Metal 60’an Akhirnya Jadi Kenyataan, XPDC Kita Peng Yu Gegar Odeon Ogos Ini

Hasrat lebih 20 tahun direalisasikan menerusi konsert eksklusif yang turut menghimpunkan Yantoi, Jatt Black Dog Bone dan Syed Ali dalam malam penuh nostalgia serta penghormatan buat Allahyarham Mael.
Selepas lebih dua dekad sekadar menjadi impian, kumpulan rock legenda XPDC Kita Peng Yu akhirnya bakal merealisasikan konsert berkonsepkan Metal 60’an menerusi XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos ini di Odeon Kuala Lumpur.
Lebih daripada sekadar konsert biasa, persembahan eksklusif itu bakal menghidupkan semula era kegemilangan album Metal 60’an yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik rock tempatan, selain menjadi platform mempertemukan semula individu-individu penting yang pernah mencorakkan perjalanan muzik XPDC.
Pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar, berkata idea menganjurkan konsert berteraskan konsep Metal 60’an sebenarnya sudah lama tersimpan, namun hanya kini berjaya direalisasikan.

“Album ini memang unik. Rasanya kami antara pencetus konsep muzik Metal 60’an ketika itu. Sejak album ini dilancarkan lagi memang kami ada hasrat mengadakan konsert yang menghimpunkan semua individu yang terbabit, tetapi ketika itu tidak kesampaian,” katanya ketika sidang media konsert berkenaan di Odeon Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu.
Menurut Zuar, konsert itu akan dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu Brutal, Tribute dan Metal 60’an, sekali gus memberikan pengalaman yang berbeza berbanding mana-mana persembahan XPDC sebelum ini.
Malah, segmen tribute bakal menjadi antara momen paling menyentuh hati apabila didedikasikan khas buat mengenang bekas vokalis mereka, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael, yang meninggal dunia pada April 2023.
Sebagai penghormatan kepada Allahyarham, adiknya Syed Ali Syed Ibrahim akan tampil membuat persembahan bersama XPDC dalam segmen istimewa itu.
Dalam masa sama, penyanyi Jatt Black Dog Bone, yang turut terlibat dalam album Metal 60’an, juga akan kembali bergandingan bersama kumpulan tersebut.
“Kami amat bersyukur kerana Jatt bersetuju menyertai konsert ini. Dia antara individu penting dalam penghasilan album Metal 60’an dan kehadirannya sudah tentu memberi nilai sentimental kepada peminat,” kata Zuar.

Turut melengkapkan malam bersejarah itu ialah kemunculan istimewa Yan Lefthanded atau Yantoi, individu yang cukup sinonim dengan pembikinan beberapa album terbaik XPDC termasuk Kita Peng Yu dan Brutal.
Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Yazid Selamat, menyifatkan konsert berkenaan sebagai sebuah perhimpunan keluarga besar XPDC.
“Semua yang berada di atas pentas nanti bukan orang luar. Mereka adalah individu yang membina sejarah XPDC sejak dahulu lagi.
“Yantoi banyak mencorakkan bunyi dan identiti album kami. Syed Ali membawa roh arwah Mael yang sentiasa hidup dalam hati peminat, manakala Jatt pula melengkapkan perjalanan album Metal 60’an. Sebab itu konsert ini sangat istimewa,” katanya.

Bagi Yantoi pula, peluang kembali bersama XPDC bukan sekadar memenuhi jemputan, tetapi mengimbau kenangan yang begitu dekat di hati.
Katanya, setiap kali mendengar lagu-lagu daripada album Kita Peng Yu dan Brutal, memorinya kembali kepada saat-saat mereka berkampung di studio bersama arwah Mael menghasilkan karya yang akhirnya menjadi klasik.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan XPDC. Bila kembali bersama mereka, ia membawa saya kepada satu era yang penuh magis.
“Album Kita Peng Yu dan Brutal bukan lahir secara kebetulan. Semua orang ketika itu memberikan komitmen luar biasa. Sebab itu saya mahu peminat merasakan semula aura yang pernah kami cipta dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, penganjur konsert, Mosli berkata pemilihan Odeon bukan semata-mata soal lokasi, sebaliknya kerana nilai sentimental yang dimiliki bangunan bersejarah itu.

Katanya, sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Odeon pernah menjadi ‘ibu kota’ rock tanah air pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an apabila ribuan anak muda memenuhi kawasan itu setiap hujung minggu.
“Kami mahu peminat bukan sekadar datang menonton konsert, tetapi kembali merasai suasana era rock kapak yang sebenar.
“Sebab itu kami menitikberatkan sistem audio bertaraf konsert, selain melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk sistem penyaman udara supaya pengalaman peminat benar-benar memuaskan,” katanya.

Menurut Mosli, dengan kapasiti sekitar 1,900 penonton, pihaknya tidak menolak kemungkinan menambah satu malam lagi persembahan sekiranya sambutan tiket melebihi jangkaan.
Tiket boleh didapati di https://officialxpdckitapengyu.com/
