Björn Again Hidupkan Semula ‘Roh’ ABBA di Zepp KL

ABBA mungkin tidak lagi akan muncul di pentas, tetapi Björn Again membuktikan magis kumpulan legenda Sweden itu masih mampu menggegarkan hati peminat menerusi persembahan The ABBA Forever Tour 2026.
Biarpun peluang untuk menyaksikan anggota asal ABBA iaitu Benny Andersson, Björn Ulvaeus, Anni-Frid Lyngstad dan Agnetha Fältskog beraksi secara langsung semakin mustahil, kerinduan peminat terhadap kumpulan ikonik itu terubat apabila Björn Again menghidupkan semula nostalgia berkenaan di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Menerusi The ABBA Forever Tour 2026, kumpulan tribute dari Australia itu tampil menghiburkan peminat di ibu negara pada 12 Ogos 2026, dalam persembahan yang dianjurkan Shiraz Projects.
Selama kira-kira dua jam, Björn Again bukan sekadar mempersembahkan lagu popular ABBA, malah berjaya mencipta pengalaman seolah-olah penonton sedang dibawa kembali ke zaman kegemilangan kumpulan berkenaan.
Daripada kostum, gaya persembahan, gerak tubuh, vokal hinggalah kepada elemen komedi, semuanya disusun bagi memberikan pengalaman ABBA yang cukup dekat kepada peminat.
Tidak hairanlah apabila Björn Again sering dianggap antara kumpulan tribute ABBA paling berjaya di dunia.
Ditubuhkan pada 1988 di Melbourne, Australia, nama Björn Again sendiri merupakan permainan kata daripada nama Björn Ulvaeus dan istilah ‘born again’, seolah-olah memberi nafas baharu kepada muzik ABBA selepas kumpulan asal itu berpecah pada 1982.
Lebih menarik, anggota Björn Again menggunakan nama pentas parodi seperti Agnetha Falstart, Benny Anderwear, Frida Longstokin dan Björn Volvo-us, lengkap dengan loghat Sweden yang sengaja dibuat-buat.
Elemen humor itu menjadi antara ramuan penting persembahan mereka, namun ia tidak pernah mengatasi perkara paling utama iaitu untuk terus kekal dengan muzik ABBA.

Malam itu, penonton dibawa menyanyi bersama menerusi rangkaian lagu popular termasuk Waterloo, Super Trouper, Honey Honey, SOS, I Have A Dream, Fernando, The Winner Takes It All, The Name Of The Game, Chiquitita dan Thank You For The Music.
Waterloo menjadi antara pembukaan yang cukup bertenaga, mengimbau detik penting ABBA apabila lagu berkenaan membawa mereka menjuarai Eurovision Song Contest pada 1974 sekali gus membuka pintu kepada fenomena global.
Persembahan kemudian bergerak daripada satu lagu ke satu lagu dengan tenaga pentas yang konsisten.

Kemunculan lagu seperti The Winner Takes It All pula memberikan ruang kepada sisi lebih emosional sebelum suasana kembali rancak menerusi karya-karya yang sinonim dengan ABBA.
Selepas rehat, Björn Again kembali dengan pertukaran kostum dan meneruskan persembahan menerusi Does Your Mother Know, Ring Ring dan Money, Money, Money. Bermula dari detik ini khalayak tidak lagi ‘dipaku’ pada bangku tetapi terus berdiri seolah-olah dibawa berlari dalam melodi dan mimpi ABBA.
Bagaimanapun, mereka turut menyelitkan kejutan apabila ‘Benny’ dan ‘Björn’ keluar seketika daripada dunia ABBA untuk membawakan lagu rock popular Livin’ On A Prayer nyanyian Bon Jovi.
Segmen itu disambut sorakan penonton sebelum perhatian kembali kepada anggota wanita dan dunia ABBA menerusi gabungan Voulez-Vous dan Lay All Your Love On Me.

Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan Take A Chance On Me, termasuk selingan rap yang mengundang gelak penonton, sebelum mengakhiri set utama dengan Gimme! Gimme! Gimme! (A Man After Midnight).
Namun, sudah tentu Björn Again tidak boleh meninggalkan pentas begitu sahaja. Ketika dendangan Mamma Mia bergema, suasana di Zepp KL bertukar menjadi pesta nostalgia apabila penonton seakan disihir untuk masuk ke dunia Bjorn Again seraya menyanyi dan menari bersama.
Klimaks sudah pasti hadir menerusi Dancing Queen yang menyaksikan hampir seluruh ruang persembahan kembali ‘hidup’. Tidak kira usia, penonton seolah-olah kembali menjadi anak muda, menyanyi sepuas hati sambil mengikuti rentak muzik ABBA yang begitu dekat dengan jiwa.

Apa yang menjadikan persembahan Björn Again istimewa bukan semata-mata kemampuan mereka meniru ABBA, sebaliknya bagaimana mereka memahami bahawa muzik kumpulan itu mempunyai kuasa untuk merentasi generasi.
Mereka tidak cuba menggantikan ABBA. Sebaliknya, Björn Again bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan generasi hari ini dengan karya kumpulan yang pernah mendominasi dunia muzik sejak era 1970-an.
Persembahan akhirnya ditutup dengan Waterloo, seolah-olah mengembalikan penonton ke titik permulaan perjalanan ABBA dimana sebuah lagu yang mengubah sejarah empat anggota Sweden itu dan seterusnya melahirkan fenomena muzik yang terus bertahan hingga hari ini.

Walaupun ABBA sebenar mungkin tidak lagi berdiri bersama di atas pentas, malam di Zepp KL membuktikan satu perkara iaitu ABBA mungkin sudah lama berundur dari pentas, tetapi muzik mereka masih belum selesai bercerita.
Dan menerusi Björn Again, lagu-lagu berkenaan terus dimainkan, dinyanyikan dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
