July 8, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Namira Hanyut Dalam ‘Waltz Kota Bau’

Spread the love

Bukan semua lagu bermula daripada helaian skor muzik. Ada yang lahir daripada bait-bait puisi, sebelum berkembang menjadi sebuah karya yang menghidupkan emosi di layar perak.

Itulah keistimewaan Waltz Kota Bau, single baharu penyanyi Namira yang dipilih sebagai lagu tema filem bebas Love Crush. Lebih istimewa, lirik lagu itu sebenarnya berasal daripada puisi hasil nukilan pengarah filem berkenaan, Johan Chairil, sebelum diterjemahkan menjadi sebuah karya muzik yang menyentuh rasa.

Pemilihan Namira pula bukan berlaku secara kebetulan. Johan mengakui terpikat dengan karakter vokal penyanyi itu selepas mendengar single Rungkai Mimpi di media sosial, sekali gus percaya suaranya mampu membawa emosi yang diperlukan bagi menghidupkan naskhah berkenaan.

Bagi Namira, kekuatan sebenar Waltz Kota Bau terletak pada puisinya yang bukan sekadar menjadi lirik, sebaliknya menyimpan lapisan emosi yang berkait rapat dengan perjalanan cerita filem.

“Saya sangat sukakan puisi yang menjadi lirik untuk lagu ini kerana ia membawa emosi dan penceritaan yang menjadi subteks kepada filem. Mungkin ada penonton yang akan dapat merasakannya, mungkin juga tidak. Tetapi bagi saya, lagu ini tetap mampu berdiri sendiri sebagai sebuah lagu,” katanya.

Karya itu diterbitkan menerusi kerjasama Teeb TV Network Sdn. Bhd. dan FB Media Ventures, manakala proses gubahan muzik, rakaman, adunan serta mastering dikendalikan oleh Sham Cairel.

Menurut Sham, antara cabaran terbesar adalah mengekalkan roh puisi asal sambil menghasilkan susunan muzik yang lebih segar dan mesra pendengar masa kini.

“Saya suka lagu ini kerana ia menggunakan tanda masa 3/4 yang sinonim dengan irama waltz. Namun saya olah semula susunan muzik supaya tidak terlalu tradisional, sebaliknya lebih bercirikan pop tanpa menghilangkan identiti asalnya,” katanya.

Namira yang dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur bukan nama asing dalam dunia seni. Selain memiliki latar belakang dalam bidang komposisi muzik di ASWARA, beliau turut pernah mengendalikan beberapa program televisyen termasuk Sneakers Merah Jambu, Wira Remaja dan Langkah Pertama, selain pernah menyumbangkan suara untuk runut bunyi filem Pagari Bulan.

Sementara itu, pembikinan Love Crush mengambil masa hampir dua tahun dengan lokasi penggambaran di sekitar Kuching dan Bau, Sarawak. Filem arahan Johan Chairil itu menampilkan Joshua E. James dan Agnes Sipin Jabin sebagai pelakon utama, selain kemunculan istimewa penyampai radio Kupi Kupi FM Sarawak, Rowena Jala.

Single Waltz Kota Bau bakal dilancarkan pada 17 Julai ini di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan Joox. Pada hari sama, video pelancaran rasmi turut disiarkan di saluran YouTube Namira Official, manakala peminat boleh mengikuti pelbagai kandungan eksklusif menerusi akaun TikTok dan Instagram rasmi penyanyi itu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page