Wali Janji Persembahan Luar Biasa, Tiket One Night Only ‘Sold Out’

Selepas kejayaan di Johor, kumpulan popular Indonesia itu kembali menghangatkan Kuala Lumpur, selain melancarkan single Kangen Awakmu bersama Siti Badriah
Sambutan luar biasa peminat di Malaysia terus membuktikan pengaruh kumpulan popular Indonesia, Wali, apabila konsert WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY yang berlangsung hari ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur, mencatatkan jualan tiket habis terjual.
Perkembangan membanggakan itu disahkan Mubarak Atta dalam sidang media yang berlangsung di Sheraton Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini, sekali gus menyaksikan pentas eksklusif berkapasiti 5,000 penonton itu bakal dipenuhi peminat setia mereka.
Mengulas mengenai persiapan persembahan, Wali turut berjanji menyajikan persembahan luar biasa sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang perjalanan seni mereka.
Keyakinan itu bukan hadir tanpa alasan apabila kumpulan berkenaan baru sahaja menyelesaikan persembahan di EduCity Complex, Johor Bahru, pada 3 Oktober lalu yang menghimpunkan kira-kira 14,000 penonton.
Kejayaan di selatan tanah air itu sekali gus menjadi petunjuk bahawa populariti Wali masih kukuh dalam kalangan peminat muzik tempatan, meskipun sudah lebih dua dekad mewarnai industri muzik Indonesia.
Konsert di Megastar Arena yang dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures itu dijadualkan bermula jam 8 malam, dengan penyanyi tempatan, Najwa Latif, turut diundang sebagai artis pembuka tirai.

Namun, kehadiran Wali ke Kuala Lumpur kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan pentas konsert apabila mereka turut memperkenalkan karya terbaharu menerusi kolaborasi bersama penyanyi dangdut Indonesia, Siti Badriah.
Single berjudul Kangen Awakmu yang dilancarkan di bawah label muzik Nagaswara itu mengangkat kisah kerinduan sepasang kekasih yang terpisah akibat jarak dan keterbatasan kehidupan.
Vokalis Wali, Paan berkata, lagu berkenaan berkisar mengenai seseorang yang terlalu merindui insan tersayang, namun hasrat untuk bertemu terhalang oleh keadaan.

“Ini sebuah lagu tentang rasa rindu kepada orang tercinta yang terhalang jarak dan keadaan,” katanya.
Menariknya, Kangen Awakmu menggunakan bahasa Jawa sederhana dengan gabungan elemen Pop Melayu dan dangdut koplo, sekali gus mempertemukan identiti muzik Wali dengan karakter vokal tersendiri Siti Badriah.
Lagu itu turut menyentuh realiti kehidupan pasangan jarak jauh serta golongan perantau yang terpaksa berjauhan daripada keluarga dan insan tersayang.
Kekangan kewangan termasuk kos perjalanan digambarkan sebagai antara halangan untuk mereka bertemu, biarpun perasaan cinta dan rindu tidak pernah berkurang.
Ungkapan ‘Kangen… sakangene’ menjadi antara gambaran paling jelas mengenai kerinduan yang semakin mendalam apabila pertemuan masih belum dapat direalisasikan.
Sepanjang lebih dua dekad perjalanan seni, Wali dikenali sebagai antara kumpulan Pop Melayu berpengaruh di Indonesia menerusi lagu popular seperti Nenekku Pahlawanku, Cari Jodoh dan Yank.
Kekuatan mereka terletak pada penghasilan karya dengan melodi mudah diingati serta lirik bersahaja yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Menerusi Kangen Awakmu, Wali dan Siti Badriah bukan sahaja menawarkan gabungan muzik berbeza, malah mengangkat tema universal mengenai cinta, pengorbanan dan kerinduan yang pastinya dekat dengan pengalaman ramai pendengar.
