November 24, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Trailer Rajakkal Mula Tersebar, Geng Lama Cetus Kecoh

Spread the love

Pertemuan semula lima sahabat selepas 10 tahun menjadi taruhan filem komedi persahabatan yang bakal menemui penonton pada 10 Disember ini.

KECOHNYA pertemuan semula geng lama selepas 10 tahun menjadi tarikan utama filem komedi persahabatan, Rajakkal, yang mula mencuri perhatian menerusi penyebaran bahan promosi rasmi filem berkenaan hari ini.

Lebih mencuit hati, pertemuan yang sepatutnya menjadi detik mengimbau kenangan lama bertukar menjadi satu malam penuh kekalutan apabila lima sahabat yang mahu menunaikan janji zaman persekolahan berdepan masalah melupakan kata laluan kapsul masa mereka.

Menerusi trailer rasmi yang diperkenalkan Shaiz Films dan Dee Jam Studio, Rajakkal mengetengahkan kisah Kutty, Saami, Puli, Papa dan Gaja yang pernah menulis surat kepada diri sendiri pada masa hadapan sebelum menyimpannya dalam sebuah kapsul masa, 10 tahun lalu.

Mereka berjanji untuk kembali berkumpul dan membaca surat berkenaan apabila tiba masanya. Namun, hasrat itu tidak semudah dirancang apabila tiada seorang pun mampu mengingati kata laluan untuk membuka kapsul berkenaan.

Usaha menyelesaikan masalah itu akhirnya membawa mereka mengharungi pelbagai kejadian tidak dijangka, keputusan terburu-buru serta pertembungan emosi yang membuka kembali kisah lama antara mereka.

Filem yang menggabungkan elemen komedi, romantik dan pengembaraan itu menampilkan Irfan Zaini sebagai Kutty, Thevaguru Suppiah sebagai Saami, Ravin Rao Santheran sebagai Puli dan mendiang Parvin Nair Surendran sebagai Gaja.

Penulis skrip merangkap pengarahnya, C. Martin Raj, turut memegang watak Papa bagi melengkapkan kelompok lima sahabat berkenaan.

Menariknya, Rajakkal bukan sekadar bermain dengan humor pertemuan semula sahabat lama, sebaliknya turut menyentuh perubahan kehidupan apabila masing-masing sudah mempunyai kerjaya, kedudukan kewangan dan hubungan peribadi tersendiri.

Bagi Irfan, watak Kutty mempunyai daya tarikan tersendiri kerana karakter itu seorang yang berkeyakinan dan bijak memujuk, namun sebenarnya menyimpan kerinduan untuk kembali merapatkan hubungan dengan sahabat yang sudah lama terpisah.

“Filem Tamil menjadi bahagian penting dalam perjalanan saya sejak Kuruvi. Peluang bekerja dalam pelbagai produksi di sini dan di India banyak mencabar kemampuan saya serta membantu saya berkembang sebagai pelakon.

“Kutty menarik perhatian saya kerana di sebalik tenaga dan keyakinannya, dia sebenarnya sangat merindui sahabat yang sudah lama terpisah. Dia mahu kembali rapat seperti dahulu, tetapi caranya itu membuatkan semua orang terjebak dalam masalah,” katanya.

Irfan yang turut membintangi filem Pulanaivu, Dum Dum Dumeel dan Naam Katra Isai berharap penonton dapat menerima sisi lakonannya menerusi karya berkenaan.

Sementara itu, Martin mengakui pengalaman menjalani penggambaran di sekolah lamanya memberikan makna tersendiri apabila beliau berpeluang mengimbau kembali perjalanan hidup dan kenangan zaman persekolahan.

“Saya tak sangka kembali ke sekolah lama untuk penggambaran Rajakkal akan memberi kesan sedalam itu. Saya datang sebagai pengarah, tetapi apabila berada di sana semula, saya mula memikirkan perjalanan sendiri dan melihat kehidupan dari sudut berbeza.

“Pengalaman itu mengingatkan saya bahawa tempat kita membesar masih boleh mengajar kita sesuatu,” katanya.

Martin berharap kisah persahabatan yang diketengahkan mampu mendorong penonton menghubungi semula rakan-rakan lama dan merancang pertemuan selepas menonton filem berkenaan.

Terbitan bersama Shaiz Films dan Dee Jam Studio, Rajakkal diedarkan Komet Productions dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 10 Disember 2026 dalam bahasa Tamil dengan sari kata Bahasa Malaysia.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan filem itu menerusi akaun media sosial rasmi @rajakkal.film di Facebook, Instagram, Threads dan TikTok.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page