Eddie G, Chubb-E Lancar ‘Serangan Radikal’, Hip-Hop Jadi Senjata Minda

Sentuh fenomena media sosial, budaya menunjuk, cemburu dan sikap suka menghakimi menerusi lirik bersahaja
Hip-hop tempatan kembali tampil dengan sisi lebih kritikal menerusi kolaborasi Eddie G dan Chubb-E yang bergabung menghasilkan single terbaharu berjudul Serangan Radikal.
Dilancarkan secara rasmi oleh Luncai Emas Sdn Bhd, karya berkenaan mengangkat pendekatan hip-hop sosial dengan menjadikan muzik sebagai medium untuk meneliti pelbagai norma serta budaya masyarakat moden.
Dengan susunan muzik yang santai dan bait lirik bersahaja, Serangan Radikal menyentuh beberapa fenomena sosial yang dekat dengan kehidupan seharian, termasuk pengaruh media sosial, budaya menunjuk-nunjuk, sifat cemburu, isu di tempat kerja, ketagihan hiburan dan kecenderungan menghakimi sesuatu perkara tanpa ilmu yang kukuh.
Menurut Eddie G, judul Serangan Radikal merujuk kepada bentuk “serangan minda” yang tidak memerlukan sebarang arahan atau tindakan fizikal untuk menyampaikan mesej.
“Serangan radikal ini adalah satu bentuk serangan minda tanpa sebarang arahan fizikal untuk menyampaikan mesej.
“Kita kini menetap di era baharu yang dipenuhi pelbagai liku yang perlu ditempuh oleh setiap manusia. Sedar atau tidak, kehidupan kita sebenarnya telah ditelan oleh persekitaran sosial yang semakin radikal,” katanya.
Bagi Chubb-E pula, istilah Serangan Radikal membawa makna tersendiri dalam konteks pendekatan muzik dan cara mereka menyampaikan pandangan terhadap dunia sekeliling.
“Bagi saya, maksud serangan radikal itu adalah menjadi satu senjata yang berbeza daripada yang lain. Ia merujuk kepada cara serangan yang sukar diramal serta sentiasa berada di atas garisan sendiri,” jelasnya.
Lebih menarik, karya yang menampilkan gabungan dua generasi dalam dunia hip-hop itu tidak bertujuan menyerang mana-mana pihak, sebaliknya menjadi ruang untuk kedua-dua artis menyuarakan pemerhatian terhadap realiti masyarakat.
Lagu dan lirik Serangan Radikal dihasilkan sendiri oleh Eddie G dan Chubb-E, manakala hak cipta lagu serta lirik adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.
Eddie G atau Eddie Ghiller sebelum ini memulakan langkah bersama kumpulan Tiga Swagger sebelum meneruskan perjalanan sebagai artis solo menerusi karya seperti Cerita Sama, Setiap Waktu Engkau Gemerlap (S.W.E.G.) dan Yataghayar yang menampilkan Asfan Shah.
Beliau turut dikenali menerusi penulisan bercorak storytelling sosial, selain mempunyai minat mendalam terhadap budaya skateboarding yang turut mempengaruhi gaya streetwear serta estetika kreatifnya.
Sementara itu, Chubb-E atau Muhammad Sharul Ashlyn mula mendapat perhatian selepas menjuarai Ceria Megastar sebelum dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33.
Namanya turut dikenali menerusi siri fenomena Projek: Anchor SPM, selain aktif sebagai komposer dan penerbit muzik.
Antara karya yang pernah dihasilkannya termasuk Padan Muka, Aku Tak Kisah, Tiada Noktah serta kolaborasi Biru Malam bersama Amir Masdi.
Bukan sekadar mempertaruhkan kekuatan audio, Serangan Radikal turut hadir bersama video muzik yang diarahkan pengarah dari Nigeria, Moses atau Mosesvisuals.
Penggambaran video muzik berkenaan dilakukan di dalam studio dengan konsep visual yang disesuaikan dengan identiti lagu.
Menerusi Serangan Radikal, Eddie G dan Chubb-E seolah-olah mengajak pendengar melihat semula kehidupan dari sudut yang berbeza, khususnya dalam dunia yang semakin dipengaruhi media sosial dan pelbagai perubahan budaya.
Single berkenaan kini boleh didengarkan serta dimuat turun menerusi platform penstriman utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.
