ini boleh buat orang tersenyum semula walaupun tengah sedih,” katanya.
Dengan gabungan melodi segar, lirik santai dan tenaga positif, “Aduh Gak Kuat” dilihat sebagai satu lagi langkah berani Nadia Rosli dalam mengukuhkan namanya dalam industri muzik serantau.
Single “Aduh Gak Kuat” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
