October 15, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Heyqal Ungguli Bintang Suara MELILEA

Spread the love

Lebih 200 peserta bersaing, 19 finalis berentap di pentas akhir disaksikan lebih 700 penonton

Kehebatan vokal dan penghayatan lagu Oscar Winning Tears membawa tuah kepada Muhammad Heyqal Misnin apabila dinobatkan sebagai juara Bintang Suara MELILEA 2026, sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM5,000.

Heyqal mengetepikan 18 finalis lain dalam pertandingan anjuran MELILEA International Group of Companies yang berlangsung di MELILEA APHQ, MELILEA Tower, Bangsar South, di sini, pada 10 Oktober lalu.

Kejayaannya menerusi lagu popular penyanyi antarabangsa RAYE itu membolehkannya membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 dan baucar produk MELILEA bernilai RM2,000.

Pertandingan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 200 peserta mendaftar untuk merebut peluang ke pentas akhir, manakala lebih 700 penonton hadir memberikan sokongan kepada barisan finalis.

Naib juara menjadi milik Muhammad Hadi Hafsham Hanapi yang mempertaruhkan lagu I (Who Have Nothing), manakala Ema Fazuana Mehat menduduki tempat ketiga menerusi lagu Cinta, yang dipopularkan Masrah Milan.

Muhammad Hadi menerima trofi, wang tunai RM1,500 dan baucar produk MELILEA bernilai RM1,500, sementara Ema membawa pulang trofi, wang tunai RM1,000 serta baucar produk bernilai RM1,000.

Pertandingan berteraskan slogan Impian Anda, Suara Anda, Masa Depan Anda itu bukan sekadar mencari penyanyi terbaik, sebaliknya menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, meningkatkan keyakinan diri dan memberikan pendedahan kepada pengalaman persembahan di hadapan khalayak.

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, berkata Malaysia mempunyai ramai penyanyi berbakat yang berpotensi pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan platform bersesuaian.

“Bintang Suara MELILEA 2026 bukan sekadar pertandingan untuk mencari juara, tetapi platform untuk menggalakkan golongan muda berani mengejar impian, menyerlahkan bakat dan membina keyakinan diri.

“Kami mahu peserta melihat pengalaman ini sebagai langkah penting dalam perjalanan mereka mengembangkan potensi dan membina masa depan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, penganjuran itu turut selari dengan falsafah MELILEA, Mengubah Kehidupan, serta visi syarikat untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat melalui pemerkasaan individu.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Artis SWYM Entertainment Group, Ong Peng Chu, yang turut menganggotai panel juri, mengakui proses memilih pemenang bukan tugas mudah berikutan kepelbagaian karakter vokal dan gaya persembahan peserta.

Katanya, setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri, termasuk kekuatan vokal, penghayatan lagu dan potensi untuk berkembang dalam industri muzik.

“Pemilihan Heyqal sebagai juara menepati kriteria yang dicari barisan juri berdasarkan kelebihan yang ditonjolkannya dari segi vokal, teknik nyanyian, penghayatan lagu dan persembahan secara keseluruhan,” katanya.

Selain Ong Peng Chu, barisan juri turut terdiri daripada komposer, pengarah muzik dan pemain gitar kumpulan Wings, Edrie Hashim; penyanyi serta jurulatih vokal, Erul Samah; komposer dan penyanyi, Amanda Imani; serta Datuk Prof. Dr. Alan Wong dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin, Pengasas Bersama dan Presiden Eksekutif Kumpulan MELILEA International Group of Companies.

Malam kemuncak itu turut menyaksikan penyanyi jemputan Nas Adila bersama kumpulan penari menghangatkan pentas menerusi persembahan pembukaan dan penutup yang bertenaga. Alan Wong dan Stella Chin turut mencuri perhatian apabila tampil menyumbangkan nyanyian.

Selain tiga pemenang utama, pertandingan itu turut memberikan pengiktirafan menerusi Anugerah Kecemerlangan, Anugerah Penampilan Terbaik dan Anugerah Populariti – Undian Penonton.

Seramai 14 peserta menerima Anugerah Kecemerlangan, masing-masing membawa pulang trofi, wang tunai RM300 dan baucar produk MELILEA bernilai RM500.

Sulaiman Ibrahim dan Najmi Najihah Azlan pula masing-masing memenangi kategori Penampilan Terbaik Lelaki dan Penampilan Terbaik Wanita dengan hadiah sama.

Anugerah Populariti – Undian Penonton menjadi milik Nurul Ainie Muhamad, yang turut menerima Anugerah Kecemerlangan.

Secara keseluruhan, nilai wang tunai dan baucar produk yang diperuntukkan kepada pemenang berjumlah RM24,100, tidak termasuk trofi.

Penganjuran Bintang Suara MELILEA 2026 yang turut menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu memperlihatkan usaha memperluas peluang kepada bakat tempatan untuk mengasah kemahiran dan memperoleh pengalaman persembahan.

Bagi peserta yang ingin melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian, pengalaman beraksi di pentas pertandingan dan menerima penilaian juri berpengalaman diharap menjadi pemangkin untuk terus memperbaiki mutu persembahan serta membina identiti seni masing-masing.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page