Juara AF Rebut Kejuaraan Gegar Vaganza Fantasia

Vince, Mawi, Zahid Sertai Saingan GV13; Empat Lagi ‘Peserta Misteri’ Ditentukan Undian Peminat
Peminat setia Akademi Fantasia (AF) pasti melonjak teruja, nostalgia zaman kegemilangan program realiti itu bakal kembali apabila juara-juara AF terdahulu dikumpulkan di pentas Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13) yang kali ini membawa nama istimewa, Gegar Vaganza Fantasia.
Sembilan nama sudah didedahkan, iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila Jirin (AF5), Stacy Anam (AF6), Shahir (AF8), Faizul Sany (AF10) dan Firman (AF11).
Namun, kejutan belum berakhir. Empat lagi peserta sengaja dirahsiakan dan pemilihannya diserahkan kepada peminat melalui undian yang dibuka selepas konsert pertama. Jadi, genaplah 13 penyanyi yang akan berentap untuk merangkul kejuaraan.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata konsep istimewa ini diwujudkan bersempena sambutan 30 tahun Astro.
“Kalau kita tengok dulu, populariti Astro tercetus melalui program AF ini. Jadi, sempena sambutan 30 tahun dirai, tiba masanya kami gabungkan dua jenama ikonik (AF dan Astro) menjadi satu,” katanya pada sidang media GV13 di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), petang tadi.
Menurutnya, kehadiran juara-juara AF di pentas GV bukan sekadar membangkitkan nostalgia, malah meraikan legasi yang mencorakkan industri hiburan tempatan dan melahirkan ramai artis yang kekal relevan hingga hari ini.
Raqim menjelaskan, musim kali ini lebih istimewa kerana tahap persaingan yang luar biasa apabila buat pertama kalinya, para juara yang pernah mencipta sejarah di AF dihimpunkan dalam satu pentas.
“Gabungan pengalaman, kematangan dan kehebatan vokal mereka bakal menjadikan setiap konsert mingguan penuh dengan kejutan, emosi dan persembahan bertaraf tinggi yang pasti dinantikan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kejutan bukan sahaja datang daripada peserta, malah daripada barisan pengacara dengan penyertaan Jihan Muse.
Trio Nabil Ahmad, Sherry Al Hadad dan Jihan Muse akan mengendalikan pentas sebagai hos, manakala barisan juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Shafinaz Selamat.
GV13 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 12 minggu, bermula 8 November ini, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.
