The Weeknd Akhirnya Gegar KL

4 Dan 5 November Ini, Bintang Global Itu Bawa Jelajah Pecah Rekod After Hours Til Dawn Ke TM Stadium Nasional
Selepas mencipta sejarah dengan kutipan lebih AS$1 bilion (sekitar RM4.2 bilion) dan menjual lebih 7.5 juta tiket menerusi 153 persembahan, The Weeknd kini membawa fenomena After Hours Til Dawn Stadium Tour ke Kuala Lumpur.
Lebih mengujakan, Malaysia menjadi antara destinasi terakhir dalam babak penutup jelajah stadium yang sudah menjelajah pelbagai benua sejak 2022 itu.
Bintang global bertaraf tujuh kali Diamond itu dijadual mengadakan dua persembahan di TM Stadium Nasional, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 November ini, sekali gus menjadi sebahagian daripada leg Asia yang juga merupakan perjalanan terakhir After Hours Til Dawn.
Kemunculan itu hadir selepas The Weeknd membuka tirai leg Asia menerusi dua malam di Belluna Dome, Tokyo, Jepun, hujung minggu lalu.
Bagi peminat Malaysia, apa yang bakal dibawa ke Kuala Lumpur bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya produksi stadium berskala besar yang sudah mencipta rekod di seluruh dunia.
Jelajah berkenaan kini mencatat lebih AS$1 bilion dalam kutipan global dengan 7.5 juta tiket terjual menerusi 153 persembahan, menjadikannya antara pencapaian terbesar dalam sejarah jelajah artis solo lelaki.
Malah, Eropah dan United Kingdom yang baru sahaja selesai mencatat kutipan lebih AS$345 juta serta menarik lebih 2.3 juta peminat menerusi 42 persembahan.
Sepanjang tempoh itu, jelajah turut mengumpulkan lebih AS$2.2 juta untuk usaha kemanusiaan membabitkan United Nations World Food Programme (WFP) dan Global Citizen.
Di Tokyo, The Weeknd membuktikan mengapa produksi After Hours Til Dawn terus menjadi bualan apabila dia tampil dengan persembahan hampir dua jam yang sarat elemen visual dan teknologi.
Paling mencuri perhatian, penyanyi Jepun Yoko Takahashi muncul sebagai tetamu istimewa untuk membawakan lagu ikonik A Cruel Angel’s Thesis, lagu tema pembukaan anime Neon Genesis Evangelion.
Persembahan itu turut disusuli debut lagu baharu yang menampilkan Takahashi, dengan visual hasil sentuhan Yoko Taro yang menggabungkan dunia NieR dan Neon Genesis Evangelion.
Antara lagu yang turut dipersembahkan termasuk Popular, One of the Girls, Less Than Zero, Out of Time, Kiss Land dan Blinding Lights.
Antara elemen paling luar biasa dalam produksi kali ini ialah arca gergasi rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama, yang berdiri kira-kira 12 meter atau 40 kaki di tengah pentas.
Arca itu lebih dua kali ganda saiz arca yang digunakan pada leg terdahulu dan menjadi karya seni halus terbesar yang pernah ditempah untuk dimasukkan ke dalam produksi konsert.
Dihasilkan secara ukiran tangan daripada polisterina oleh penggiat seni di Toyama sebelum diberikan kemasan emas dan lapisan cat aluminium berkilat tinggi, arca itu dilengkapi laser pada bahagian mata serta efek asap dari tapak tangan.
Sentuhan Jepun turut diteruskan menerusi hasil karya artis kontemporari Tetsuya Nakamura yang menghasilkan topeng untuk The Weeknd, manakala Yohji Yamamoto POUR HOMME pula menyediakan persalinan pentas khas untuk jelajah 2026.
Selepas Tokyo, After Hours Til Dawn akan meneruskan perjalanan ke Jakarta, Singapura, Seoul, Bangkok dan Hong Kong sebelum tiba di Kuala Lumpur.
Tour Asia pada asalnya diumumkan dengan jumlah tarikh yang lebih kecil sebelum berkembang kepada 17 persembahan susulan permintaan tinggi, termasuk tiga malam di Bangkok dan empat malam di Hong Kong.
Di Malaysia, The Weeknd akan tampil selama dua malam berturut-turut pada 4 dan 5 November, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur antara persinggahan terakhir jelajah berkenaan.

Bagi setiap tiket yang terjual sepanjang leg Asia, AS$1 dalam nilai mata wang tempatan akan disumbangkan kepada Global Citizen dan WFP, kecuali persembahan di Jakarta.
The Weeknd meneruskan kerjasama dengan Global Citizen bagi menyokong akses pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak menerusi FIFA Global Citizen Education Fund, selain meneruskan sokongan kepada WFP melalui XO Humanitarian Fund bagi membantu menangani krisis kelaparan global.
Daripada angka AS$1 bilion, jutaan tiket terjual, produksi gergasi sehinggalah sentuhan seni Jepun yang luar biasa, After Hours Til Dawn kini menghampiri noktah.
