RiTC 2026 Hidupkan Kuching Waterfront Dengan Gegaran Rock

Rock in the City (RiTC) 2026 berjaya menarik lebih 1,500 peminat ke Esplanade Kuching Waterfront bagi menikmati dua malam persembahan rock pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Sambutan menggalakkan itu membuktikan lokasi baharu di tengah bandar Kuching mampu menjadi tarikan untuk acara muzik berskala lebih besar, selain menawarkan akses lebih mudah kepada penduduk tempatan, pelancong dan pelajar.
RiTC yang dianjurkan Authentic Ideas merupakan kesinambungan Rock in the Jungle (RiTJ), yang sebelum ini berlangsung di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.

Perpindahan ke pusat bandar bukan sahaja memberikan pengalaman berbeza kepada peminat, malah membolehkan penggunaan pentas lebih besar, sistem bunyi berkuasa tinggi serta kemudahan bandar di sekitarnya.
Disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, RiTC turut menghimpunkan artis dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia, sekali gus memberikan acara itu dimensi serantau.
Malam pertama menampilkan Post Mortem Education dan kumpulan Brunei, Secret Signal, sebelum Peterpan dari Indonesia menjadi penampil utama dengan penampilan tetamu Zah Amirul.

Malam kedua pula menampilkan Senseless, kumpulan death metal veteran dari Kuching, projek kerjasama Indonesia-Sarawak Fearless dan Barbarik+ sebagai persembahan penutup.
Barbarik+ sememangnya antara persembahan yang paling dinanti-nantikan. Kumpulan itu merupakan supergroup hard rock dan heavy metal Malaysia yang diketuai gitaris legenda JoBranko, antara nama penting dalam sejarah rock negara menerusi penglibatannya bersama Wings.
Barisan terasnya turut menampilkan bekas vokalis May dan Wings, Muss, yang juga antara nama besar persada rock negara, selain Rozaimie pada bass dan Ainoll pada dram.

Bagi persembahan RiTC, Barbarik+ turut menampilkan pemain papan kekunci Lie serta Eddie dan Black, dua bekas anggota Wings. Kehadiran Muss, JoBranko, Eddie dan Black memberikan elemen reunion Wings kepada persembahan penutup.
Dari segi produksi, pentas yang menghadap Sungai Sarawak memberikan pandangan jelas kepada penonton, manakala sistem bunyi berjaya mengendalikan persembahan daripada gitar akustik hingga heavy metal.
Walaupun dilanda keadaan jerebu dengan bacaan API sekitar 160 hingga 180 yang menjadi cabaran utama penganjur, secara keseluruhan, RiTC 2026 berjaya membawa semangat RiTJ ke suasana bandar tanpa kehilangan identiti muzik rocknya.
Sambutan penonton, gabungan artis tempatan dan serantau serta lokasi yang lebih mudah diakses menunjukkan RiTC mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai antara acara muzik utama di Kuching.

