November 20, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

62,000 Peminat Gegar Bukit Jalil, MCR Hidupkan Semula Legenda The Black Parade

Spread the love

Selepas 19 tahun, My Chemical Romance kembali ke Malaysia menerusi produksi teatrikal yang menggabungkan muzik, simbolisme dan naratif distopia dalam dua malam persembahan bersejarah.

Hampir dua dekad bukan tempoh yang singkat untuk sesebuah kumpulan muzik meninggalkan pentas sesebuah negara. Namun, bagi My Chemical Romance (MCR), penantian selama 19 tahun itu seolah-olah tidak pernah memadamkan ikatan emosional yang terbina antara mereka dengan peminat di Malaysia.

Kepulangan kumpulan rock alternatif dari Amerika Syarikat itu ke Stadium Nasional TM Bukit Jalil, malam 19 November, dibuktikan menerusi kehadiran kira-kira 62,000 peminat yang menyaksikan sebuah persembahan berskala mega, sekali gus mengembalikan gema muzik yang pernah membentuk identiti satu generasi.

Namun, Long Live The Black Parade bukan sekadar sebuah konsert yang bersandarkan nostalgia atau himpunan lagu popular. Sebaliknya, MCR membawa khalayak menyelami sebuah produksi konseptual yang menjadikan muzik sebagai medium penceritaan, manakala pentas berfungsi sebagai ruang teater untuk menterjemahkan persoalan kehidupan, kematian, kuasa dan kemanusiaan.

Kali terakhir kumpulan itu beraksi di Malaysia adalah pada 9 Disember 2007 menerusi jelajah The Black Parade Tour di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat.

Selepas 19 tahun, Gerard Way selaku vokalis, bersama adiknya Mikey Way (bass), Ray Toro dan Frank Iero (gitar), kembali dengan skala produksi yang jauh lebih kompleks, seiring kedudukan album The Black Parade sebagai antara karya paling berpengaruh dalam sejarah muzik emo dan rock alternatif moden.

Lebih signifikan, kepulangan itu berlangsung ketika album berkenaan meraikan ulang tahun ke-20 penerbitannya tahun ini. Sebuah kebetulan yang memberikan dimensi sejarah dan sentimental kepada persembahan berkenaan.

Kekuatan utama Long Live The Black Parade terletak pada keberanian MCR mengangkat sebuah konsert ke tahap persembahan seni yang lebih menyeluruh.

Mereka tidak sekadar bergantung kepada kehebatan muzik atau karisma pentas, sebaliknya membina sebuah dunia fiksyen menerusi Leklonn Systems, sebuah syarikat teknologi rekaan yang digambarkan sebagai rejim penguasa, dengan empat anggota MCR menjadi subjek eksperimen di bawah kawalannya.

Naratif distopia itu memberikan tafsiran baharu terhadap The Black Parade yang pada asalnya mengangkat perjalanan seorang pesakit tenat berhadapan kematian, dengan kemunculan sebuah pancaragam perarakan sebagai representasi simbolik kepada perjalanan terakhir kehidupan.

Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana MCR tidak terikat kepada persembahan muzik secara konvensional. Mereka sebaliknya menggunakan bahasa visual, lakonan, kostum dan elemen dramatik untuk memperluas makna karya yang sudah dikenali peminat.

Tidak menghairankan apabila pendekatan penceritaan sedemikian begitu dekat dengan Gerard, 49, yang turut mempunyai latar belakang sebagai penulis komik dan pencipta siri The Umbrella Academy yang kemudiannya diadaptasi menjadi siri televisyen Netflix.

Persembahan kira-kira dua jam itu dibahagikan kepada dua segmen utama. Bahagian pertama menampilkan keseluruhan lagu daripada album The Black Parade mengikut susunan asal, manakala segmen kedua memberikan ruang kepada repertoir popular MCR daripada album terdahulu.

Gerard, Mikey, Ray dan Frank membuka persembahan dengan mengenakan kostum seragam pancaragam berwarna kelabu yang kelihatan lusuh, selari dengan suasana suram dunia distopia yang mahu dibangunkan.

Mereka turut menghayati watak masing-masing sepanjang segmen pertama, termasuk babak mengambil ubat-ubatan yang menjadi sebahagian daripada jalan cerita sebelum memulakan perjalanan muzik menerusi The End.

Susunan persembahan itu memberikan kesinambungan naratif yang jelas, sekali gus membolehkan penonton menikmati album berkenaan sebagai sebuah karya lengkap dan bukannya sekadar koleksi lagu yang dipersembahkan secara berasingan.

Antara babak paling mencuri perhatian ialah ketika Welcome To The Black Parade apabila sebuah tiub mekanikal disambungkan ke bahagian belakang tubuh Gerard, memberikan gambaran seolah-olah dirinya sebahagian daripada eksperimen yang dikendalikan Leklonn Systems.

Eksperimentasi visual itu diteruskan menerusi Cancer apabila Gerard menyampaikan balada penuh emosi berkenaan dengan mengenakan topeng menyerupai makhluk asing.

Walaupun wajahnya terlindung, penyampaian lagu itu tetap menjadi antara momen yang memberikan kesan dramatik, membuktikan bahawa kekuatan sesebuah persembahan tidak semestinya bergantung kepada ekspresi wajah atau interaksi langsung dengan penonton.

Elemen teatrikal turut diperkukuhkan menerusi kehadiran pelakon yang membawa watak sampingan seperti Nurse Sylvia, wanita berpakaian seragam putih dengan penutup mata, serta The Clerk, lelaki berjanggut yang bertindak mengawal pergerakan anggota kumpulan berkenaan.

Nurse Sylvia turut menyumbangkan vokal opera menerusi Mama, sekali gus memperluas dimensi muzik dengan gabungan elemen rock dan persembahan vokal bersifat dramatik.

Sementara itu, aksi seorang lelaki berjalan di atas pentas dengan tubuh diselubungi api ketika Famous Last Words dipersembahkan menjadi antara babak paling ekstrem sepanjang persembahan.

Penggunaan elemen piroteknik dan lakonan fizikal sedemikian memperlihatkan kesungguhan MCR membina sebuah pengalaman persembahan yang bukan sahaja memerlukan penguasaan muzik, malah disiplin produksi dan koordinasi artistik yang teliti.

Selepas menamatkan segmen pertama yang sarat dengan penceritaan, MCR kembali ke pentas selepas rehat singkat dengan penampilan lebih santai.

Perubahan itu turut menandakan peralihan daripada dunia fiksyen The Black Parade kepada persembahan rock yang lebih konvensional.  Gerard meninggalkan watak yang dibawanya sebelum itu dan kembali sebagai dirinya sendiri, sekali gus memperlihatkan sisi lebih mesra menerusi interaksi dengan penonton.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pelakon dan kru produksi yang menjayakan persembahan berkenaan, satu pengiktirafan terhadap sumbangan tenaga kreatif di sebalik produksi yang kompleks.

Segmen kedua kemudian menjadi ruang untuk MCR mengembalikan hubungan langsung dengan peminat menerusi rangkaian lagu popular yang membentuk perjalanan muzik mereka.

Antaranya I’m Not Okay (I Promise) dan Helena daripada album Three Cheers For Sweet Revenge yang diterbitkan pada 2004.

Dua lagu berkenaan membawa penonton kembali kepada era awal kegemilangan MCR, ketika muzik mereka menjadi suara kepada keresahan, keterasingan dan pergolakan emosi golongan muda.

Dalam konteks itu, keistimewaan MCR bukan hanya terletak pada kemampuan menghasilkan lagu yang mudah diingati, tetapi keberanian mengangkat tema emosi yang kompleks melalui pendekatan muzik yang dekat dengan pengalaman pendengar.

Sementara itu, pemilihan Pop Shuvit sebagai artis pembuka turut memberikan nilai sentimental kepada acara berkenaan.  Kumpulan rock tempatan itu kembali berkongsi pentas dengan MCR selepas hampir 19 tahun, mengimbau hubungan persembahan bersama yang pernah terjalin pada 2007.

Kehadiran mereka juga menjadi penghubung antara sejarah pertemuan kedua-dua kumpulan dengan generasi peminat yang menyaksikan kepulangan MCR kali ini.

Akhirnya, Long Live The Black Parade membuktikan bahawa sesebuah karya muzik tidak semestinya kehilangan relevan hanya kerana faktor usia.  Dua dekad selepas penerbitannya, The Black Parade masih mampu menghubungkan generasi berbeza melalui tema kematian, kehilangan, keberanian dan pencarian makna kehidupan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page