KLSS ‘Buka Jelajah’ Dengan Rentak Ska, 100 Peminat Skank Bersama

Persembahan sulung Kuala Lumpur Ska Syndicate (KLSS) di BEKL, Cheras menjadi pembuka penuh bertenaga untuk Jelajah Muzik Malaysia 2026
Baru membuka langkah dalam arena persembahan secara langsung, Kuala Lumpur Ska Syndicate (KLSS) sudah membuktikan muzik ska tempatan masih mempunyai kelompok peminat yang setia apabila lebih 100 penyokong hadir menyambut persembahan sulung mereka di BEKL, Cheras, 9 Ogos lalu.
Berlangsung dari jam 4 petang hingga 7 malam, acara itu dimulakan dengan persembahan vinyl selector oleh DJ Sir Yobbo dan DJ Johanis Joker sebelum pentas menjadi milik KLSS yang tampil membawakan keseluruhan lagu daripada album sulung mereka, Jika Kita Ada Ska.
Apa yang lebih mencuri perhatian, penonton bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut ‘turun padang’ dengan skanking, menari dan menyanyi bersama sepanjang persembahan.
Suasana bertambah meriah apabila dua penyanyi daripada kalangan penonton secara spontan naik ke pentas untuk bergandingan dengan KLSS menerusi Take Warning daripada Operation Ivy dan You’re Wondering Now oleh The Specials.
Bagi kumpulan yang baru memulakan perjalanan persembahan secara langsung, sambutan itu jelas menjadi suntikan semangat untuk meneruskan jelajah ke beberapa lokasi lain di seluruh negara.
Pemilik label rakaman bebas GuaPunya Muzik, Mohd Azmi yang juga pemilik KLSS serta penerbit album Jika Kita Ada Ska, meluahkan kepuasan terhadap persembahan sulung kumpulan berkenaan.
“Saya berpuas hati dengan persembahan yang diberikan oleh pemain muzik KLSS dan terharu dengan komitmen mereka. Rata-rata yang hadir enjoy dan skanking. Bagi saya, itu bermakna mereka menerima muzik yang ingin saya sampaikan dan band telah memberikan yang terbaik untuk show pertama ini,” katanya.
Untuk persembahan berkenaan, KLSS dibarisi IzGastro (vokal/trumpet), Arab (gitar), Alif (gitar), Gfat (bass), Edy (keyboard), Hafiz (dram) dan Raziq (alto saksofon).
Selain membawakan keseluruhan lagu daripada Jika Kita Ada Ska, KLSS turut memasukkan tiga karya popular sebagai lagu cover iaitu Monkey Man dan You’re Wondering Now daripada The Specials serta Take Warning oleh Operation Ivy.

Persembahan DJ Din kemudian menutup acara, sekali gus mengekalkan suasana santai tetapi sarat dengan semangat ska yang mewarnai keseluruhan program.
Album Jika Kita Ada Ska yang diterbitkan Gua Punya Muzik dan dilancarkan pada Oktober 2025 menghimpunkan 10 lagu yang menggabungkan identiti ska dengan kisah kehidupan dan jiwa tempatan.
Antara lagu yang dimuatkan ialah Pesta Ska, Jam Loceng, Tenang Saja, Di Simpang Kota, Tegak, Bukan Lahir Dengan Gaya, Unity Is Strength dan Skinhead Suka Ska, selain SkankIntro serta SkankOutro.
Album berkenaan kini boleh distrim menerusi pelbagai platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, Amazon Music dan Deezer.
Jelajah Muzik Malaysia 2026 pula mendapat sokongan MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) 2025. Selepas membuka tirai di BEKL, KLSS akan meneruskan perjalanan ke De Stage, Petaling Jaya pada 27 Ogos ini.
Tiket ditawarkan pada harga RM38, manakala maklumat pembelian boleh didapati menerusi CloudJoi.
Perjalanan KLSS kemudian diteruskan ke utara apabila mereka dijadualkan membuat persembahan di MBG 9th Annual Jamboree di Tanjung City Marina, Georgetown, Pulau Pinang, pada 5 September.
KLSS akan tampil di pentas jamming pada acara itu sebelum meneruskan perjalanan ke Sabah untuk beraksi di Kinarut Soundscape, Kota Kinabalu, pada 6 September.
Jika sambutan di BEKL menjadi ukuran, KLSS kini mempunyai momentum untuk membawa bunyi ska mereka kepada lebih ramai peminat di seluruh Malaysia.
Mungkin baru pertama kali mereka menjejakkan kaki ke pentas secara rasmi, namun di BEKL, KLSS sudah mendapat jawapan bahawa komuniti ska tempatan masih hidup dan bersedia untuk terus skank bersama.
