“Zack Bukan Lelaki Sempurna” – Areef Amran

Di sebalik wajah bersahaja, perangai happy-go-lucky dan gelagat yang sering mencuit hati, Dr. Zack sebenarnya lelaki yang masih tercari-cari arah dalam hidupnya sendiri.
Terperangkap dalam kemelut rumah tangga, dibayangi harapan keluarga serta berdepan keputusan yang sering memakan diri, karakter itu membuktikan bahawa lelaki yang kelihatan berani di luar belum tentu mempunyai kekuatan untuk berdepan ketakutan sendiri.
Itulah sisi berlapis yang cuba diketengahkan pelakon Areef Amran menerusi watak Dr. Zack dalam drama bersiri Menantu Tanpa Reda yang turut dibintangi Amar Bahrin, Aliza Shahdan, Sweet Qismina, Hanna Aqeela dan Yana Samsudin.
Bagi Areef, Dr. Zack bukan sekadar lelaki yang gemar membuat keputusan terburu-buru sehingga mengundang kemarahan penonton, sebaliknya karakter yang mempunyai kelemahan, ego dan konflik dalaman tersendiri.
Katanya, cabaran menghidupkan watak itu bukan hanya terletak pada keupayaan membuat penonton ketawa atau geram, tetapi memastikan setiap tindakan Zack mempunyai latar emosi yang boleh difahami.
“Pada awalnya, kita nampak Zack seorang yang happy-go-lucky, sempoi dan suka bermain-main. Tetapi apabila cerita semakin berkembang, kita mula nampak sisi lain dirinya.
“Dia juga ada masalah, ego dan tidak arif hukum-hakam agama tentang perkahwinan dan poligami.
“Sebab itu saya cuba membawakan karakter Zack bukan sekadar watak yang dibenci, tetapi seseorang yang penonton boleh faham mengapa dia menjadi begitu, walaupun tidak semestinya bersetuju dengan tindakannya,” katanya.
Menurut Areef, Dr. Zack masih bergelut dengan proses kematangan diri apabila berdepan situasi yang tidak pernah dibayangkan, termasuk menjadi suami kepada dua isteri dalam sekelip mata.
Biarpun berdepan keadaan rumit, Zack bukanlah lelaki yang benar-benar berani membuat keputusan sendiri. Sebaliknya, dia dibelenggu ketakutan mengecewakan insan tersayang, terutama ibunya, Puan Sri Salmiah.
Sebagai doktor pelatih yang bekerja di hospital milik ibunya, Zack perlu mengimbangi tuntutan kerjaya dengan konflik rumah tangga yang semakin berselirat.
Keadaan itu menjadikan dirinya semakin terhimpit, apatah lagi apabila keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya mula memberi kesan kepada orang di sekelilingnya.
“Setiap orang mesti ada perkara yang ditakutkan, tidak kira sehebat mana sekalipun seseorang itu. Macam Zack, walaupun luarannya nampak berani, sebenarnya dia sangat takut untuk mengecewakan mama dan keluarganya.
“Dalam masa yang sama, dia banyak membuat keputusan melulu. Pada saya, Zack sebenarnya masih belajar untuk menjadi lebih matang. Mungkin betullah orang kata lelaki ini lambat matang sedikit,” katanya berseloroh.
Bagi Areef, kelemahan terbesar Zack bukan kerana dia langsung tidak mengetahui perkara yang betul, tetapi ketidakmampuannya bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri.
“Zack bukannya tidak tahu apa yang betul. Cuma kadangkala dia tidak cukup berani untuk melakukan apa yang dirasakan betul,” katanya.
Menghidupkan karakter yang mempunyai pelbagai lapisan emosi itu turut menuntut persediaan rapi daripada Areef, terutama apabila diberi peluang bergandingan dengan barisan pelakon berpengalaman.
Tidak mahu sekadar bergantung kepada skrip dan arahan pengarah, Areef mengambil inisiatif mendapatkan bimbingan guru lakonan, selain mengkaji karakter menerusi filem bagi memahami pendekatan yang sesuai untuk watak Dr. Zack.
Katanya, peluang bekerja bersama pelakon berpengalaman menjadi ruang terbaik untuknya menimba ilmu dan memperbaiki mutu lakonan.
“Apabila mendapat peluang berlakon dengan pelakon-pelakon yang hebat dan berpengalaman, sudah tentu saya sendiri perlu membuat persediaan lebih. Antara yang saya lakukan termasuk berjumpa guru lakonan, mengkaji karakter daripada filem dan cuba memahami watak yang dibawakan dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, apabila bekerja dengan orang-orang hebat, kita juga perlu berusaha untuk menjadi lebih baik. Paling penting, saya tidak mahu kehadiran saya di set menyusahkan kerja orang lain. Saya mahu semua orang selesa bekerja dan proses penggambaran berjalan lancar,” katanya.
Di sebalik kemelut rumah tangga yang menghimpit kehidupannya, hubungan Dr. Zack dengan Suzila pula menawarkan sisi berbeza yang mencampurkan kemanisan cinta, gelagat bersahaja dan momen mencuit hati.
Bagi Areef, hubungan kedua-dua karakter itu mempunyai keunikan tersendiri, terutama menerusi keserasian yang terjalin sepanjang perjalanan cerita.
Malah, panggilan manja Zack terhadap Suzila sebagai “isteri kecilku” bukan sahaja menjadi sebahagian daripada hubungan mereka dalam drama, tetapi turut melekat dalam kalangan kru penggambaran.
“Antara babak yang paling saya ingat tentulah babak dengan isteri kecilku. Hubungan Zack dan Suzila ini ada kecomelannya yang tersendiri. Keserasian mereka agak unik. Ada masa romantis, ada masa suka menyakat dan kadangkala mencuit hati juga.
“Sampai satu tahap, bukan Zack sahaja yang memanggil Suzila ‘isteri kecilku’, malah satu set penggambaran pun sudah terbiasa dengan panggilan itu,” katanya.
Bagaimanapun, penonton tidak boleh terlalu selesa dengan sisi manis pasangan itu kerana hubungan mereka turut diuji dengan pelbagai dugaan. Kehadiran Melissa, menantu pilihan ibu Zack, menjadi antara konflik yang merumitkan lagi keadaan, sekali gus mengancam hubungan Zack dengan Suzila.
Lebih menyedihkan, Suzila turut berdepan masalah kesihatan serius apabila disahkan menghidap kanser tulang, menjadikan perjalanan cinta mereka semakin mengundang tanda tanya.
Biarpun tidak mendedahkan kesudahan hubungan pasangan itu, Areef mengakui perjalanan Zack dan Suzila bakal membuatkan penonton tertanya-tanya mengenai masa depan mereka.
“Dalam hubungan yang nampak manis itu, pasti ada juga ujiannya. Adakah jodoh Zack dengan Suzila akan bertahan sampai ke akhir? Yang itu saya tidak boleh cerita lebih-lebih. Kena tengok sendiri,” katanya berseloroh.
Jika konflik rumah tangga menguji kematangan Dr. Zack, pertemuannya dengan Pak Manap pula menjanjikan ketegangan tersendiri.
Bagi Areef, hubungan menantu dan mentua itu antara bahagian yang menarik untuk diterokai kerana di sebalik sikap Pak Manap yang keras, terselit naluri seorang bapa yang mahu melindungi anaknya. Malah, setiap pertemuan mereka seolah-olah membuka ruang kepada situasi mencemaskan, dengan senapang menjadi antara elemen yang mencuri perhatian.
“Antara konflik paling menarik bagi saya ialah apabila Zack perlu berdepan dengan Pak Manap. Sebab setiap kali berjumpa Pak Manap, mesti ada senapang di depan muka,” katanya sambil ketawa.
Namun, Areef tidak melihat Pak Manap semata-mata sebagai watak garang yang mahu menyusahkan kehidupan Zack. Sebaliknya, karakter itu mempunyai sebab tersendiri dalam tindakannya, terutama apabila membabitkan keselamatan dan kebahagiaan anaknya.
“Di sebalik sikap Pak Manap yang garang, sebenarnya dia seorang ayah yang sangat menyayangi anaknya. Jadi, kita bukan sekadar melihat konflik antara menantu dengan mentua, tetapi sejauh mana seorang ayah sanggup melakukan sesuatu demi melindungi anaknya,” katanya.
Mengulas penerimaan penonton terhadap Dr. Zack, Areef berharap mereka tidak terlalu cepat menghukum karakter itu hanya berdasarkan kesilapan yang dilakukan. Bagaimanapun, dia turut mengakui bahawa kelemahan seseorang bukan alasan untuk menghalalkan setiap tindakan, terutama apabila keputusan dibuat memberi kesan kepada kehidupan orang lain.
Bagi Areef, kekuatan karakter Dr. Zack terletak pada ruang untuk penonton menilai sendiri perbezaan antara memahami kelemahan seseorang dengan bersetuju terhadap tindakannya.
Dalam kehidupan sebenar, seseorang mungkin mengetahui perkara yang betul, namun ego, ketakutan dan tekanan keluarga boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat.
Justeru, Areef berharap perjalanan Dr. Zack mampu membuka ruang kepada penonton untuk melihat bagaimana tindakan yang tidak difikirkan secara matang boleh mengundang kesan berpanjangan. Namun, dia juga mempunyai satu pesanan khusus buat penonton yang semakin geram dengan perangai lelaki itu.
“Satu lagi, jangan percaya sangat dengan Zack ini. Nanti korang yang sakit hati!” katanya.
Dengan konflik percintaan yang semakin rumit, rahsia keluarga yang mula terbongkar serta tanggungjawab yang kian menghimpit, persoalannya kini, mampukah Dr. Zack berubah menjadi lelaki yang lebih matang sebelum kehilangan insan paling bermakna dalam hidupnya? Atau segala kesilapan yang dilakukan bakal menjadi titik noktah kepada hubungan yang cuba dipertahankan?
Ikuti perkembangan kisah Dr. Zack, Suzila dan keluarga mereka menerusi drama bersiri Menantu Tanpa Reda arahan Uchee Fukada dan Ejump Mohd, yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam di Astro Prima menerusi Astro X3 atau aplikasi sooka.
