August 28, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

9 TAHUN MENANTI, BIGBANG AKHIRNYA ‘PULANG’

Spread the love

V.I.P Malaysia bakal berdepan ‘demam’ BIGBANG apabila G-DRAGON, TAEYANG dan DAESUNG menggegarkan Bukit Jalil Januari depan, tiket VIP mencecah RM1,598

Sembilan tahun menanti akhirnya terbalas, selepas hampir sedekad tidak mengadakan jelajah dunia sebagai sebuah kumpulan, BIGBANG akhirnya kembali menemui peminat Malaysia apabila trio G-DRAGON, TAEYANG dan DAESUNG bakal menggegarkan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Januari 2027.

Kemunculan itu menerusi BIGBANG 2026-2027 WORLD TOUR < XX : COSMOS >, sekali gus menjadi antara detik paling dinantikan V.I.P Malaysia selepas kumpulan legenda K-Pop itu kembali beraksi di pentas dunia sempena ulang tahun ke-20 penubuhan mereka.

Bukan sekadar konsert biasa, kepulangan BIGBANG kali ini hadir ketika fenomena mereka kembali memuncak.

Jelajah < XX : COSMOS > merangkumi 19 bandar dengan 33 persembahan di seluruh dunia, termasuk aksi di stadium-stadium besar seperti Taipei Dome, Singapore National Stadium, My Dinh National Stadium, Rajamangala National Stadium dan Tokyo Dome.

Malah, tiga persembahan pembukaan di Goyang Stadium, Korea Selatan pada 21 hingga 23 Ogos lalu sudah berstatus sold out, membuktikan penantian peminat terhadap BIGBANG masih berada pada tahap luar biasa.

Untuk peminat Malaysia, debaran kini terarah kepada pembelian tiket yang dibuka secara berperingkat bulan depan.

Menariknya, harga tiket paling premium bukan calang-calang apabila BIGBANG ULTIMATE VIP PACKAGE berharga RM1,598, manakala BIGBANG DIAMOND VIP PACKAGE dijual pada RM1,398 dan GOLD VIP PACKAGE RM1,098.

Bagi tiket duduk pula, harga bermula RM498 untuk PS5, diikuti PS4 RM598, PS3 RM698, PS2 RM798 dan PS1 RM898.

Pakej Ultimate VIP menawarkan tiket berdiri, set empat kad foto eksklusif BIGBANG, laluan khas, daftar masuk khusus serta cenderamata VIP.

Namun, peminat perlu maklum bahawa pakej VIP berkenaan tidak termasuk sesi Meet & Greet atau bergambar bersama anggota BIGBANG.

Bagi V.I.P yang mahu mendapatkan tiket lebih awal, pendaftaran BIGBANG V.I.P MEMBERSHIP SURVEY dibuka dari 7 September jam 10 pagi hingga 11 September, 11.59 malam.

Prajualan khas V.I.P kemudian berlangsung pada 17 September, diikuti prajualan Trip.com pada 21 September, sebelum jualan umum dibuka pada 22 September, semuanya bermula jam 10 pagi mengikut waktu Malaysia.

Jika melihat sambutan terhadap jelajah mereka di rantau ini, bahang BIGBANG memang sudah terasa. Di Singapura misalnya, jualan prajualan konsert mereka sebelum ini menyaksikan jumlah pengguna dalam barisan maya melebihi 300,000, manakala pakej Ultimate VIP dilaporkan habis ketika sesi prajualan sebelum tiket tambahan dibuka untuk jualan umum.

Tidak hairanlah peminat Malaysia kini dijangka mula membuat persiapan lebih awal untuk memburu tiket, terutama kategori VIP yang menawarkan pengalaman lebih eksklusif.

Lebih mengujakan, BIGBANG juga kini hadir dengan material baharu menerusi single BiiiG, yang dilancarkan pada 19 Ogos lalu sebagai karya baharu pertama mereka sejak Still Life pada 2022.

Lagu berkenaan turut menjadi sebahagian daripada era baharu BIGBANG selepas kumpulan itu kembali mencuri perhatian menerusi kemunculan di pentas Coachella 2026.

Dengan lagu seperti FANTASTIC BABY, BANG BANG BANG, Haru Haru, Lies dan Last Farewell yang masih dekat di hati peminat, pentas Bukit Jalil dijangka bertukar menjadi lautan kuning apabila V.I.P tempatan menyambut kepulangan tiga anggota BIGBANG.

Lebih menarik, Kuala Lumpur menjadi antara persinggahan awal BIGBANG di Asia pada 2027 sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Jakarta, Manila dan Kaohsiung.

Konsert BIGBANG 2026-2027 WORLD TOUR < XX : COSMOS > IN KUALA LUMPUR dipromosikan AEG Presents Asia dan iMe Malaysia bersama YG Entertainment serta ditaja Trip.com Group.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page