Salwa, Safura, Razis ‘Bawa Pulang’ Kenangan Di Panggung Anniversari

Deretan lagu popular era 1980-an, 1990-an hingga awal 2000-an bakal mengajak peminat sing along menerusi Throwback Hits: RETRO BANGKIT, Sabtu ini.
Kalau lagu-lagu lama masih mampu membuatkan seseorang tersenyum, teringat kenangan silam atau spontan menyambung lirik yang dimainkan, itulah kuasa nostalgia yang bakal dihidupkan semula menerusi Throwback Hits: RETRO BANGKIT di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, esok.
Program yang berlangsung pada Sabtu, 15 Ogos 2026, dari jam 4 petang hingga 7 malam itu menjanjikan petang santai penuh nostalgia buat pencinta muzik, khususnya mereka yang membesar dengan lagu-lagu popular era 1980-an, 1990-an dan awal 2000-an.
Lebih istimewa, orang ramai boleh menikmati persembahan berkenaan secara percuma, sekali gus membuka ruang kepada peminat pelbagai generasi untuk berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan sambil mengimbau kembali memori menerusi lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Barisan artis yang diketengahkan juga cukup menarik apabila menampilkan Datin Salwa Abd Rahman, Safura Yaacob dan Razis Ismail, selain Lan Siro sebagai hos, manakala persembahan muzik akan diserikan Band Langit Terbalik.
Gabungan penyanyi yang mempunyai latar serta warna vokal tersendiri itu pastinya memberi kelainan kepada program yang bukan sekadar mahu menghiburkan, sebaliknya mengembalikan ‘roh’ muzik nostalgia kepada khalayak.
Menariknya, rangkaian lagu popular setiap penyanyi mempunyai daya tarikan tersendiri dan cukup untuk mengajak penonton sama-sama menyanyi dari awal hingga akhir persembahan.
Nama Datin Salwa Abd Rahman pastinya mengundang nostalgia buat peminat muzik dangdut dan pop tempatan, khususnya menerusi lagu yang pernah menjadi siulan ramai.

Antara lagu popular beliau yang masih dikenang termasuk Satu Dua Kau, Jangan Malu Malu, Cubit Cubit Sayang, Aku Bukan Hidangan, Kembalikanlah Cintamu, Bukan Cinta Palsu dan Nyamuk Nyamuk Gatal. Senarai karya popular Salwa turut merangkumi Terbuai Cinta, Boleh Boleh Saja, Kau Tak Rindu serta Tidak Semua Perempuan.
Justeru, kehadiran Salwa dijangka menjadi antara momen yang paling dinanti kerana lagu-lagunya mempunyai elemen rancak dan mudah mengundang penonton untuk turut serta menyanyi.

Bagi peminat lagu balada, kemunculan Safura Yaacob pula pasti membawa kenangan tersendiri. Safura cukup sinonim dengan Sedalam Mana Cintamu, lagu yang pernah melonjakkan namanya dan kekal diingati peminat sehingga hari ini. Malah, lagu berkenaan pernah disebut sebagai antara karya yang masih menjadi pilihan dalam sesi karaoke.
Selain itu, peminat turut mengenali Safura menerusi Dendam Kemala, karya yang menandakan kemunculan semulanya dalam dunia rakaman selepas tempoh panjang.
Sementara itu, Razis Ismail pula membawa kekuatan tersendiri menerusi deretan lagu yang cukup dekat dengan peminat muzik nostalgia.

Antara karya popular beliau termasuk Kepulangan, Hadirmu Membawa Sinaran, Mawar Bukan Milikku, Wahai Kekasih dan Penawar Rindu. Razis juga mempunyai koleksi karya yang luas seperti Kau Mawar Merahku, Di Mana Kata Di Mana Janji, Sirih Pulang Ke Gagang, Kuingin Menemani, Bukan Benci Tapi Sudi dan Luka Tiada Berdarah.
Bukan sekadar menyanyi, kehadiran Lan Siro sebagai hos pula dijangka memastikan perjalanan program berlangsung lebih santai dan mesra.
Persembahan akan turut dimeriahkan Band Langit Terbalik, sekali gus memberikan suntikan muzik secara langsung bagi mengiringi suasana nostalgia sepanjang program.

Band berkenaan turut mempunyai karya sendiri seperti Ilusi Hati, yang diperkenalkan sebagai sebuah karya berunsur cinematic rock. Kehadiran mereka dijangka menjadi pengikat antara persembahan artis dan keseluruhan konsep muzik RETRO BANGKIT.
Apa yang menjadikan RETRO BANGKIT lebih menarik ialah pengunjung tidak hanya datang untuk menonton persembahan.
Program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk Pertandingan Lagu Patriotik, Pertandingan Mewarna dan Canting Batik Kanak-kanak, selain permainan tradisional seperti Congkak, Sepak Raga Ratus dan Batu Seremban.
Turut disediakan Deklamasi Puisi, aktiviti interaktif, pameran serta jualan kraftangan, selain gerai makanan dan minuman.
Konsep sebegini menjadikan Panggung Anniversari bukan sekadar lokasi persembahan, tetapi ruang pertemuan masyarakat yang menggabungkan muzik, seni, budaya dan warisan dalam suasana santai.
Lebih-lebih lagi ia berlangsung di kawasan hijau Taman Botani Perdana, pengunjung boleh menjadikan acara ini sebagai aktiviti hujung minggu bersama keluarga sebelum menghabiskan petang dengan persembahan muzik.
Dengan barisan artis seperti Salwa Abd Rahman, Safura Yaacob dan Razis Ismail, RETRO BANGKIT berpotensi menjadi pentas yang membawa penonton merentasi perjalanan masa menerusi lagu-lagu yang pernah menghiasi radio, televisyen, kaset dan cakera padat suatu ketika dahulu.
Jadi, kepada peminat muzik nostalgia, jangan lepaskan peluang untuk sing along, mengimbau kenangan dan mungkin bertemu semula dengan lagu yang pernah menjadi ‘soundtrack’ kehidupan.
Paling penting, tak perlu keluarkan duit untuk tiket kerana kemasukan ke program ini adalah percuma.
