August 13, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Emma Suhaimi Pilih Lepas, Tak Mahu Terus ‘Tersakiti’

Spread the love

Selepas sekian lama menempa nama dalam industri muzik tempatan, bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Emma Suhaimi kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi single balada berjudul Tersakiti yang mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

Lebih daripada sekadar lagu mengenai perpisahan, Tersakiti membawa mesej supaya seseorang berani mencintai diri sendiri dan meninggalkan hubungan toksik sebelum luka yang ditanggung menjadi semakin parah.

Menurut Emma, mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu ciptaan sepenuhnya komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso itu cukup mudah tetapi dekat dengan realiti kehidupan.

“Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’.

“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.

Ilham sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu hit Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari yang menjadi antara lagu paling tinggi distrim di Malaysia pada tahun lalu.

Bagi Emma, pemilihan Ilham sebagai komposer bukan semata-mata disebabkan reputasinya, sebaliknya keserasian dan cara kerja profesional sepanjang proses menghasilkan lagu berkenaan.

“Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi untuk turut berkarya ketika proses rakaman.

“Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara sendiri. Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya.

Namun, cabaran terbesar ketika merakamkan Tersakiti bukan dari sudut teknikal vokal, sebaliknya bagaimana memastikan emosi lagu itu benar-benar sampai kepada pendengar. Emma mengakui lagu terbabit menuntutnya menyelami perasaan individu yang pernah melalui episod percintaan menyakitkan.

“Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah ‘Tersakiti’. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” katanya.

Malah, pengalaman hidup yang pernah dilaluinya sendiri sedikit sebanyak membantu Emma menghayati setiap bait lirik.

“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini. Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan.

“Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” ujarnya.

Antara bait lirik yang paling dekat dengan hati Emma ialah, ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’, yang disifatkannya mempunyai makna besar mengenai realiti kehidupan dan hakikat bahawa tidak semua perkara yang membahagiakan akan menjadi milik kita.

“Lirik itu sangat dekat dengan saya. Ia mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita. Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” katanya.

Emma berharap Tersakiti bukan sekadar menjadi karya baharu dalam perjalanan seninya, sebaliknya mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui episod sukar dalam kehidupan.

“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap Tersakiti boleh menjadi suara kepada mereka. Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Emma menyifatkan keseluruhan proses pembikinan Tersakiti berjalan lancar hasil kerjasama erat bersama Ilham.

“Sepanjang bekerjasama dengan Ilham, semuanya mudah untuk diatur dan dibincangkan. Dari awal sehingga lagu ini siap sepenuhnya, setiap proses berjalan dengan baik dan profesional. Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengannya,” katanya.

Dengan susunan muzik yang menyentuh jiwa, melodi mudah diingati serta lirik sarat makna, Tersakiti diharap mampu mengukuhkan lagi kedudukan Emma dalam arena muzik tempatan.

Single terbitan Nova Music Malaysia itu boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama mulai Jumaat, 14 Ogos 2026, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada hari sama, jam 3 petang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page