November 24, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Awie, Ziana, Erra Bersatu Lagi, Sembilu 2.0 Jadi Pertemuan Terakhir!

Spread the love

Konsert Berskala Mega Di Stadium Merdeka Pada 16 Januari 2027 Menjanjikan Pengalaman Nostalgia Lebih Gah Menerusi Kemunculan Semula Tiga Bintang Utama Fenomena Filem Sembilu.

Selepas mencetuskan fenomena menerusi penganjuran konsert Sembilu pada Februari lalu, TJTM Entertainment kembali menghidupkan nostalgia dengan skala lebih besar menerusi Sembilu 2.0 The Last Reunion Live In Concert yang bakal menghimpunkan tiga nama besar industri hiburan tanah air, Dato’ Awie, Datuk Ziana Zain dan Erra Fazira.

Mengangkat tema The Last Reunion, konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027 itu bukan sekadar kesinambungan kejayaan edisi terdahulu, sebaliknya membawa mesej pertemuan istimewa yang mungkin tidak akan berulang lagi.

Fenomena Sembilu yang pernah menguasai layar perak dan mencetuskan gelombang populariti menerusi gabungan muzik, percintaan serta konflik emosi kini diberikan nafas baharu dalam sebuah produksi pentas berskala mega.

Kali ini, pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi penganjuran memperlihatkan kesungguhan pihak penganjur untuk mengangkat konsert berkenaan ke tahap lebih tinggi, sekali gus memberikan dimensi persembahan yang lebih gah berbanding edisi sebelumnya.

Tidak sekadar bergantung kepada kekuatan nostalgia, Sembilu 2.0 turut menjanjikan peningkatan dari segi skala produksi, konsep persembahan, susunan muzik dan pengalaman hiburan yang lebih eksklusif.

Malah, peminat boleh menjangkakan rangkaian lagu ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan filem Sembilu, selain susunan muzik diperbaharui bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Lebih menarik, pihak penganjur turut menyimpan kejutan menerusi penglibatan barisan artis tambahan yang identitinya masih dirahsiakan buat masa ini bagi mengekalkan elemen kejutan menjelang pengumuman rasmi.

Setiap persembahan dirancang untuk membawa penonton menyelami semula pelbagai emosi yang menjadikan Sembilu begitu dekat di hati peminat, daripada romantisme, persahabatan hinggalah konflik yang pernah mewarnai perjalanan karya berkenaan.

Penganjuran konsert ini diterajui TJTM Entertainment, syarikat hiburan di bawah naungan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail yang sebelum ini turut menerajui konsert Sembilu serta 40 Dekad Fauziah Latiff di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Berbekalkan pengalaman dalam pengurusan acara dan produksi hiburan, TJTM Entertainment menyasarkan Sembilu 2.0 menjadi antara acara konsert nostalgia yang meninggalkan impak tersendiri dalam kalendar hiburan tempatan.

Dalam perkembangan sama, jualan tiket rasmi akan dibuka pada 27 November ini, tepat jam 12 tengah hari menerusi platform www.ilassotickets.com/sembilu2.

Justeru, peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada pertemuan istimewa Awie, Ziana dan Erra disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi menyaksikan Sembilu 2.0 The Last Reunion Live In Concert pada 16 Januari 2027.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page