Elegant Selamanya Raikan ‘Manusia Cantik’ Menerusi 10 Wajah, 1 Pentas, dan 1 Malam

Ziana Zain, Erra Fazira, Adira Suhaimi, Elite dan barisan bintang lain satukan aura di Zepp Kuala Lumpur 30 Oktober ini
Sepuluh wajah dengan karakter berbeza, satu pentas dan satu malam yang bakal menjadi medan meraikan kecantikan dalam tafsiran paling luas.
Itu yang cuba diterjemahkan Elegant Cosmetics menerusi LIVE CONCERT: ELEGANT SELAMANYA yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, 30 Oktober ini.
Perkara itu dikongsikan pada sidang media yang berlangsung di Ampang Coffee Club, Ampang, pada 1 Oktober lalu sekali gus memperkenalkan secara rasmi konsep serta barisan penghibur yang bakal menghiasi pentas konsert berkenaan.
Bukan sekadar menghimpunkan barisan penghibur popular, acara itu tampil dengan gagasan tersendiri apabila kecantikan tidak hanya dilihat daripada sudut paras rupa, sebaliknya turut diterjemahkan menerusi bakat, personaliti, aura, sikap dan cara seseorang menghargai dirinya.
Lebih menarik, barisan yang dipilih merentas beberapa generasi seni, menjadikan pentas berkenaan sebagai pertemuan pelbagai karakter dan warna dalam dunia hiburan tanah air.
Antara yang bakal mencuri perhatian ialah legenda muzik wanita, Datuk Ziana Zain, Erra Fazira, Adira Suhaimi, kumpulan Elite, Nourul, Anggrek, Umai dan Odda, selain pelakon Azar Azmi serta satu-satunya penyanyi lelaki, Zaki Yamani.

Pengarah Elegant Cosmetics, Dato Al Amin berkata, pemilihan barisan artis itu dibuat berdasarkan karakter serta persona masing-masing yang dianggap mampu mewakili kecantikan dalam bentuk berbeza.
“Ziana, Erra, Adira, kumpulan Elite, Nourul, Anggrek, Umai, Odda dan Azar Azmi mewakili sifat kecantikan wanita yang subjektif. Kecantikan juga bukan hanya tentang paras rupa dan penampilan tetapi mampu terserlah dengan sikap atau cerminan hati.
“Menariknya, Zaki Yamani menjadi satu-satunya penyanyi lelaki yang akan mewakili dan memberi pengertian kecantikan daripada sudut pandang seorang lelaki yang juga memiliki persona kecantikan tersendiri,” katanya.
Menurut Al Amin, gabungan barisan berkenaan sekali gus mencerminkan hasrat Elegant Cosmetics untuk membawa mesej bahawa kecantikan tidak seharusnya terikat kepada satu definisi.
Malah, kemunculan Azar Azmi sebagai figura bukan penyanyi dan Zaki sebagai ‘kumbang’ dalam kelompok penghibur wanita turut mempunyai simboliknya tersendiri.
“Elegant Cosmetics melihat ciri-ciri ini ada pada semua mereka yang bakal bergabung dan menghangatkan malam LIVE CONCERT: ELEGANT SELAMANYA.
“Justeru, kami percaya malam ini akan menjadi momen yang meraikan ‘kecantikan’ daripada segi seni dan manusiawi, tanpa mengira jantina,” katanya.
Bagi Erra Fazira pula, pentas Elegant Selamanya bukan sekadar ruang untuk peminat menyaksikan persembahan artis kesayangan, sebaliknya menjadi kesempatan untuk setiap individu memahami dan meraikan kecantikan mengikut tafsiran masing-masing.
Erra yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia dan mewakili negara ke pertandingan Miss World 1992 di Afrika Selatan berkata, kecantikan sebenar tidak seharusnya diukur berdasarkan penampilan luaran semata-mata.
“Saya menyifatkan penganjuran LIVE CONCERT: ELEGANT SELAMANYA bukan sebuah malam konsert yang menghimpunkan 10 artis atau penyanyi di atas satu pentas dan menghiburkan penonton.
“Jauh daripada itu, apa yang lebih penting adalah melihat bagaimana peminat terutama wanita merayakan erti kecantikan buat diri sendiri.
“Cantik itu bukan soal penampilan atau perlu sentiasa bersolek, sebaliknya ia tentang bagaimana kita menghargai diri sendiri, lalu aura kecantikan akan terpancar secara semula jadi,” katanya.
Dalam pada itu, LIVE CONCERT: ELEGANT SELAMANYA turut menjadi platform memperkenalkan produk terbaharu Elegant Cosmetics menerusi satu segmen khas sebelum persembahan konsert bermula.
Gabungan dunia kecantikan, muzik dan hiburan itu turut mendapat sentuhan Pengarah Muzik, Jay Kugat yang dipertanggungjawabkan menyusun perjalanan muzik serta persembahan setiap artis bagi memastikan keseluruhan acara bergerak lancar.
Dengan gabungan nama besar daripada beberapa generasi, konsert itu bukan sahaja menjanjikan nostalgia dan persembahan muzik, tetapi turut membawa mesej bahawa kecantikan hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak wajar dikurung dalam satu acuan.

Buat peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada malam penuh warna itu, tiket LIVE CONCERT: ELEGANT SELAMANYA ditawarkan menerusi platform rasmi penjualan tiket.
Maklumat tiket yang tersedia turut mengesahkan acara berlangsung di Zepp KL pada 30 Oktober 2026, dengan kategori seperti Elegant Prestige RM499, Elegant Premiere RM399, Elegant Premiere Limited RM199, Elegant Deluxe RM358 dan Elegant Classic RM259, tidak termasuk caj pemprosesan.
