Fiza Thomas ‘Rayakan Dia’, Raikan Cinta dan Insan Istimewa

Selepas lebih sedekad dalam dunia lakonan dan teater, Fiza Thomas kini membuka lembaran baharu dalam muzik menerusi EP sulungnya, Rayakan Dia, yang sarat dengan kisah, emosi dan penghargaan buat insan bermakna dalam hidupnya.
Daripada pentas teater kepada dunia lakonan dan kini bergelar penyanyi serta penulis lagu, perjalanan seni Fiza Thomas terus berkembang dengan warna tersendiri.
Selepas lebih sedekad berkarya dalam industri seni, Fiza tampil dengan EP terbaharunya, Rayakan Dia, yang menghimpunkan empat lagu hasil nukilannya sendiri menggunakan nama pena Fitho.
Tidak sekadar mahu menghasilkan muzik, Fiza menjadikan EP berkenaan sebagai ruang untuk menampilkan sisi dirinya yang lebih matang, ceria dan berani dalam mengekspresikan perasaan.
Bagi Fiza, konsep ‘rayakan’ yang dibawa menerusi EP itu juga tidak terhad kepada cinta romantik, sebaliknya merangkumi penghargaan terhadap insan yang sentiasa memberikan warna dalam kehidupan.
“Bagi saya, Rayakan Dia adalah tentang meraikan orang yang kita sayang. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kehidupan sehingga terlupa menghargai mereka yang sentiasa ada. Jadi saya mahu EP ini menjadi satu bentuk perayaan terhadap mereka,” katanya.
Muzik sebenarnya bukan sesuatu yang asing buat Fiza kerana minat terhadap bidang itu sudah lama berakar dalam dirinya.
Namun, tahun 2024 menjadi titik perubahan apabila dia mengambil keputusan untuk memberikan perhatian lebih serius terhadap muzik sebagai sebahagian daripada usaha memperbaharui identiti seninya.
Langkah itu diteruskan menerusi single Rasa yang dilancarkan pada April 2025, selain menghasilkan karya untuk dirinya sendiri dan penyanyi lain termasuk Wany Kayrie.
Sokongan sahabat serta insan terdekat, khususnya Ara Johari, turut menjadi antara pencetus semangat buat Fiza untuk lebih yakin melangkah dalam bidang muzik.
Jika karya terdahulu lebih banyak berkisar mengenai emosi, kerinduan dan sisi ‘galau’, kali ini Fiza memilih pendekatan yang lebih ringan, positif dan penuh rasa cinta.
Menariknya, kesemua lagu dalam EP Rayakan Dia ditulis sendiri Fiza, menjadikan keseluruhan projek itu cukup dekat dengan perjalanan peribadinya. Salah satu karya turut didedikasikan kepada insan istimewa yang mempunyai tempat tersendiri dalam hidupnya.
Bagi Fiza, setiap lagu bukan sekadar susunan melodi dan lirik, tetapi hadir daripada cerita serta emosi yang pernah dilalui.
Dalam merealisasikan EP berkenaan, Fiza bekerjasama dengan Fai dan Dari. Malah, salah satu lagu yang dihasilkan bersama Dari berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira 20 minit. Walaupun prosesnya singkat, karya berkenaan tetap mempunyai nilai tersendiri kerana lahir daripada keserasian dan emosi yang dirasai ketika proses penciptaan.
Proses rakaman yang berlangsung pada bulan Ramadan turut memberikan pengalaman berbeza kepada Fiza, sekali gus menjadikan penghasilan Rayakan Dia antara fasa penting dalam perjalanan muziknya.
Sebagai tanda pengenalan EP berkenaan, Fiza turut mengadakan Sidang Media Rayakan Dia, sebelum meneruskan agenda dengan showcase khas pada sebelah malam.
Showcase itu menjadi medan buat Fiza mempersembahkan empat karya daripada EP berkenaan, selain berkongsi kisah di sebalik setiap lagu kepada peminat.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, pentas itu menjadi simbol evolusi Fiza daripada anak teater dan pelakon kepada penyanyi serta penulis lagu yang semakin berani membentuk identiti muziknya sendiri.
Menerusi Rayakan Dia, Fiza berharap muzik yang dihasilkan mampu mengajak pendengar berhenti seketika daripada kesibukan hidup untuk mengenang dan menghargai insan yang mereka sayang.
