November 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Puteri Gunung Ledang, Legenda Yang Enggan Menjadi Sejarah

Spread the love

Selepas 18 Tahun, 23,000 Tiket Terjual Dalam Dua Jam, Tiara Jacquelina Hidupkan Semula Legenda Dengan Sentuhan Baharu.

Teks Oleh :  Al Nur

Dua dekad berlalu, namun cinta, pengorbanan dan legenda Puteri Gunung Ledang (PGL) seakan-akan tidak pernah mengenal usia. Tirai yang pernah dilabuhkan kini kembali dibuka, membawa bersama sebuah kisah agung yang rupanya masih bersemayam utuh dalam ingatan masyarakat.

Bukan sekadar kepulangan sebuah produksi teater, sebaliknya kebangkitan sebuah karya ikonik yang membuktikan magis seni persembahan tempatan masih mampu memukau khalayak.

Buktinya, sebanyak 23,000 tiket Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) habis terjual dalam tempoh hanya dua jam, manakala kira-kira 22,000 lagi peminat terpaksa akur apabila gagal mendapatkan tiket untuk menyaksikan pementasan berkenaan.

Pementasan yang berlangsung di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, dari 31 Oktober hingga 15 November itu sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri teater muzikal tempatan.

Di sebalik kejayaan tersebut, penerbit dan pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina, mengakui kepulangan PGLM selepas 18 tahun bukanlah sesuatu yang mudah direalisasikan.

Katanya, keputusan menghidupkan semula karya itu dibuat susulan permintaan berterusan peminat yang tidak pernah berhenti bertanyakan kemungkinan naskhah berkenaan kembali ke pentas.

“Ini adalah perjalanan yang mengambil masa 18 tahun untuk direalisasikan. Sejak persembahan pentas terakhir kami pada 2009, orang ramai tidak pernah berhenti bertanya bila PGL akan dipentaskan semula.

“Setiap kali kami mementaskan pertunjukan lain, malah ketika mengadakan sidang media, soalan yang sering diajukan ialah bila PGL akan kembali?” katanya ketika berucap pada sesi raptai penuh pementasan berkenaan di JCPAC, 30 Oktober lalu.

Tiara berkata, keyakinan penerbit eksekutif bersama, Melissa Teoh dari JCPAC, turut menjadi faktor penting yang mendorongnya kembali menghidupkan produksi berkenaan.

Malah, beliau pada awalnya menganggap persembahan terdahulu sebagai pengakhiran penglibatannya dalam karya itu.

“Kehadiran Melissa Teoh daripada JCPAC yang juga penerbit eksekutif bersama saya untuk pementasan ini menjadi titik penting. Beliau meyakinkan saya dengan berkata, ‘Tiara, sudah tiba masanya untuk mengembalikan PGL.’

“Apabila saya bersetuju, saya sedar perkara ini bukan sesuatu yang mudah. Sebelum ini, saya sudah mengadakan persembahan perpisahan dan nekad bahawa itulah pengakhiran saya bersama PGL, sekurang-kurangnya buat diri sendiri,” katanya.

Namun, sambutan luar biasa yang diterima memperlihatkan bahawa karya berkenaan masih mempunyai tempat istimewa dalam hati penonton. Lebih menyentuh perasaan, ada peminat yang sanggup menawarkan diri untuk berdiri atau duduk di tangga asalkan diberikan peluang menyaksikan pementasan itu secara langsung.

Situasi berkenaan memperlihatkan bahawa kejayaan sesebuah karya seni tidak hanya diukur melalui kutipan tiket, tetapi turut bergantung kepada hubungan emosi yang berjaya dibina bersama khalayak.

PGLM yang diadaptasi daripada filem terbitan 2004 dan mula dipentaskan pada 2006 mempunyai kedudukan tersendiri dalam perkembangan teater muzikal tempatan. Kepulangan kali ini membawa tanggungjawab besar buat Tiara dan seluruh pasukan produksi untuk mengekalkan kekuatan karya asal tanpa terperangkap dalam nostalgia masa silam.

Skrip serta lagu asal dikekalkan, namun diberikan nafas baharu menerusi pembaharuan rekaan set, prop dan busana.  Susunan muzik turut menerima sentuhan segar daripada Saiful Ridzuan atau Duan daripada kumpulan Seven Collar T-Shirt, manakala penggunaan teknologi dimanfaatkan bagi meningkatkan pengalaman visual penonton.

Bagaimanapun, Tiara menegaskan teknologi bukanlah keutamaan sehingga mengetepikan kekuatan lakonan dan penceritaan yang menjadi tunjang utama karya berkenaan.

Produksi yang menampilkan 50 pelakon itu turut memperlihatkan penelitian terhadap pembinaan karakter apabila setiap anggota ensembel diberikan nama, peranan khusus serta latar belakang watak tersendiri.

Pendekatan itu membuktikan kekuatan sesebuah pementasan tidak hanya terletak pada watak utama, sebaliknya turut dibentuk oleh setiap individu yang menghidupkan ruang dramatik di atas pentas.

Dalam konteks seni persembahan, perincian sedemikian penting kerana teater merupakan sebuah ekosistem kreatif yang menuntut kesatuan antara lakonan, koreografi, muzik, visual dan disiplin tubuh. Di tengah-tengah naratif besar PGL, watak Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah menjadi paksi emosi yang menggerakkan keseluruhan penceritaan.

Kali ini, tanggungjawab menghidupkan karakter berkenaan dikongsi dua pelakon, Aisha Retno dan Mila Mohsin.

Pemilihan dua pelakon dengan pendekatan dan kekuatan tersendiri itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan khalayak, khususnya di media sosial.  Bagaimanapun, setiap pelakon yang terpilih mempunyai keistimewaan tersendiri, sama ada dari sudut vokal, gerak tari mahupun penghayatan karakter.

Pendekatan itu memperlihatkan bahawa watak yang sama boleh diterjemahkan melalui tafsiran berbeza tanpa menjejaskan keutuhan karakter asal.

Sementara itu, watak Bayan, sahabat setia Puteri Gunung Ledang, turut dikongsi Mimifly dan Nadia Aqilah.   Menariknya, mereka turut melakukan penyelidikan di Indonesia bagi memastikan karakter Bayan tidak sekadar dibentuk berdasarkan imaginasi, sebaliknya mempunyai landasan budaya yang dapat diterjemahkan secara lebih meyakinkan di atas pentas.

Kepulangan Nadia ke produksi PGLM juga membawa nilai sentimental tersendiri apabila beliau pernah menjadi sebahagian daripada barisan pelakon asal pada 2006.

Dua dekad kemudian, beliau kembali dengan tanggungjawab berbeza, sekali gus menjadi jambatan antara generasi penggiat seni yang membina sejarah produksi itu dengan wajah baharu yang meneruskannya.

Jika watak Gusti Puteri menjadi pusat emosi, Hang Tuah pula membawa dimensi sejarah, kepahlawanan dan falsafah kesetiaan yang menjadi antara tunjang naratif legenda Melayu.

Pemilihan Aqasha sebagai Hang Tuah mempunyai makna tersendiri apabila beliau pernah terbabit dalam pementasan asal pada 2006 sebagai Bendahara Melaka, selain menjadi pelakon simpanan bagi watak pendekar itu.

Kini, selepas dua dekad, beliau akhirnya diberikan peluang menghidupkan karakter utama berkenaan.  Persediaannya bukan sesuatu yang mudah apabila sejak Ogos, Aqasha memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan sehingga sanggup menolak tawaran lakonan lain.

Sementara itu, watak Gusti Adipati Handaya Ningrat, abang kepada Puteri Gunung Ledang, diberikan kepada Yusof Hashim selepas berjaya melalui sesi uji bakat.  Kesungguhannya turut diterjemahkan menerusi penelitian terhadap adat istiadat Jawa dan hierarki istana sebelum mendalami dialog.

Malah, beberapa pelakon turut berkunjung ke Solo, Indonesia, bagi melakukan penyelidikan budaya secara langsung.

Usaha itu memperlihatkan bahawa penghasilan teater berteraskan legenda serantau memerlukan lebih daripada sekadar penguasaan skrip. Ia menuntut penelitian terhadap sejarah, bahasa, adat dan simbolisme budaya yang membentuk dunia penceritaan.

PGLM akhirnya mengingatkan kita bahawa teater mempunyai keupayaan istimewa untuk menghidupkan semula sesuatu yang mungkin semakin jauh daripada pengalaman generasi baharu.

Legenda Puteri Gunung Ledang bukan sekadar kisah seorang puteri yang menolak pinangan Sultan Melaka melalui tujuh tuntutan mustahil.  Di sebalik naratif itu tersimpan persoalan tentang kuasa, kebebasan, maruah, pengorbanan dan batas antara kehendak manusia dengan ketentuan takdir.

Nilai inilah yang menjadikan kisah berkenaan terus relevan untuk ditafsirkan semula dalam konteks masyarakat kontemporari.

Kejayaan menjual 23,000 tiket dalam tempoh dua jam juga wajar dilihat melangkaui pencapaian komersial. Ia memberi isyarat bahawa khalayak tempatan masih mempunyai minat terhadap karya seni persembahan yang dibangunkan dengan kesungguhan, disiplin dan visi artistik.

Lebih penting, kebangkitan semula PGLM memperlihatkan keperluan memelihara kesinambungan ekosistem teater tempatan, daripada pembangunan bakat, penyelidikan budaya, penghasilan produksi berkualiti hinggalah kepada pembentukan khalayak yang menghargai seni.

Hampir dua dekad berlalu, namun legenda itu belum selesai diceritakan. Sebaliknya, Puteri Gunung Ledang terus membuktikan bahawa karya yang berakar pada jiwa budaya tidak mudah menjadi usang. Ia mungkin berubah wajah, ditafsir melalui generasi berbeza dan dipersembahkan dengan teknologi baharu, namun roh penceritaannya tetap menemukan jalan untuk kembali ke pentas dan hati penonton.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page