November 11, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Hael Husaini Gegar Pentas Korea, Berani Cabar Diri Nyanyi Lagu Korea

Spread the love

Keberanian menyampaikan lagu berbahasa Korea menerusi Memory of the Wind menyerlahkan kemampuan vokal penyanyi itu di pentas antarabangsa

Keberanian keluar daripada zon selesa menjadi taruhan penyanyi dan komposer, Hael Husaini apabila mencuri perhatian menerusi persembahan di Round Festival, Korea Selatan, sekali gus membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Bukan sekadar mempertaruhkan lagu popularnya sendiri, Hael turut menyahut cabaran membawakan lagu Korea berjudul Barrangjeok (Memory of the Wind) yang memerlukan penguasaan teknik serta kawalan vokal cukup teliti.

Meskipun berdepan cabaran menyampaikan karya dalam bahasa berbeza, Hael berjaya memberikan persembahan meyakinkan, sekali gus memperlihatkan kesungguhannya meneroka pengalaman muzik di luar lingkungan kebiasaan.

Sepanjang festival itu, Hael turut menghiburkan penonton menerusi rangkaian lagu popularnya seperti Hajat, Garah, Alangkah, Diam, Jampi dan Hati yang cukup dekat dengan pendengar tempatan.

Lebih bermakna, kehadirannya di Korea Selatan turut mendapat sokongan rakyat Malaysia, khususnya pelajar yang sanggup hadir bagi memberikan sokongan secara langsung. Sorakan dan semangat yang ditunjukkan mereka menjadi suntikan motivasi buat Hael untuk memberikan persembahan terbaik di hadapan khalayak antarabangsa.

Hael berkata, peluang membuat persembahan di Round Festival adalah pengalaman cukup bermakna, apatah lagi apabila dapat membawa karya sendiri ke pentas luar negara.

“Saya rasa sangat bersyukur dan bangga kerana diberi peluang membuat persembahan di Round Festival. Dapat membawa lagu-lagu saya ke pentas antarabangsa adalah pengalaman yang sangat bermakna.

“Apa yang paling menyentuh hati saya apabila melihat rakyat Malaysia, terutamanya pelajar yang berada di Korea, datang memberikan sokongan. Mendengar sorakan mereka memang memberikan semangat luar biasa. Rasa macam ada keluarga sendiri di sana.

“Untuk lagu Memory of the Wind, saya akui ia bukan lagu mudah untuk dinyanyikan. Ia memerlukan persediaan dan fokus cukup tinggi, tetapi saya gembira kerana dapat mencabar diri dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Momentum Hael di Korea Selatan turut berlanjutan apabila beliau menerima jemputan ke Wish Bus 107.5, sebuah platform persembahan muzik yang dikenali di negara itu. Peluang berkenaan membuka ruang lebih luas buat Hael memperkenalkan bakat dan karya muziknya kepada pendengar antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, single terbaharunya, Selesa, turut mencatat perkembangan positif apabila meraih lebih 500,000 strim di YouTube Music, manakala muzik video rasmi lagu itu semakin menghampiri 500,000 tontonan di YouTube.

Bagi Rocketfuel Entertainment, pencapaian berkenaan membanggakan dan mencerminkan potensi artis tempatan untuk terus mengembangkan pengaruh muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Kejayaan Hael di Korea Selatan bukan sekadar pencapaian sebuah persembahan, sebaliknya membuktikan keberanian, kesungguhan dan keterbukaan meneroka bahasa serta budaya muzik berbeza mampu menjadi jambatan untuk memperluaskan pengaruh bakat tempatan di pentas dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page