Chubb-E kembali, cinta bukan semestinya memiliki

Selepas tiga tahun menyepi daripada pelancaran karya baharu, penyanyi itu tampil dengan Tetap Di Sini yang mengangkat makna kesetiaan, pengorbanan dan keberanian melepaskan insan tersayang.
Cinta tidak semestinya berakhir dengan memiliki, malah ada kalanya keikhlasan paling besar dalam sebuah hubungan terletak pada keberanian melepaskan insan yang paling disayangi.
Mesej penuh makna itu menjadi taruhan penyanyi, komposer dan penerbit muzik, Chubb-E menerusi single terbaharunya, Tetap Di Sini yang dilancarkan pada 23 Oktober lalu di bawah label 1711 Music.
Selepas tiga tahun tanpa pelancaran karya baharu, kemunculan semula Chubb-E bukan sekadar menawarkan naskhah romantik, sebaliknya membawa perspektif lebih matang mengenai realiti percintaan yang tidak semestinya berakhir seperti diimpikan.
Menurutnya, inspirasi menghasilkan lagu itu tercetus daripada pengalaman peribadi serta pemerhatian terhadap cara masyarakat moden memahami hubungan cinta. Ramai yang terlalu mengejar keinginan untuk memiliki seseorang sehingga terlupa bahawa melepaskan juga sebahagian daripada pengertian cinta.
“Tetap Di Sini mengisahkan kesetiaan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya. Namun, mesej utama yang mahu saya sampaikan ialah nilai cinta paling tinggi sebenarnya adalah melepaskan dan merelakan.
“Kalau kita benar-benar menyayangi seseorang, kita juga perlu menerima hakikat bahawa mungkin dia mempunyai impian atau jalan hidup berbeza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk terus bersama hanya kerana terlalu mencintainya,” katanya.
Menariknya, judul Tetap Di Sini bukan merujuk kepada seseorang yang masih menanti kepulangan bekas kekasih, sebaliknya menggambarkan kenangan dan pengalaman yang terus kekal dalam ingatan meskipun hubungan sudah berakhir.
“Bagi saya, yang tetap di sini bukanlah seseorang yang masih mengharapkan cinta lama, tetapi jiwa, hati dan segala memori yang pernah dilalui bersama. Walaupun kita sudah melepaskan seseorang, setiap detik dan kenangan itu tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” jelasnya.
Dari sudut penghasilan, Chubb-E membuktikan keupayaannya sebagai pengkarya serba boleh apabila mengendalikan sendiri keseluruhan proses kreatif lagu berkenaan, merangkumi penulisan lirik, penciptaan melodi dan penerbitan muzik.
Baginya, kejujuran emosi menjadi asas penting dalam menghasilkan sesebuah karya kerana dia tidak mahu menyampaikan sesuatu yang asing daripada pengalaman dan jiwanya. Malah, identiti muziknya yang berakar daripada hip hop dan rap tetap dipertahankan menerusi Tetap Di Sini biarpun lagu itu membawa tema percintaan yang sarat emosi.
Gabungan pop balada dengan elemen hip hop menghasilkan nuansa bittersweet, sekali gus memberikan keseimbangan antara kesedihan yang terkandung dalam lirik dan rentak muzik yang masih mempunyai groove tersendiri.
“Akar muzik saya memang daripada genre hip hop dan rap. Walaupun lagu baharu ini romantik dan sedih, saya masih mahu mengekalkan elemen groove dan swag hip hop. Pendengar masih boleh menikmati rentaknya walaupun lirik membawa kisah menyentuh hati. Itulah identiti muzik saya seperti yang pernah diketengahkan menerusi lagu Biru Malam dan Tiada Noktah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Chubb-E bersyukur apabila Tetap Di Sini menerima maklum balas positif sejak dilancarkan, khususnya daripada pendengar lelaki yang dapat mengaitkan jalan cerita lagu itu dengan pengalaman percintaan masing-masing.
Video muziknya turut memperincikan perjuangan seorang lelaki yang berdepan keterbatasan kemampuan dalam mempertahankan hubungan dengan wanita dicintainya. Malah, Chubb-E berkongsi pengalaman apabila seorang rakannya yang juga pelakon terkenal menitiskan air mata selepas menonton video muzik itu sebelum pelancaran rasmi.
“Saya tunjukkan video muzik itu untuk mendapatkan pandangannya, tetapi dia sudah menangis sebelum sampai kepada babak kemuncak yang mempunyai kejutan jalan cerita. Saya sendiri tidak menjangkakan reaksinya dan ketika itu, saya sedar kisah ini benar-benar mampu menyentuh perasaan orang,” katanya.
Mengulas tempoh tiga tahun tanpa pelancaran karya baharu, Chubb-E menjelaskan keputusan itu bukan bermakna dia berehat daripada dunia muzik. Sebaliknya, tempoh berkenaan dimanfaatkan untuk memperkukuh kemahiran dalam komposisi dan penerbitan muzik, bereksperimen dengan bunyi baharu serta merancang hala tuju kerjaya seninya.
Lebih menarik, dia kini memiliki puluhan lagu yang sudah disiapkan dan bakal diperkenalkan secara berperingkat menerusi single, EP serta album.
“Sepanjang tiga tahun itu, saya sebenarnya bukan berehat tanpa melakukan apa-apa. Saya banyak belajar, bereksperimentasi dengan pelbagai bunyi muzik dan menghasilkan karya baharu. Selepas Tetap Di Sini, insya-Allah akan ada banyak lagi lagu termasuk pop, balada dan hip hop, selain projek duet serta album kolaborasi bersama dua rakan yang dirancang untuk tahun hadapan,” katanya.
Mengulas persaingan industri muzik yang semakin sengit, Chubb-E tidak melihat keperluan untuk membandingkan dirinya dengan artis lain, sebaliknya memilih untuk terus mempertahankan identiti dan pendekatan kreatif tersendiri.
Malah, dia turut menguruskan sendiri pelbagai aspek penghasilan karya termasuk reka bentuk kulit single dan idea video muzik. Bagi Chubb-E, Tetap Di Sini boleh dirumuskan menerusi satu perkataan iaitu realiti, kerana kehidupan tidak semestinya memberikan pengakhiran yang diharapkan dalam sesebuah percintaan.
“Kadang-kadang, sekuat mana pun kita mencintai seseorang, kalau Allah sudah menentukan tiada jodoh, kita perlu menerima ketentuan itu. Cinta sebenar bukan semestinya memiliki, tetapi juga keberanian untuk melepaskan dan merelakan,” katanya.
Sebagai pencapaian awal, Tetap Di Sini turut mendapat tempat dalam beberapa senarai main Spotify termasuk Made in Malaysia, Pop Terkini, New Music Friday Singapore, New Music Friday Malaysia dan carta utama Carta Malaysia 50.
Video muzik rasmi lagu itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
