SLIMOUKLITOUK: Metal Bersalut Mistik Melayu, “Muzik Untuk Hantu-Hantu Yang Ingin Bergembira”

Baju Melayu Putih, Topeng Dan Bunyi Serunai Jadi Identiti Band Yang Memilih Jalan DIY Tanpa Tunduk Kepada Trend
Teks: Azril Rahab
Foto: Slimouklitouk
DALAM dunia muzik metal yang sinonim dengan warna hitam, imej garang dan bunyi berat, Slimouklitouk hadir dengan wajah berbeza apabila memilih Baju Melayu putih lengkap dengan topeng sebagai identiti persembahan.
Namun, penampilan itu bukan sekadar mahu kelihatan unik. Di sebalik imej misteri tersebut, band berkenaan sebenarnya membawa satu misi yang lebih besar iaitu menggabungkan muzik metal dengan karakter serta elemen muzik Melayu.
Bagi mereka, bunyi Melayu tidak semestinya perlu diterjemahkan menerusi penggunaan alat muzik tradisional secara langsung, sebaliknya karakter, lenggok dan melodinya boleh diterapkan ke dalam muzik berat menerusi gitar, bass dan dram.
Konsep itu menjadikan Slimouklitouk bukan sekadar sebuah band metal, tetapi kelompok pemuzik yang cuba menghidupkan semula rasa dan karakter muzik Melayu menerusi pendekatan moden.
Kini, selepas bertahun-tahun bergerak dalam dunia muzik secara DIY, Slimouklitouk semakin jelas dengan identiti mereka.
Dan jika perlu dirumuskan konsep muzik mereka dalam satu ayat, mungkin ungkapan ini paling tepat iaitu “Muzik untuk hantu-hantu yang ingin bergembira.”
Sebelum dikenali sebagai Slimouklitouk, kumpulan ini pernah menggunakan nama Black Light dan kemudiannya Grinning Jester. Nama Slimouklitouk pula tercetus ketika mereka menyertai Battle of the Bands dan perlu mengisi borang penyertaan.
Ketika mereka berulang kali mengisi borang berkenaan, ayah salah seorang anggota mereka berseloroh:
“Kita kang orang Ganu. Tunjukkanglah kejantanang Ganu tu.”
Daripada situlah tercetus idea untuk menggunakan nama yang mempunyai identiti Terengganu. Pada awalnya mereka memilih nama Betolsling sebelum akhirnya sepakat dengan Slimouklitouk. Ejaan asalnya ialah “Slimuk Litok”, namun kemudian diubah kepada “Slimouklitouk” supaya kedengaran lebih dekat dengan dialek Kuala Berang.
Nama tersebut membawa maksud orang yang tidur berselimut dari kaki hingga ke kepala. Pada peringkat awal, mereka hanya tampil dengan Baju Melayu berwarna putih. Penggunaan topeng pula muncul kemudian sebagai sebahagian daripada identiti visual kumpulan.
Slimouklitouk kini dianggotai enam pemuzik iaitu Ashraf sebagai gitar utama, Syafiq (gitar kedua), Attila (dram), Arjuna (bass), Mad (serunai Kelantan) dan Zaha (vokal).
Pertemuan idea enam individu dengan latar serta pengaruh berbeza itu menjadi antara kekuatan utama muzik mereka. Proses penciptaan lagu lazimnya bermula dengan satu idea asas, contohnya riff gitar sebelum dikembangkan bersama dari segi melodi, rentak, bass dan susunan keseluruhan.
Menariknya, mereka tidak mengehadkan idea kepada satu genre tertentu. Idea boleh datang daripada rock kapak, metalcore, dangdut, inang, jazz atau sekadar humming. Apa sahaja yang dirasakan mempunyai potensi akan dicuba dan disesuaikan.
Bagi Slimouklitouk, muzik tidak seharusnya terlalu terikat kepada formula. Mereka juga tidak mahu menjadi band yang sekadar mengikut arus. Jika sesuatu musim itu dipenuhi muzik hardcore, mereka tidak semestinya mahu bermain hardcore. Begitu juga apabila metalcore menjadi trend. Apa yang lebih penting adalah membina identiti sendiri yang mampu bertahan lebih lama.
Walaupun muzik mereka masih berakar pada metal dan heavy, Slimouklitouk mahu menghasilkan sesuatu yang mempunyai karakter tersendiri. Antara pengaruh mereka ialah Kvelertak pada era awal, khususnya pendekatan kumpulan berkenaan menggabungkan rock ‘n’ roll, punk dan black metal.
System of a Down serta Maximum the Hormone juga menjadi contoh bagaimana elemen muzik dan budaya tertentu boleh dicampurkan dengan muzik berat sehingga melahirkan identiti unik. Namun, Slimouklitouk mahu bergerak lebih jauh dengan mencari identiti melalui nada dan karakter muzik Melayu.
Bagi mereka, “bunyi Melayu” tidak semestinya bermaksud memasukkan alat muzik tradisional secara terus. Sebaliknya, mereka mengambil melodi, lenggok dan karakter tersebut sebelum diterjemahkan menggunakan instrumen muzik metal.
Inspirasi itu turut lahir daripada pengalaman mendengar alat muzik tradisional seperti rebab dan serunai. Ada sesuatu pada bunyi tersebut yang mampu memberi kesan emosi yang kuat kepada masyarakat Melayu. Serunai misalnya mempunyai kemampuan membangkitkan suasana tertentu.
Dalam majlis perkahwinan, bunyinya sahaja sudah cukup membuatkan tetamu mula menari atau bersilat. Slimouklitouk melihat potensi yang sama dalam muzik gelap dan berat. Jika muzik metal sering menggunakan pendekatan Barat untuk mencipta suasana seram, mengapa tidak menggunakan karakter bunyi Melayu sendiri?
Daripada situlah mereka membawa unsur mistik, seram, gelap dan “jahat” yang terdapat dalam muzik Melayu ke dalam muzik metal.
Konsep tersebut mungkin kedengaran pelik, tetapi sebenarnya cukup tepat menggambarkan muzik Slimouklitouk. Mereka tidak mahu menghasilkan muzik yang sekadar muram atau penuh kemurungan.
Sebaliknya, mereka mahu sesuatu yang kedengaran creepy, gelap dan misteri tetapi pada masa sama mempunyai keindahan tersendiri. Antara rujukan paling jelas ialah Ulek Mayang. Bagi mereka, lagu berkenaan mempunyai aura “berhantu” yang kuat tanpa perlu bergantung kepada formula muzik seram moden.
Inspirasi pula bukan hanya datang daripada lagu tradisional, malah turut meliputi lagu Melayu popular era 1970-an dan pelbagai bentuk muzik Melayu yang mempunyai karakter tersendiri. Kesemua elemen itu kemudiannya diolah dan dimasukkan ke dalam riff serta melodi mereka.
Dalam Tragedi Keji, misalnya, karakter rebab digunakan pada bahagian bridge sebelum solo. Karakter serunai pula diterjemahkan melalui riff atau melodi tertentu seperti pada bahagian akhir Tragedi Keji, solo pertengahan Awang Batil dan pembukaan Mega Hitam.
Bagi mereka, perkara paling penting adalah memastikan karakter asal tidak hilang apabila elemen Melayu itu dimodenkan. Perincian juga menjadi aspek utama dimana Jika unsur Melayu dimasukkan secara sambil lewa, identiti asalnya mungkin hilang apabila dicampurkan dengan muzik metal.

Salah satu elemen paling menarik dalam identiti Slimouklitouk ialah konsep Awang Batil. Ramai mungkin mengaitkan penggunaan topeng mereka dengan Slipknot, namun inspirasi sebenar datang daripada Awang Batil dari Perlis, iaitu seorang penglipur lara yang menyampaikan cerita rakyat secara lisan sambil memainkan muzik.
Bagi Slimouklitouk, konsep itu mempunyai persamaan dengan apa yang cuba mereka lakukan. Awang Batil membawa cerita serta warisan masyarakat terdahulu kepada pendengar menerusi satu bentuk persembahan.
Slimouklitouk pula cuba membawa semula elemen bunyi dan karakter Melayu yang mungkin semakin dipinggirkan, tetapi dipersembahkan melalui medium muzik metal moden. Justeru, Awang Batil bukan sekadar inspirasi kepada pakaian atau topeng mereka. Ia menjadi simbol kepada pendekatan muzik Slimouklitouk sendiri.
Tambahan pula, salah seorang anggota pernah mempelajari muzik tradisional Melayu ketika menuntut di ASENI, Kuala Terengganu.
Pengalaman tersebut membuka ruang kepada pemahaman yang lebih dekat terhadap muzik tradisional dan bagaimana elemen berkenaan boleh diterjemahkan ke dalam karya moden. Walaupun lirik mereka tidak semestinya berkisar secara langsung mengenai muzik tradisional, kandungannya lebih banyak menyentuh isu sosial, pandangan serta pengalaman peribadi.
Setakat ini, Slimouklitouk sudah menghasilkan enam lagu utama iaitu Mega Hitam, Raksasa, Awang Batil, Tokku Sinar, Khianat Setia dan Tragedi Keji
Kesemua karya berkenaan memperlihatkan usaha mereka membentuk identiti muzik tersendiri. Dalam menghasilkan lagu, mereka terlebih dahulu perlu merasakan emosi yang mahu disampaikan.
Bagi mereka, sekiranya sesebuah lagu itu sendiri tidak memberikan kesan kepada anggota kumpulan, terutama sehingga mampu menimbulkan rasa meremang atau goosebumps, lagu tersebut dianggap masih belum cukup kuat.
Pengalaman melihat wayang kulit, mendengar bunyi serunai serta nyanyian Tok Dalang turut memberikan kesedaran bahawa muzik tradisional Melayu mempunyai sifat yang sukar diterangkan tetapi mampu mempengaruhi emosi secara mendalam.
Tidak hairanlah apabila mereka sering menerima maklum balas pendengar yang mengatakan lagu Slimouklitouk memberikan rasa goosebumps.
Bagi mereka, reaksi itu menunjukkan usaha memodenkan karakter muzik Melayu dan mencampurkannya dengan metal mampu menghasilkan sesuatu yang benar-benar sampai kepada pendengar.
Dalam aspek lirik pula, keenam-enam lagu mereka setakat ini ditulis oleh seorang anggota sahaja. Keputusan itu dibuat kerana mereka mahu kandungan lagu kekal dekat dengan identiti, pengalaman serta pandangan Slimouklitouk sendiri. Bagi mereka, muzik bukan sekadar bunyi ia perlu mempunyai cerita, pendirian dan karakter.

Persembahan Ambang Tahun Baru 2014 di Balok menjadi antara titik penting dalam sejarah awal Slimouklitouk. Sebelum itu, mereka hanya menjalani sesi jamming di Balok Sound. Selepas selesai jamming, Abang Lan memaklumkan Balok Sound akan menganjurkan acara Ambang Tahun Baru.
Jika berminat membuat persembahan, mereka perlu mengisi borang dan membayar RM30. Itulah kali pertama Slimouklitouk membuat persembahan penuh dengan lagu sendiri sambil mengenakan topeng.
Pada malam tersebut juga mereka pertama kali bertemu saya dan Jai Hikayat Rock. Bagi mereka, konsep pay-to-play tidak semestinya salah, terutama kepada band baharu yang memerlukan platform untuk membuat persembahan.
Bagaimanapun, ia perlu dilakukan secara adil dan tidak mengambil kesempatan terhadap band. Jika sesebuah gig mengenakan bayaran kepada band tetapi penonton pula masuk secara percuma tanpa tiket, perkara tersebut wajar dijelaskan dengan baik kepada semua pihak supaya band yang membayar tidak berasa teraniaya.
Pemilihan Baju Melayu putih bukan dibuat secara kebetulan. Warna hitam sudah terlalu sinonim dengan muzik rock dan metal. Jadi, Slimouklitouk memilih sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan itu supaya lebih mudah menonjol.
Baju Melayu juga lebih mudah diperoleh dan sesuai diubah suai dengan lukisan serta grafik mengikut konsep kumpulan. Topeng kemudian melengkapkan imej berkenaan. Namun, keseluruhan visual itu kembali kepada idea yang lebih besar iaitu membawa unsur budaya Melayu ke dalam persembahan muzik berat melalui pendekatan baharu.
Seperti kebanyakan band indie, keenam-enam anggota Slimouklitouk mempunyai pekerjaan dan komitmen masing-masing. Latihan perlu disusun mengikut masa lapang setiap anggota. Cabaran terbesar ialah jarak.
Zaha, vokalis mereka, berada di Bera manakala anggota lain kebanyakannya di Kemaman. Faktor itu menyebabkan Zaha tidak dapat menghadiri semua sesi latihan. Namun, mereka tetap berusaha mengimbangi kehidupan, pekerjaan, muzik dan persembahan dengan menyusun jadual sebaik mungkin.
Selepas menghasilkan EP pertama dalam format CD, mereka mula menerima permintaan daripada peminat yang mahukan pendrive kerana semakin ramai sudah tidak mempunyai pemain CD.

Daripada situ lahirlah keluaran terbaru dalam bentuk pendrive yang ditempatkan di dalam kotak eksklusif lengkap dengan inlay.
Keluaran berkenaan dibuat dalam jumlah terhad dan lebih ditujukan kepada peminat serta pengumpul.
Mereka melihat format tersebut sebagai sesuatu yang eksklusif dan agak jarang ditemui dalam kalangan band Malaysia.
Keluaran terbaru itu menampilkan Khianat Setia sebagai lagu baharu, manakala lagu lain merupakan rakaman semula karya terdahulu. Walaupun pernah dirakam sebelum ini, Slimouklitouk merasakan rakaman lama tidak lagi sepenuhnya menggambarkan identiti mereka.
Tambahan pula, rakaman terdahulu menggunakan barisan anggota serta pendekatan vokal yang berbeza. Justeru, mereka merakam semula lagu-lagu tersebut bersama barisan Slimouklitouk yang baharu untuk memberikan nafas serta karakter yang lebih dekat dengan identiti mereka hari ini.
Tidak mempunyai label besar bukan alasan untuk berhenti berkarya. Slimouklitouk memilih jalan DIY dan melakukan hampir keseluruhan proses sendiri, daripada rakaman, mastering hinggalah penghasilan serta pengedaran karya.
Proses rakaman dilakukan di Dapur Ritma Liar Record, sebuah studio indie yang menggunakan kemudahan sederhana dan berkonsepkan bajet, namun tetap mencukupi untuk keperluan mereka. Kos rakaman sehingga proses mastering dianggarkan sekitar RM350 bagi setiap lagu.
Pendrive dalam kotak eksklusif itu pula dijual pada harga RM30 dan boleh didapati ketika gig yang menampilkan Slimouklitouk.

Pada akhirnya, perjalanan Slimouklitouk bukan sekadar tentang muzik metal. Ia turut menjadi satu bentuk usaha mempertahankan identiti dan warisan tempatan. Mereka mahu pemuzik serta band tempatan dihargai selagi masih ada ruang untuk menyokongnya.
Bagi mereka, pemuzik tempatan juga mempunyai kehebatan dan kekuatan tersendiri. Persoalannya cuma sama ada masyarakat mahu menjunjungnya atau tidak. Pada masa sama, mereka berharap masyarakat tidak terlalu mengagungkan barangan serta hasil luar sehingga mengabaikan apa yang sudah dimiliki sendiri.
Lebih-lebih lagi apabila khazanah budaya tempatan mudah dilabel sebagai “kolot”. Pesanan itu cukup selari dengan apa yang cuba dilakukan Slimouklitouk. Mereka tidak sekadar mahu bermain metal.
Sebaliknya, mereka mengambil sesuatu daripada akar budaya sendiri, mengolahnya dan memperkenalkannya kembali melalui bentuk yang lebih moden, berat dan penuh misteri. Dan mungkin itulah sebabnya muzik Slimouklitouk terasa berbeza.
